Di sebalik saingan
yang dijangka sengit, Combined Old Boys Rugby Association atau lebih dikenali
sebagai COBRA tidak gentar di dalam menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya
mara ke final Kejohanan Ragbi 10-Sebelah HSBC-COBRA yang akan berlangsung pada
10 dan 11 November depan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Pengurus pasukan
yang juga Ketua Jurulatih skuad ragbi kebangsaan, Boon Hoon Chee berkata
sasaran itu dilihat realistik andai mengambil kira persiapan pasukan, selain
semangat tinggi di kalangan pemain yang mahu menebus duka dikecewakan di pentas
final musim lalu.
“Saya percaya kita
di berada di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian mara ke final, itu
sasaran pertama kita dan berdasarkan apa yang saya lihat ketika ini, tiada
masalah untuk pemain-pemain COBRA melakukannya walaupun beberapa pasukan dari
China (Shanghai FC), juara bertahan dari United Kingdom (Penguin), Impala dan
Cape Town dilihat hadir dengan persiapan rapi ke kejohanan kali ini.
“Kita akan
mendapat kepakaran dua bekas pemain All Black (New Zealand) iaitu Duncan
Robertson dan Jeff Matheson yang akan tiba di sini minggu depan, mereka bersama
kita sejak 5 tahun yang lalu dan dalam tempoh itu juga kita telah layak ke
final sebanyak 3 kali, manakala menang kali terakhir pada 2008. Kondisi pemain
juga berada pada tahap terbaik, ada beberapa pemain kita ketika ini sedang
beraksi di pertandingan luar negara, jadi semuanya berada di landasan tepat,”
kata Hoon Chee yang ditemui pada sidang media kejohanan di ibu negara, pada
Jumaat.
Hoon Chee juga
menjelaskan bahawa COBRA akan dapat menurunkan barisan pemain yang lebih mantap
pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, dengan adanya 10 pemain kebangsaan
di dalam pasukan, iaitu adunan 3 pemain dari Fiji dan selebihnya pemain
tempatan yang diyakini pengalaman mereka.
Ada di antara
mereka sedang beraksi di Kejohanan 7-sebelah di Mumbai, iaitu Mohd Shahir
Asraff, Mohd Saizul Hafiz, K.Dineshvaran, Mohd Amin Jamaludin dan Mohamad
Nazeer Mohamad Nesharah.
Sebanyak 16
pasukan telah mengesahkan penyertaan di kejohanan yang memasuki edisi ke-43
ini, dengan Malaysia akan menampilkan tiga lagi pasukan tempatan selain COBRA,
iaitu ASAS RC, NS Wanderers dan Sabah Borneo Eagles, termasuk juga penyertaan pertama
kali sebuah pasukan yang berpangkalan di Perancis.
Tahun lalu, COBRA sekadar
berpuas hati dengan kedudukan naib juara selepas tunduk kepada Penguin
International 10-12 justeru Hoon Chee mahu pemainnya membuktikan mereka adalah
sebuah pasukan yang sudah jauh meningkat pada tahun ini, dalam masa sama tidak
mahu pemainnya memandang rendah keupayaan
pasukan lawan.
“Memang kita
memiliki rekod yang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi pemain
kita perlu membuktikan sesuatu dan tidak terbuai dengan ekspetasi tinggi yang
diletakkan. Bagi saya setiap pasukan ada kelemahan dan kekuatan mereka, jadi
saya mahu kita manfaatkan kekuatan kita dan eksploitasi kelemahan mereka, ini
peluang yang baik untuk kita buktikan kita sudah melangkah lebih jauh ke
depan.”
Sementara itu,
HSBC Bank Malaysia Berhad meneruskan komitmen mereka di dalam memartabatkan
sukan ragbi apabila menyumbangkan RM250,000 seterusnya mencatat nama sebagai
penaja utama kejohanan ini, buat tahun ketujuh berturut-turut sejak 2005.
Pada majlis
penyerahan penajaan yang berlangsung tengah hari tadi, Pengerusi Jawatankuasa
Penganjur, Tan Sri Krishnan Tan berkata berkata sumbangan daripada HSBC
membuktikan keprihatinan mereka di dalam membantu mengembalikan reputasi sukan
ragbi yang merudum sejak beberapa tahun lepas, dan berharap kerjasama ini akan
berterusan untuk jangka masa panjang.
Beliau juga
berharap hadiah wang tunai lumayan USD10,000 akan menjadi tonik buat pemain
COBRA untuk menunjukkan semangat juang tinggi seterusnya muncul juara.
Pengarah Urusan
HSBC Bank Malaysia Berhad, Roni Abdul Wahab pula berkata : “Kerjasama antara
HSBC dan COBRA sudah lama terjalin, dan sekali lagi kami berbangga untuk
menjadi penaja utama kejohanan ini yang memasuki edisi ke-43. Kami mempunyai
semangat yang tinggi untuk membangunkan sukan ragbi dari akar umbi sehingga ke
peringkat tertinggi.
“Ini adalah sukan
yang menyerlahkan erti persahabatan dan semangat kesukanan serta mengalakkan
semangat berpasukan, integrity, daya saing yang tinggi serta keikhlasan,
sekaligus menepati apa yang HSBC perjuangkan. Kami akan teruskan sokongan ini
untuk jangka panjang.”
No comments:
Post a Comment