Saturday, June 23, 2012

ATM Hampiri Penamat Gemilang, Sathia Bidas Kualiti Padang

Angkatan Tentera Malaysia hanya memerlukan 4 mata sahaja lagi daripada maksimum 9 mata untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana 2012 menjadi milik mereka, apabila gol Marlon Alex James, Irwan Fadli Idrus dan Christie Jayaseelan membantu pasukan dilabel Manchester City Malaysia itu menang 3-2 ke atas Johor, seterusnya mengukuhkan cengkaman di takhta liga.

Arkib ATM FA
ATM melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada lima mata, selepas pencabar terdekat Pahang diikat 1-1 oleh USM FC, bermakna anak buah B.Sathianathan semakin menghampiri penamat bersejarah kepada musim gemilang mereka, dan menepati reputasi selaku pasukan yang perlu diberi perhatian selepas merekrut secara besar-besaran barisan pemain berstatus bintang pada awal musim.

Kemenangan ATM bagaimanapun tidak hadir dengan mudah, terutamanya kegoyahan benteng pertahanan tanpa kelibat Amiridzwan Taj yang cedera, dan dimanfaatkan sebaiknya barisan hadapan Johor untuk menjaringkan dua gol mudah – pertama menerusi Md Yusri dan kedua menerusi Munir Amran, untuk Johor mendahului 2-1 pada satu ketika.

“saya tidak gembira dengan aksi pasukan saya di babak pertama, langsung tidak gembira, bila dah lead kita sedikit goyah, mereka menjaringkan dua gol mudah, terlalu mudah dan kita pula tidak memanfaatkan peluang. Ya, Johor main bagus, kredit juga kepada mereka kerana memberi saingan hebat kepada kami, kebanyakan masa mereka main bertahan, dan tunggu kami melakukan serangan, mungkin dia follow Greece saya rasa. Tapi saya gembira babak kedua pemain all-out bagi aksi terbaik untuk raih 3 mata ini..”
.
“Kualiti padang juga memperngaruhi aksi kita malam ni. Ia sangat teruk. Saya tak faham mengapa MBPJ tak boleh nak jaga padang mereka ni, sedangkan mereka kutip duit tapi padang keras macam batu, macam mana nak main bola yang menghiburkan? Saya tak pernah tengok MBPJ macam ni sebelum ini. Ia langsung tidak memberi kelebihan kepada kami, kita tak boleh main bola bawah, sebaliknya kena main bola tinggi dan ia merugikan..”. – B.Sathianathan.  

Baki perlawanan selepas ini bagi ATM adalah menentang USM FC, MP Muar dan Pos Malaysia dan mereka boleh bergelar juara lebih awal - seawal perlawanan seterusnya pada 2 Julai depan, jika menewaskan USM FC manakala Pahang gagal mencatat kemenangan ke atas MP Muar.

Namun, Sathia lebih berminat untuk mengemudi pasukannya menang kesemua perlawanan yang berbaki.

“Secara matematik memang kita nak 4 mata, tapi saya nak mereka dapatkan 6 mata, dan bergelar juara. Dalam bolasepak apapun bola jadi, walaupun kita ada kelebihan jaringan yang besar, mungkin Pahang juga boleh menjaringkan banyak gol dalam perlawanan yang tinggal. Kita tak boleh ambil sambil lewa, kita akan fokus, rileks, tunjukkan permainan sebenar, dan tutup tirai musim ini dengan bergaya..”.

No comments: