Tidak mengejutkan sebenarnya
untuk melihat Sepanyol, Portugal, Jerman dan Itali berada di semifinal Euro
2012 yang semakin menghampiri kemuncaknya selepas membuka tirai lebih kurang 3
minggu lalu.
Secara peribadi saya pada awalnya
memilih Sepanyol, Jerman, Belanda dan Perancis untuk mara ke kelompok 4 pasukan
terbaik, dengan jangkaan Perancis akan bertemu Sepanyol di pentas final, walaupun
saya adalah penyokong Jerman.
Ini berdasarkan kepada prestasi
semasa Perancis dan Sepanyol yang dilihat berada di kemuncak – Sepanyol hadir
dengan reputasi gah selaku juara dunia dan juara bertahan Euro, manakala
Perancis mengetepikan igauan ngeri Piala Dunia 2010, dan bertandang ke Ukraine
dengan rekod 20 perlawanan tanpa tewas.
Namun, skrip berbeza terhasil
apabila kegagalan menemui sentuhan penyudah menyaksikan Perancis dikejutkan
Sweden, seterusnya meleburkan rekod tanpa kalah 22 perlawanan anak buah Laurent
Blanc, dan menghadiahkan Les Bleus pertembungan sukar-menang menentang Sepanyol
lebih awal.
Di sebalik memiliki penyerang
berkelas dunia Karim Benzema, penjaring terbanyak Liga Perancis, Olivier Giroud
serta Samir Nasri, Hatem Ben Arfa, dan Franck Ribery, Perancis sekali lagi
dihukum dek krisis dalaman dan pergaduhan sesama pemain – senario sama yang
menghimpit mereka pada Euro 2008 dan Piala Dunia 2010, bezanya kali ini tiada
demonstrasi dan yang memboikot sesi latihan.
Blanc nyata tersilap mencatur
strategi apabila memilih untuk menerapkan permainan defensive, dengan
membariskan 5 pemain tengah – Mathieu Debuchy, Yohan Cabaye, Yann M’Villa,
Florent Malouda, dan Franck Ribery dan menolak Nasri ke bangku simpanan - dengan
dua daripadanya beraksi di posisi defensive midfielder.
Tersingkirnya Belanda seawal
peringkat kumpulan turut mengejutkan peminat bolasepak global, apatah lagi
skuad Oranje sebelum itu diramal berupaya menjadi pencabar utama kejuaraan
dengan adanya himpunan pemain bertaraf bintang seperti Robin Van Persie, Wesley
Sneijder, Arjen Robben dan Klaas Jan Huntellar.
Pemberontakan pemain yang kecewa
dengan pemilihan kesebelasan utama, selain ego tinggi Bert van Marwijk sekadar
menyaksikan finalis Piala Dunia itu menggigit jari tewas kesemua tiga
perlawanan peringkat kumpulan.
Selain kegagalan Belanda dan
TWIST OF THE FATE antara England dan Perancis di dalam Kumpulan D, tiada
sebarang kejutan besar terhasil dalam saingan Euro kali ini.
Apapun, teruja untuk menyaksikan
pasukan pilihan saya, Jerman setakat ini menepati reputasi mereka selaku gergasi
bolasepak dunia, dengan menampilkan corak permainan menghiburkan namun berada
di peringkat separuh akhir, saya melihat kekuatan semua pasukan adalah seimbang
dan tiada pasukan yang layak dilabel selaku pilihan.
Sebaliknya, pasukan yang
memanfaatkan peluang, dibantu tuah dan faktor nasib akan mara ke final edisi
kali ini. Sejarah membuktikan betapa teori itu tepat, Jerman sendiri umpamanya
menewaskan England 4-1 dan Argentina 4-0 dalam laluan ke semifinal Piala Dunia
dua tahun lalu, namun permainan garang mereka tidak berupaya menjinakkan
Sepanyol, dan akhirnya kandas dan sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
Kali ini, Jochim Loew membimbing
pasukannya merakamkan 15 kemenangan berturut-turut di pentas kompetitif, 4
daripadanya hadir di saingan Euro 2012, malah Jerman boleh dikatakan
satu-satunya memiliki himpunan pemain yang memiliki pakej serba lengkap dan
seimbang di segenap posisi - kesemua pemain yang diturunkan membuktikan mereka
adalah yang terbaik dan tidak langsung mengecewakan, malah Loew juga bijak
membuat perubahan mengikut keperluan permainan, tidak statik kepada satu
taktikal semata-mata.
Andai kelebihan Jerman adalah
pada kualiti pemain serta ‘keremajaan’ mereka, lain pula Itali yang
keseluruhannya bersandarkan kepada pengalaman. Mereka dilihat satu-satunya
pasukan HIGH PROFILE yang tidak mementingkan permainan cantik atau berkualiti,
tetapi memiliki TONIK AJAIB apabila sudah berada di peringkat kalah mati.
Permainan Itali mungkin
membosankan bagi sesetengah pihak, termasuk saya sendiri tetapi harus diakui
Itali tahu bagaimana untuk menangani gaya permainan bolasepak moden.
Sepanyol mungkin HEAVY FAVOURITES
untuk mempertahankan kejuaraan. Bersandarkan kepada reputasi, status dan
barisan pemain yang mereka ada, Sepanyol dilihat terlalu kuat untuk ditewaskan,
namun sekiranya mereka terus dengan permainan TIKI TAKA yang dipamer sejak 4
perlawanan lalu ditambah pula keengganan Vicente Del Bosque untuk menurunkan
GENUINE STRIKER dalam kesebelasannya, tidak mustahil Sepanyol akan ditunjukkan
jalan keluar oleh Portugal.
Total Football Sepanyol adalah
lebih kepada permainan possession football yang cantik, tetapi tidak mencipta
gerakan menyerang sebaliknya menanti pertahanan lawan untuk naik ke atas
sebelum menghantar bola ke kawasan bahaya, lazimnya digerakkan oleh fullback
mereka – justeru itulah tiada kelibat penyerang di atas padang sebaliknya
mengharapkan Cesc Fabregas dan David Silva untuk mencari gol, sedangkan mereka
memiliki Alvaro Negredo, Fernando Llorente, Santi Cazorla dan tidak ketinggalan
Fernando Torres untuk memburu gol.
Suara Sukan verdict : FINAL -- Sepanyol vs Jerman
3 comments:
kawe raso spain v italy...italy mene penalti skali lg...hehe
The Team juara...:)
apasal ko x update blog ni?????
Post a Comment