Thailand
muncul juara Divisyen 2 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia selepas menundukkan tuan
rumah, Malaysia dalam aksi final cukup dramatik di Stadium Majlis Bandaraya
Petaling Jaya, petang tadi dengan kemenangan 22-19.
Ini
adalah kali kedua Thailand menjuarai Divisyen 2, selepas melakukannya buat
pertama kali pada 2008 juga dengan menewaskan Malaysia, sekaligus menghidupkan
peluang untuk kembali beraksi di Divisyen 1 tahun depan, di mana mereka akan
bertemu India, juara Divisyen 3 pada perlawanan play-off yang akan
dilangsungkan pada tarikh yang akan ditentukan kelak.
Pengurus
Thailand, Pogkrong Monthardpalin nyata cukup teruja di atas kemenangan ini yang
disifatkannya turut dibantu faktor tuah.
“Ia
perlawanan cukup menghiburkan, cukup mendebarkan. Saya terkejut dengan
kemenangan ini, saya merasakan Malaysia lebih berhak menang, namun faktor tuah
menyebelahi kami. Kami mendapat banyak mata menerusi penalti, memang itu salah
satu strategi kami dan amat malang untuk Malaysia kehilangan seorang pemain
untuk keseluruhan separuh masa kedua, ia memberi kami kelebihan,” ujarnya.
Beraksi
di gelanggang sendiri dengan sokongan hampir 1,000 penyokong, nyata menyuntik
motivasi barisan pemain negara, dan hanya 3 minit diperlukan untuk merebut
pendahuluan menerusi penalti Hafizh Zainal.
Strategi
Thailand yang memaksa pemain negara kerap membuat kesilapan, nyata membuahkan
hasil, apabila mereka bangkit mengutip sembilan mata berturut-turut, kesemuanya
menerusi penalti Warongkorn Kumkoet untuk mendahului 9-3, namun Malaysia
merapatkan kedudukan 6-9 sekali lagi menerusi penalti Hafizh.
Ibarat
pesta penalti, begitulah ungkapan sesuai untuk mengambarkan tentang perlawanan
ini, apabila Thailand kembali melebarkan defisit mata menerusi penalti Warongkorn,
untuk kedudukan 12-6 sehingga tamat babak pertama.
Menambah
malang pasukan negara, pemain import, Kini Rasasolosolo dilayangkan kad merah
selepas bertindak menyerang pemain Thailand pada minit akhir babak pertama,
menyaksikan Malaysia mengharungi keseluruhan babak kedua dengan hanya 14
pemain.
Ia
bagaimanapun tidak sedikitpun menyentap semangat di kem negara, apabila seminit
babak kedua bersambung, Malaysia menerusi try pertama perlawanan hasil serangan
pantas dari sebelah kiri padang berjaya menambah 7 mata untuk mendahului 13-12.
Penalti
dilakukan Hafizh mengukuhkan kedudukan skuad negara yang mendahului 16-12,
namun Thailand kemudiannya mengurangkan defisit kepada hanya 1 mata, hasil
percubaan penalti Warongkorn.
Kelebihan
4 mata kembali berpihak kepada Malaysia, dan pada satu ketika dilihat sudah
berada di landasan terbaik untuk mencatat kemenangan menerusi penalti Hafizh
pada minit ke-69, sebelum dikecewakan try dilakukan Thailand 5 minit sebelum
tamat permainan menerusi Korrapong Ongsalangkarn, yang menterbalikkan keputusan
kepada 22-19 berpihak kepada Thailand.
Asakan
bertali arus, menggila pasukan negara pada minit-minit akhir permainan bagaimanapun
tidak berjaya mengubah kedudukan dan Thailand utuh bertahan untuk mengesahkan
kemenangan.
“Secara
jujur saya kecewa dengan kekalahan ini, kita ada kelebihan, tapi kita tak dapat
gunakannya. Kita patut menang tetapi beraksi dengan 14 pemain, nyata sukar
untuk kita dan mereka menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin. Kita banyak buat
kesilapan mudah dengan menghadiahkan penalti, saya sudah nasihatkan pemain
supaya jangan terlalu ke bawah, naik atas, tetapi mereka tak praktikannya,”
kata jurulatih negara, Hoon Boon Chee.
Kekalahan
ini bukan sahaja meleburkan hasrat Malaysia untuk mengintai peluang kembali ke
Divisyen 1, tetapi turut menutup peluang untuk beraksi di Kelayakan Piala Dunia
2015.
Sementara
itu, dalam satu lagi perlawanan, Iran menewaskan China 52-3 untuk menamatkan
saingan di tempat ketiga. Dengan kekalahan ini, China tersingkir ke Divisyen 3
bagi saingan musim depan.
No comments:
Post a Comment