Monday, October 22, 2012

Anugerah tidak bermakna buat Marlon

Dinobatkan anugerah ‘sharpshooter’ Piala Malaysia, sekadar hadiah sagu hati buat penjaring terbanyak, Marlon Alex James, yang terlepas peluang mendakap gelaran lebih besar, Piala Malaysia.
Penyerang dengan ketinggian 1.87m itu menjaringkan gol ke-12 dalam kempen Piala Malaysia apabila menanduk masuk sepakan percuma Rezal Zambery Yahya pada minit ke-62 pada ketika pasukannya ketinggalan 1-2 untuk mengheret pertarungan ke masa tambahan.
gambar : 360images
“Kekalahan adalah sebahagian daripada permainan ini. Kami tidak boleh terlalu kecewa tetapi perlu melihat aspek positif, saya meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan tapi ia lebih bermakna jika kami menang. Apapun saya berpuas hati ATM berjaya membuktikan kehebatan sebenar kerana sebelum perlawanan, jurulatih Kelantan menganggap kami pasukan ‘tua’ dan akan tidak bertenaga ketika di penghujung permainan.”
“Namun sebaliknya pasukan Kelantan yang dianggap ‘muda’ kerap jatuh di atas padang kerana kekejangan otot. Walaupun kami pasukan dari Liga Perdana, kami boleh memberikan tentangan sengit,” katanya yang menerima LCD Aquos jenama Sharp atas kejayaannya itu.
Meskipun tewas, Marlon tetap akan meninggalkan kenangan buat peminat ATM dengan sambutan keraian mencuit hati apabila mengendong anak patung sebagai meraikan anak yang bakal dilahirkan oleh isterinya yang lima bulan mengandung.
Kegagalan ATM turut meleburkan impian James memburu gelaran ketiga selepas menjulang trofi Piala Malaysia bersama Kedah pada musim 2006/07 dan 2007/08.

No comments: