Dia pernah menolak peluang untuk
membarisi pasukan Harimau Muda ketika diberi peluang tidak lama dahulu,
begitupun pertahanan versatile
Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, tidak mahu mengulangi kesilapan lalu
dan bersedia membalas kepercayaan Ong Kim Swee apabila namanya disenaraikan
pengendali itu untuk membawa cabaran di Pestabola Merdeka bulan depan.
Pemain berusia 22 tahun yang
boleh beraksi di segenap posisi pertahanan sama ada pertahanan tengah, kanan
mahupun kiri ini sudahpun mengukuhkan reputasinya selaku salah seorang pemain
pertahanan terbaik dimiliki negara selepas membentuk kombinasi mantap bersama
Obinna Nwaneri di barisan belakang The Red Warriors musim ini.
“Tahun ini adalah peluang
terakhir saya untuk mewakili Harimau Muda, selepas ini saya sudahpun melebihi
had umur. Jadi saya mahu memanfaatkan peluang yang hadir ini dengan memberikan
aksi terbaik dan memikat perhatian Kim Swee, mungkin ada rezeki saya untuk
membentuk senarai akhir pemain ke Sukan Sea nanti jika mampu menyerlah di
Pestabola Merdeka dan mengekalkan prestasi yang ditunjukkan bersama Kelantan,”
kata Nik Shahrul.
Hanya mendapat peluang untuk
berada di dalam kesebelasan utama Bojan Hodak pada tahun ini ekoran kecederaan
jangka panjang dialami S.Subramaniam dan Azizi Matt Rose, Nik Shahrul pantas
menyerlah membuktikan kredibilitinya sehinggakan berlaku episod tarik tali
antara pengendali skuad senior negara, Datuk K.Rajagobal dan Kim Swee untuk
menggunakan khidmatnya.
Meskipun tidak seperti rakan lain
di dalam skuad Harimau Muda yang berpengalaman beraksi di Eropah dan kejohanan
berprestij seperti Sukan Universiade Dunia di Kazan baru-baru ini, Nik Shahrul
berpendapat dia tiada sebab untuk rasa terasing atau janggal kerana dia juga
pernah beraksi di pentas Piala AFC bersama Kelantan selain tiga aksi final liga
domestik, termasuk Piala FA pada Jun lalu.
“Saya percaya dengan kebolehan
saya, sebagai pemain setiap perlawanan adalah pengalaman baru. Baik ianya
domestik atau antarabangsa. Saya telah mendapat kepercayaan untuk beraksi
menentang Chelsea dan Barcelona, saya kutip banyak pengalaman.
“Di peringkat tempatan, saya
pernah beraksi dalam suasana final dikelilingi 90,000 penyokong, jadi tiada
sebab untuk gemuruh atau rasa kekok. Saya berjanji, jika diberi peluang saya
akan tampilkan aksi terbaik saya,” kata pemain kelahiran Rantau Panjang ini.
Andai mahu merebut tempat di
dalam kesebelasan utama, Nik Shahrul sedar ianya bukan mudah kerana dia perlu
bersaing dengan pemain lebih berpengalaman seperti Fadhli Shas, Amir Zafran dan juga Shukur Saad.
No comments:
Post a Comment