Monday, January 20, 2014

Sampai Bila Chong Wei, Chong Wei dan Chong Wei?

Kredibilitinya untuk mengesahkan kejuaraan Terbuka Malaysia ke-10 tidak pernah sedikitpun diragui, malah Tommy Sugiarto langsung tidak dilihat sebagai pencabar yang mampu menghalang jaguh nombor satu dunia ini untuk mencatat sejarah dan rekod tersendiri di hadapan ribuan penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Begitupun, bukan itu yang sebenarnya menjadi topik - persoalan yang SEKALI LAGI (sudah berulang kali) tercetus selepas kemenangan bersejarah Chong Wei semalam, sampai bila kita mahu terus menagih kudrat pemain ini yang sudah membayangkan hasrat mahu menggantung raket bila-bila masa sahaja pada ketika tiada seorangpun pemain perseorangan lain yang setidak-tidaknya mampu melepasi aksi pusingan pertama?

Tan Chung Seang, Misbun Ramdan, Iskandar Zulkarnain, Arif Latif, Goh Soon Huat dan Zulfadli Zukifli (bekas juara remaja Dunia) kesemuanya kecundang di pusingan kelayakan manakala Chong Wei Feng dan Darren Liew 'sedikit bagus' daripada mereka apabila mara setapak lebih sehingga ke pusingan pertama.


Cukup memalukan, pada satu ketika kita memiliki himpunan pemain perseorangan yang mampu mengegar dunia - saya tidak mahu pergi terlalu jauh, tetapi cukup sekadar kita melihat semula sekitar tahun 90-an sehinggalah awal 2000-an.

Ketika itu, Malaysia antara negara yang cukup disegani kerana memiliki nama-nama seperti Foo Kok Keong, Rashid Sidek, Yong Hock Kin, Kwan Yoke Meng, Wong Choon Han, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Hafiz Hashim (ini antara yang pantas menjengah pemikiran, ada lagi ramai) tetapi kini tiada seorangpun yang kalaupun tidak boleh berdiri sama tinggi,  setidak-tidaknya mampu untuk berdiri di belakang Chong Wei.

Pada usianya yang akan menginjak 31 tahun Oktober depan, tidak banyak harapan sebenarnya boleh diletakkan di bahu pemain ini - meskipun mempamer aksi bertenaga untuk menjulang gelaran Terbuka Malaysia, Chong Wei sebenarnya tidak berdepan lawan yang sama taraf dan disajikan laluan mudah untuk mengesahkan gelaran kali ketujuh berturut-turut.

Selepas menyingkirkan Du Pengyu di suku akhir, Chong Wei hanya beraksi satu set menentang Jorgensen Jan yang menarik diri di separuh akhir, dan menentang Tommy di final, ianya kemenangan yang sudah diduga - Chong Wei sengaja membiarkan Tommy menguasai permainan, melakukan ATTACK manakala dia sebaliknya hanya bertahan dan memaksa Tommy melakukan UNFORCE ERROR, mengutip mata dari situasi tersebut.

Chong Wei langsung tidak mendahului permainan sepanjang set pertama, sehinggalah Tommy mengutip mata ke-19 barulah dia menunjukkan belang sebenar untuk mengutip lima mata berturut-turut dan menoktahkan permainan dengan 21-19 - set kedua kemudiannya, tiada lagi ruang diberikan kepada Tommy dan kita boleh lihat beza kelas dan kualiti antara dua pemain ini.

Persatuan Badminton Malaysia sudahpun berwajah baru, tetapi apa usaha yang mereka lakukan untuk mencari pengganti pemain ini? Wajah baru, implementasi lama? Pilih kasih? Pilih bulu? Diskriminasi? Saban tahun, kita didendangkan bahawa MISI MENCARI CHONG WEI BARU sudah bermula, tetapi hasilnya langsung tidak nampak (dalam bahasa mudah, habuk pun tarak).

Saya pernah beberapa kali berpeluang duduk semeja, bertentang mata, berbicara dari hati ke hati bersama Chong Wei. Banyak perkara yang dikongsikannya menunjukkan betapa kecewanya dia dengan arena badminton negara masa kini tetapi saya merasakan belum tiba masanya untuk jelaskan secara terperinci apa yang telah kami bualkan.



Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara, serta BAM tidak boleh lagi terus berpeluk tubuh dan sekadar mencanang usaha sudah dilakukan tetapi implementasi ke arah itu tidak ada. Indonesia dan Thailand, malah negara seperti Jepun juga sudah melahirkan bintang badminton menerusi program pembangunan akar umbi tetapi kita yang dahulunya kuasa besar masih terkial-kial mencari pelapis berkualiti.

Sedar tak sedar, sudah lebih dua edisi Olimpik atau secara tepatnya 69 bulan (5 tahun 9 bulan) Chong Wei berada di kedudukan nombor satu dunia tetapi kedudukan itu bukan milik mutlaknya. Mahu tidak mahu, dominasinya akan berakhir jua (semakin hampir untuk berakhir) dan jika KBS, MSN dan BAM khususnya belum lagi mahu menekan butang panik, maka berkuburlah arena badminton negara sama seperti apa yang berlaku kepada skuad bolasepak kebangsaan. 

1 comment:

Aku pengembara said...

Bagi la peluang kat chong wei rehat.. kesian kat dia..