Sebelum kita
berjaya,
Jangan harap
kami pulang!
Inilah
sumpah pendekar kita,
Menuju medan
bakti!
KEAJAIBAN! Itulah perkataaan terbaik untuk
menggambarkan kejayaan dramatik Angkatan Tentera Malaysia ke atas Singapura,
5-4 menerusi sepakan penalti untuk melayakkan diri ke final Piala Malaysia buat
kali pertama sejak kejohanan bola sepak domestik terulung tanah air bertukar
nama daripada Piala HMS Malaya pada 1967.
foto kredit : BERNAMA |
Ketika harapan tampak pudar buat 30,000
penyokong ATM yang membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang, ketika
pemain simpanan Lions XII menantikan tiupan wisel penamat untuk menyerbu masuk,
ketika tinggal hanya beberapa detik sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil,
Samsudin Ibrahim, ketika itulah keajaiban dijelmakan oleh wira-wira ATM.
Ketika sebilangan penyokong sudah mula keluar
dari stadium dengan kekecewaan selepas menyaksikan pasukan mereka dikejutkan
gol Agu Casmir pada babak pertama, pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak enggan
berputus asa sambil terdetik doa di dalam hatinya: “Ya Allah, kalau ada rezeki
buat kami, masukkan bola itu ke dalam gol.”
Dan doanya termakbul apabila penyerang tinggi
lampai kelahiran St Vincent & Grenadines, Marlon Alex James menanduk masuk
hantaran lintang Aidil melepasi penjaga gol Izwan Mahbud pada aksi serangan
terakhir untuk memberikan nyawa kedua buat ATM.
foto : BERNAMA |
Jaringan itu pada minit kelima masa
kecederaan, adalah yang ke-11 buat Marlon sepanjang saingan Piala Malaysia dan
pastinya yang paling penting buat dirinya sejak menyertai ATM musim ini.
Gol itu menyaksikan perubahan momentum
berpihak kepada ATM dengan pemain tampak lebih berkeyakinan diiringi penyokong
kembali berpadu dalam satu suara, digerakkan oleh kumpulan Ultras dengan penuh
semangat dalam menuju misi kemaraan ke final.
Masa tambahan milik ATM dengan serangan
bertali arus dilancarkan ke kubu Lions XII, dibantu dengan penyingkiran Isa
Halim pada minit ke-95 berikutan kesalahan kad kuning kedua.
Namun tiada jaringan lagi mampu dihasilkan ke
atas barisan 10 pemain Lions XII dengan nasib kedua-dua pasukan terpaksa
ditentukan menerusi sepakan penalti.
Marlon tampil dulu dan tenang menyempurnakan
sepakannya tetapi percubaan Aidil kemudiannya diselamatkan untuk meninggalkan
pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu rebah ke tanah dengan penuh kekecewaan.
Begitu pun, perjuangan ATM masih belum
berakhir dengan Mohd Farizal Harun bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan
kaki kiri Saiful Esah. Kedua-dua pasukan menamatkan siri sepakan penalti mereka
dengan kedudukan 4-4 memaksa perlawanan diheret ke sudden death penalti.
Drama tidak berakhir di sana dengan sepakan A
Varanthan singgah ke palang sebelum sekali lagi Farizal tampil menafikan pemain
tinggi lampai, Baihakki Khaizan.
Kini tiba giliran Fitri Omar, yang masuk
sebagai pemain gantian dan penyerang yang beralih ke posisi pertahanan itu
membuktikan dia masih belum kehilangan sentuhan penyudahnya apabila menyumbat
penalti ketujuh.
Tekanan yang diletakkan pada bahu Yasir Hanapi
dilihat terlalu berat dengan sepakan pemain pertahanan itu sekadar singgah di
tiang kiri untuk menamatkan penantian 46 tahun sejak penampilan terakhir di
pentas perlawanan akhir pada 1946.
“Ia bukan nasib, kami memang berhak menang.
Pada 20 minit pertama mereka menguasai perlawanan tetapi kami mula mendapat
peluang selepas itu,” kata pengendali B Sathianathan yang merencanakan kemaraan
ke final ketiga selepas penampilan Kelantan pada 2009 & 2010.
“Kita akan menikmati saat ini dulu sebelum
memikirkan mengenai perlawanan akhir. Saya tidak kisah pemain saya gagal
menyempurnakan penalti, asalkan kami menang. Penentuan penalti diibaratkan
seperti Russian roulette,” tambahnya.
Lebih manis, kejayaan itu disusuli dengan
habuan RM50,000 yang diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Sultan Ahmad Shah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM sejurus perlawanan
berakhir.
No comments:
Post a Comment