Friday, August 23, 2013

Misi benam Red Giants

BIARPUN hanya beraksi tiga minit, ia tetap pengalaman berharga buat pertahanan kanan, K Reuben pada penampilannya menentang gergasi Sepanyol, Barcelona tempoh hari.

Masuk sebagai pemain gantian pada masa kecederaan, pemain berusia 23 tahun itu tidak diberikan banyak masa untuk membuktikan kemampuannya namun ia masih menjadi sesuatu yang bakal dikenang anak kelahiran Kajang sepanjang hayatnya.

“Sungguh pun beraksi hanya tiga minit, ia tetap pengalaman yang berguna buat saya dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak. Diharapkan saya dapat menggunakan pengalaman yang diraih dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Selepas kekalahan kami pada perlawanan pertama kepada Sime Darby, Selasa, kami perlu memastikan tiga mata penuh menentang Selangor supaya kami tidak tercicir dalam perebutan tiket ke suku akhir,” kata Burn.

Penampilan Burn dalam skuad kebangsaan menandakan sejauh mana kerjayanya sudah berkembang sejak menempa nama di Sukan Universiti Dunia di Shenzhen dua tahun lalu.

Kini Burn sudah berjaya menempatkan diri dalam benak pemikiran pengendali skuad kebangsaan K Rajagobal dan kini menjadikan posisi pertahanan kanan secara tetap dalam barisan ATM bimbingan B Sathianathan.

Tewas 3-4 kepada Sime Darby dalam aksi pembukaan, ATM kini berdepan misi getir untuk meraih kemenangan ke atas the Red Giants esok dalam misi untuk menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.
Dengan Selangor sekadar seri tanpa jaringan dengan Johor pada perlawanan pembukaan, saingan dalam Kumpulan A kekal terbuka dalam pertembungan yang menjanjikan aksi sengit, menarik dan disulami kontroversi seandainya berpandu kepada rekod pertemuan.

Masih segar di ingatan kekalahan 1-2 kepada Selangor menerusi jaringan minit terakhir K Gurusamy yang menamatkan impian ATM untuk merebut gelaran liga selain kekecewaan penentuan penalti pada pusingan pertama Piala FA yang menafikan khidmat pemain akibat penggantungan berikutan insiden pergeseran antara kedua-dua pasukan itu.

Berikutan kekalahan Selasa lalu, Sathia menjanjikan rombakan di bahagian pertambahan sambil mengalu-alukan kepulangan semula penjaring terbanyak, Marlon Alex James daripada penggantungan.

Namun, penyerang kelahiran St Vincent & Grenadines itu berkemungkinan besar tidak akan diturunkan kerana demam menyaksikan gandingan serangan Hairuddin Omar-Nizaruddin Yusoff dikekalkan. 

Pertahanan kiri, Muhammad Safwan Hashim akan mengisi posisi bek kiri menggantikan Fitri Omar.  

No comments: