Sunday, August 18, 2013

Rekod tanpa kalah Frenz United B lebur

Rekod tanpa kalah Frenz Malaysia B dileburkan oleh Chonburi FC apabila mereka ditewaskan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala ASEAN-FAM-Frenz 2013 di Stadium Chonburi sebentar tadi.

Chonburi yang menerima sokongan padu dari penyokong mereka menguasai permainan di awal separuh masa pertama dan membuat beberapa percubaan bahaya ke pintu gol Frenz Malaysia B. Mereka hampir mendahului apabila berlaku salah faham di barisan pertahanan pasukan pelawat namun percubaan Kanthawat Petcharat tersasar dari pintu gol.

Foto : Dunia Sukan
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-14 apabila kegagalan penjaga gol Frenz Malaysia B, Muhammad Saiful Niza yang gagal menangkap kemas percubaan Sittichok Paso membolehkan Samart Authairatsamee menolak masuk bola ke dalam gawang.

Chonburi terus menyerang namun Frenz Malaysia B mula menemui rentak permainan. Larian-larian pantas oleh Muhammad Hafizuddin di sebelah kanan kerap mengucar-kacirkan pertahanan tuan rumah. 
Pada minit ke-24 beliau berjaya meloloskan diri hasil hantaran Muhammad Fareez dan membuat satu hantaran lintang ke kawasan gol Chonburi.

Kesilapan pemain pertahanan, Kritsada Kaman menyaksikan bola tiba di kaki Muhammad Ad Deen yang membuat rembatan deras menewaskan penjaga gol Chonburi, Chakhon Philakhlang untuk membolehkan Frenz Malaysia B menyamakan kedudukan.

Gol tersebut seolah-olah memberi semangat kepada Frenz Malaysia B dan mereka membuat beberapa percubaan ke arah pintu gol Chonburi tetapi gagal untuk menemui gawang buat kali kedua menyaksikan kedudukan di akhir separuh masa pertama terikat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan Chonburi menguasai perlawanan dan mereka memaksa Frenz Malaysia B bekerja keras untuk mematahkan serangan-serangan yang dilakukan. Namun pada minit ke-72, pasukan pelawat akhirnya terpaksa akur juga apabila Saharat Sontisawat membuat satu lob yang cantik untuk menewaskan Saiful Niza.

Jaringan tersebut seolah-olah memberikan semangat kepada pasukan tuan rumah yang terus memburu gol sebagai bekalan ke Janda Baik untuk perlawanan kedua nanti. Namun mereka gagal menyudahkan beberapa peluang yang tercipta dan terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 2-1 sahaja pada wisel penamat.

Jurulatih Frenz Malaysia B, Zolkifli Samion berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dan masih menganggap peluang mereka untuk ke perlawanan akhir masih lagi terbuka dengan adanya 90 minit lagi yang harus ditempuhi di perlawanan kedua di Janda Baik nanti.

Sementara itu jurulatih Chonburi, Naruephon Kaenson percaya pasukannya mampu untuk mencapai keputusan yang dikehendaki di perlawanan kedua nanti namun ianya memerlukan usaha yang lebih dari para pemainnya. Walaupun memenangi perlawanan Naruephon tidak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak didiknya yang beliau percaya mampu untuk bermain lebih baik lagi.

No comments: