Selain idea sendiri, artikel ini turut diolah berdasarkan beberapa laporan media tempatan terutamanya nukilan Dayne Azmin, wartawan Utusan Malaysia dek kerana kesuntukan masa.
Kelantan mengesahkan reputasi hebat mereka selaku kuasa besar bolasepak tanah air dengan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun sekaligus melengkapkan kejuaraan treble musim ini selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super.
Kelantan mengesahkan reputasi hebat mereka selaku kuasa besar bolasepak tanah air dengan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun sekaligus melengkapkan kejuaraan treble musim ini selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super.
gambar : 360 images |
gambar : 360 images |
The Red Warriors menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2
pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, menerusi gol kemenangan jaringan pemain
veteran sensasi, Indra Putra Mahayuddin pada minit keenam masa tambahan – gol
yang menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 seterusnya
menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam kalendar bolasepak
Kelantan.
Indra yang tidak dikawal menyambut hantaran Badri Razi menerusi
satu gerakan pantas dari tengah padang, sebelum melepaskan rembatan kencang ke
gawang kawalan Farizal Harun – dalam aksi 90 minit permainan, ATM terdahulu dua
kali bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan kepada jaringan pemain
terbaik perlawanan, Norshahrul Idlan Talaha.
Norshahrul atau lebih popular dengan panggilan Matyo, menjadi duri
dalam daging buat pasukan ATM bimbingan B.Sathianathan sejak dari sepak mula
dan hampir dua kali membolosi gawang ATM dalam tempoh 15 minit pertama, namun
dinafikan ketangkasan Farizal.
Perlawanan selepas 20 minit babak pertama bagaimanapun bertukar
sedikit hambar kedua-dua pasukan dilihat lebih menampilkan permainan
berhati-hati, dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang sebelum hadir
gol pembukaan Matyo pada minit ke-44 apabila penyerang kebangsaan itu
menyudahkan gerakan dari sebelah kanan diilhamkan Badri.
Faktor Subra punca
pertahanan goyah
ATM bagaimanapun tidak menanti lama untuk membalas jaringan
tersebut, apabila tiga minit bersambung babak kedua, bekas pemain Kelantan dan
Negeri Sembilan, Rezal Zambry Yahya melepaskan rembatan dari luar kotak penalti
menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk mengikat kedudukan – malang buat
Kelantan kerana gol itu terhasil tidak sampai seminit selepas pertahanan kental
mereka, S.Subramaniam dikeluarkan kerana kecederaan lutut dan digantikan Rizal
Fahmi Rosid.
Kelantan bagaimanapun mengambil masa kurang seminit untuk kembali
mendahului, sekali lagi menerusi Matyo yang bijak memperdaya K.Reuben namun semangat
juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua
pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih
peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil
mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Penyerang veteran prolifik ATM, Marlon Alex James menyerlahkan
betapa pertahanan Kelantan pincang tanpa kelibat Subra apabila menanduk masuk
gol penyamaan hasil hantaran sepakan percuma Rezal pada minit ke-62.
Kedudukan kekal 2-2 sehingga tamat permainan, dan Kelantan muncul
pemenang selepas mengharungi aksi tegang dalam tambahan masa 30 minit,
berikutan beberapa keputusan berat sebelah dan kontroversi oleh pengadil,
Nafeez Wahab, malah hampir terjadi pergaduhan ketika minit akhir masa tambahan apabila
pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir Shaari
yang cedera diberikan rawatan.
Sebaik wisel penamat ditiup, Kelantan muncul pasukan ketiga
selepas Selangor dan Kedah untuk menjulang tiga piala dalam semusim.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah
dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra adalah antara yang
hadir menyaksikan final bersama-sama hampir 90,000 penonton itu.
No comments:
Post a Comment