Tuesday, June 26, 2012

Sekilas Euro : Kelebihan Buat La Roja, Die-Mannschaft


Tidak mengejutkan sebenarnya untuk melihat Sepanyol, Portugal, Jerman dan Itali berada di semifinal Euro 2012 yang semakin menghampiri kemuncaknya selepas membuka tirai lebih kurang 3 minggu lalu.

Secara peribadi saya pada awalnya memilih Sepanyol, Jerman, Belanda dan Perancis untuk mara ke kelompok 4 pasukan terbaik, dengan jangkaan Perancis akan bertemu Sepanyol di pentas final, walaupun saya adalah penyokong Jerman. 

Ini berdasarkan kepada prestasi semasa Perancis dan Sepanyol yang dilihat berada di kemuncak – Sepanyol hadir dengan reputasi gah selaku juara dunia dan juara bertahan Euro, manakala Perancis mengetepikan igauan ngeri Piala Dunia 2010, dan bertandang ke Ukraine dengan rekod 20 perlawanan tanpa tewas.

Namun, skrip berbeza terhasil apabila kegagalan menemui sentuhan penyudah menyaksikan Perancis dikejutkan Sweden, seterusnya meleburkan rekod tanpa kalah 22 perlawanan anak buah Laurent Blanc, dan menghadiahkan Les Bleus pertembungan sukar-menang menentang Sepanyol lebih awal.

Di sebalik memiliki penyerang berkelas dunia Karim Benzema, penjaring terbanyak Liga Perancis, Olivier Giroud serta Samir Nasri, Hatem Ben Arfa, dan Franck Ribery, Perancis sekali lagi dihukum dek krisis dalaman dan pergaduhan sesama pemain – senario sama yang menghimpit mereka pada Euro 2008 dan Piala Dunia 2010, bezanya kali ini tiada demonstrasi dan yang memboikot sesi latihan.


Blanc nyata tersilap mencatur strategi apabila memilih untuk menerapkan permainan defensive, dengan membariskan 5 pemain tengah – Mathieu Debuchy, Yohan Cabaye, Yann M’Villa, Florent Malouda, dan Franck Ribery dan menolak Nasri ke bangku simpanan - dengan dua daripadanya beraksi di posisi defensive midfielder.

Tersingkirnya Belanda seawal peringkat kumpulan turut mengejutkan peminat bolasepak global, apatah lagi skuad Oranje sebelum itu diramal berupaya menjadi pencabar utama kejuaraan dengan adanya himpunan pemain bertaraf bintang seperti Robin Van Persie, Wesley Sneijder, Arjen Robben dan Klaas Jan Huntellar.
Pemberontakan pemain yang kecewa dengan pemilihan kesebelasan utama, selain ego tinggi Bert van Marwijk sekadar menyaksikan finalis Piala Dunia itu menggigit jari tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.


Selain kegagalan Belanda dan TWIST OF THE FATE antara England dan Perancis di dalam Kumpulan D, tiada sebarang kejutan besar terhasil dalam saingan Euro kali ini.

Apapun, teruja untuk menyaksikan pasukan pilihan saya, Jerman setakat ini menepati reputasi mereka selaku gergasi bolasepak dunia, dengan menampilkan corak permainan menghiburkan namun berada di peringkat separuh akhir, saya melihat kekuatan semua pasukan adalah seimbang dan tiada pasukan yang layak dilabel selaku pilihan.

Sebaliknya, pasukan yang memanfaatkan peluang, dibantu tuah dan faktor nasib akan mara ke final edisi kali ini. Sejarah membuktikan betapa teori itu tepat, Jerman sendiri umpamanya menewaskan England 4-1 dan Argentina 4-0 dalam laluan ke semifinal Piala Dunia dua tahun lalu, namun permainan garang mereka tidak berupaya menjinakkan Sepanyol, dan akhirnya kandas dan sekadar berpuas hati di tempat ketiga.


Kali ini, Jochim Loew membimbing pasukannya merakamkan 15 kemenangan berturut-turut di pentas kompetitif, 4 daripadanya hadir di saingan Euro 2012, malah Jerman boleh dikatakan satu-satunya memiliki himpunan pemain yang memiliki pakej serba lengkap dan seimbang di segenap posisi - kesemua pemain yang diturunkan membuktikan mereka adalah yang terbaik dan tidak langsung mengecewakan, malah Loew juga bijak membuat perubahan mengikut keperluan permainan, tidak statik kepada satu taktikal semata-mata.  

Andai kelebihan Jerman adalah pada kualiti pemain serta ‘keremajaan’ mereka, lain pula Itali yang keseluruhannya bersandarkan kepada pengalaman. Mereka dilihat satu-satunya pasukan HIGH PROFILE yang tidak mementingkan permainan cantik atau berkualiti, tetapi memiliki TONIK AJAIB apabila sudah berada di peringkat kalah mati.

Permainan Itali mungkin membosankan bagi sesetengah pihak, termasuk saya sendiri tetapi harus diakui Itali tahu bagaimana untuk menangani gaya permainan bolasepak moden.

Sepanyol mungkin HEAVY FAVOURITES untuk mempertahankan kejuaraan. Bersandarkan kepada reputasi, status dan barisan pemain yang mereka ada, Sepanyol dilihat terlalu kuat untuk ditewaskan, namun sekiranya mereka terus dengan permainan TIKI TAKA yang dipamer sejak 4 perlawanan lalu ditambah pula keengganan Vicente Del Bosque untuk menurunkan GENUINE STRIKER dalam kesebelasannya, tidak mustahil Sepanyol akan ditunjukkan jalan keluar oleh Portugal.


Total Football Sepanyol adalah lebih kepada permainan possession football yang cantik, tetapi tidak mencipta gerakan menyerang sebaliknya menanti pertahanan lawan untuk naik ke atas sebelum menghantar bola ke kawasan bahaya, lazimnya digerakkan oleh fullback mereka – justeru itulah tiada kelibat penyerang di atas padang sebaliknya mengharapkan Cesc Fabregas dan David Silva untuk mencari gol, sedangkan mereka memiliki Alvaro Negredo, Fernando Llorente, Santi Cazorla dan tidak ketinggalan Fernando Torres untuk memburu gol.

Suara Sukan verdict : FINAL -- Sepanyol vs Jerman

3 comments:

Anonymous said...

kawe raso spain v italy...italy mene penalti skali lg...hehe

Anonymous said...

The Team juara...:)

Anonymous said...

apasal ko x update blog ni?????