Sunday, August 18, 2013

Nasib sama menimpa Frenz United A

Nasib sama seperti Frenz United B! Itulah yang menimpa pasukan Frenz United A apabila tewas 1-2 kepada Frenz Indonesia dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF-FAM-Asean Frenz 2013 di Stadion Jalak Harupat, Bandung. Di aksi separuh akhir yanh berlangsung semalam, Frenz United B tewas 1-2 kepada Chonburi FC.

Beraksi di gelanggang sendiri, Frenz Indonesia memulakan aksi dengan bertenaga dan menguasai hampir sepenuhnya separuh masa pertama dengan Frenz United Malaysia sekali sekala menguji kubu lawan dengan serangan balas namun gol yang dicari kedua-dua pasukan tidak berjaya ditemui.

Mohd Akhmar Haiqal Azhar (jersi hitam) dari Frenz Malaysia A bertembung dengan pemain lawan ketika perebutan bola. Dunia Sukan. 
Bersambung babak kedua, Frenz Indonesia memperolehi gol pertama pada minit ke-56 melalui Imanes Novanrianto yang menguis masuk melepasi penjaga gol Malaysia, Adam Zairi Fitri Zaini yang sebelum itu menepis sepakan percuma pihak lawan.

Tersentak dengan gol itu, jurulatih Frenz Malaysia A membuat beberapa perubahan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui Mohd Akhmar Haiqal Azhar pada minit ke-66 yang mudah menanduk masuk setelah menerima hantaran jauh dari penjaga gol.

Pemain Frenz Malaysia A, Mohd Akhmar Haiqal Azhar meraikan gol beliau pada minit ke-66
Selepas itu Frenz Malaysia A melancarkan serangan demi serangan bagi mencari gol tambahan namun keghairahan tersebut membawa padah apabila Frenz Indonesia menjaringkan gol melalui M. Awal Fajri pada minit ke-88.

Sementara itu jurulatih Frenz Malaysia A, Mat Dinos Talib berkata, pasukannya menguasai babak kedua namun sedikit kealpaan akibat terlalu menyerang menyebabkan pasukan kalah kepada lawan.

"Kami akan membuat post mortem dan berjanji akan bangkit di perlawanan separuh akhir kedua nanti" tambah Mat Dinos.

Perlawanan separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung di Stadium Frenz, Janda Baik pada Rabu (21 Ogos) dan Khamis (22 Ogos). 

No comments: