Wednesday, August 28, 2013

Saarvindran tekad gegar Pestabola

Artikel sumbangan Harris Rajahdin, bekas wartawan Berita Harian

Bergelar penjaring terbanyak Harimau Muda A di temasya Sukan Universiti Dunia yang berlangsung di Kazan, Russia baru-baru ini, D.Saarvindran bertekad untuk mengulangi prestasinya di Pestabola Merdeka dan seterusnya Sukan Sea akhir tahun ini.

Pemain tengah kelahiran Selangor berusia 20 tahun itu mencetak gol pertama dalam laluan kejayaan mengejut 2-0 ke atas Itali sebelum menambah dua lagi jaringan dalam keputusan seri 1-1 ke atas Ireland dan kekalahan 1-3 dalam penentuan ketujuh/kelapan keatas Kanada.

Sarvindran (kiri) antara nama yang meningkat naik ketika ini
Kini, Saarvindran mahu memastikan mahkota penjaring terbanyak terus menjadi miliknya pada kejohanan bola sepak antarabangsa tertua di rantau ini, Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung di Kuantan pada 5-14 September ini.

“Saya berharap dapat meneruskan persembahan yang ditunjukkan di Kazan pada Pestabola Merdeka nanti. Sasaran saya adalah untuk bergelar penjaring terbanyak di Pestabola dan juga Sukan Sea,” kata Saarvindran.

Baru berusia 20 tahun, Saarvindran memulakan kerjayanya di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2008 sebelum melangkah ke peringkat remaja bersama Harimau Muda B (2010-2012) sebelum dinaikkan ke Harimau Muda A sehingga sekarang.

“Meskipun orang mengatakan bahawa Pestabola tidak sepenting Sukan Sea, saya tidak bersetuju dengan pendapat itu dan bertekad untuk menjuarainya. Pestabola Merdeka adalah sebuah kejohanan istimewa yang pernah menampilkan legenda bola sepak negara dan kami mahu mengikut jejak langkah legenda yang pernah memenanginya sebelum ini seperti (Allahyarham) Mokhtar Dahari dan Soh Chin Aun,” katanya.

No comments: