Wednesday, August 21, 2013

"Pemain saya tidur"

“Pemain saya tidur pada separuh masa pertama. Mereka hanya bangkit daripada tidur pada separuh masa kedua,” luah pengendali, B Satianathan yang jelas kecewa sejurus kekalahan 3-4 the Gladiators kepada Sime Darby pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Malaysia malam tadi.

Ketinggalan 1-4 kepada naib juara Liga Perdana itu, finalis tahun lalu itu bangkit dengan dua gol namun gagal menemui satu lagi jaringan untuk menyelamatkan satu mata dalam aksi menghiburkan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Baru dua minit berlangsung, tuan rumah dikejutkan jaringan penyerang Togo, Togaba Komlan Kontiwa dengan ATM menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Fazrul Hazli Kadri yang tertampan masuk sepakan percuma Irwan Fadly Idrus pada minit ke-16.

Kelonggaran benteng pertahanan ATM kemudiannya pantas dihukum Togaba yang merembat deras ke penjuru gawang, Mohd Farizal Haron pada minit ke-22.

Dalam ketiadaan pemilik Kasut Emas, Marlon Alex James yang digantung, tanggungjawab di bahagian serangan digalas oleh kapten, Hairuddin Omar dan Mohd Nizaruddin Yusoff dengan Niza, juga bekas pemenang Kasut Emas Liga Super hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya sekadar singgah di palang meski pun penjaga gol, Suffian Abd Rahman sudah tertewas.

Malang menimpa buat ATM apabila Mohd Hadzirun Hamid memanfaatkan keadaan kucar kacir dalam kotak penalti untuk menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-31.

Terdesak memburu dua gol, Sathia membuat keputusan untuk memasukkan Venice Elphi Danny Kaya pada minit ke-32 menggantikan Norfazly Alias, tetapi perkara sebaliknya yang berlaku dengan ATM menyukarkan keadaan buat diri mereka apabila terus dibolosi satu lagi jaringan menerusi serangan pantas sebaik wisel babak kedua dibunyikan.

Kemasukan Venice memberikan nafas baru kepada jentera serangan ATM dengan hasilnya, Irwan Fadly Idrus merapatkan jurang menerusi sepakan percuma kaki kiri pada minit ke-57 sebelum pemain sayap, Venice mengotakan janjinya untuk merobek gawang Sime Darby menerusi rembatan cantik pada minit ke-75.

Gol keempat yang dicari-cari gagal dijelmakan anak buah Sathia dengan pengadil menyapu garam di luka ATM apabila meniup wisel penamat awal sebelum masa tambahan 4 minit habis dimainkan.

Keputusan itu jelas menaikkan kemarahan penyokong yang bertindak membaling objek kepada pengadil dan pegawai perlawanan dengan Sathia terpaksa menahan kemarahannya atas apa yang disifatkannya sebagai keputusan tidak adil.

“Pengadil meniup wisel ketika jam saya menunjukkan 3 minit 53 saat. Masa tambahan tak sampai pun 4 minit. Kalau empat minit, biarlah sampai empat minit. Ini yang buat penyokong marah. Anda (media) boleh melihat sendiri betapa marahnya mereka.

“Pengadil sepatutnya menambah lagi masa tambahan melihatkan pemain mereka yang berterusan melengah-lengahkan perlawanan pada masa tambahan.

No comments: