Thursday, May 10, 2012

Lagenda : Safarrudin Kecewa Basikal Diambil PCA


Penulis meminta maaf kepada pengikut blog ini di atas ketidak-sempatan untuk mengupdate blog sejak kebelakangan ini. Sebagai Pengarang di Yayasan Kebajikan Atlet, penulis ketika ini terikat dengan jadual padat kerana YAKEB akan menerbitkan buku tentang bekas atlet yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Sebagai penulis utama buku tersebut, dan ketika ini lebih banyak menghabiskan masa bertemu dan menemuramah tokoh-tokoh, lagenda, dan wira sukan yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu - jom kita ketahui serba sedikit tentang Pakcik Din.  

Menyingkap sejarah sukan berbasikal tanah air, nama Safarrudin Zain pastinya masih dikenang sebagai generasi pertama dari sukan berbasikal mengibar bendera Malaysia di temasya Sukan Olimpik bersama-sama N.A Rosli, Ng Joo Pong, Stephen Lim dan Andrew Michael .

Meskipun tidak sempat menamatkan perlumbaan dan menghentikan kayuhan selepas 7 pusingan, pengalaman beraksi di Tokyo 1964 itu kekal terpahat sebagai memori indah di ingatan Safarrudin atau lebih mesra disapa Haji Din, namun tanpa diduga ia juga meninggalkan kenangan pahit apabila menjadi temasya terakhir disertainya sebelum menoktahkan karier seawal usia 26 tahun.

“Beraksi di Olimpik satu penghormatan dan pencapaian terbesar dalam karier seseorang atlet, di atas kejayaan saya sebagai anak Penang yang mewakili negara ke Olimpik, saya telah menerima sebuah basikal berjenama Fasto Coppi sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Tetapi setibanya dari Olimpik Tokyo, basikal itu diambil oleh Kelab Lumba Basikal Pulau Pinang atas alasan mereka yang tolong mendapatkannya. Kecewa dengan situasi ini, saya terus bersara dari arena lumba basikal..”.

Beliau selepas itu melupakan terus dunia berbasikal dan mengalihkan tumpuan secara penuh kepada kariernya sebagai Pengendali Kapal (Kargo) di sebuah syarikat perkapalan.

Membuka bicara tentang pembabitan awalnya sebagai seorang pelumba basikal, anak kelahiran Georgetown ini berkata semuanya bermula ketika beliau berusia 16 tahun, apabila rakan karibnya, Allahyarham Idris Ahyari membeli basikal baru jenis Hopper.  

“Kami berlumba sesama sendiri (time trial). Saya menang dan menyuruh arwah ibu belikan basikal, arwah ibu telah membelikan saya basikal berjenama Bone Shakee buatan Itali dengan harga RM60. Sejak itu saya yang amat meminati bolasepak mula meminati sukan lumba basikal, dan bermulalah sejarah Safaruddin Zain..”.

Sokongan keluarga nyata menjadi sumber inspirasi dan pendorong buat Haji Din yang mendapat sentuhan jurulatih kebangsaan ketika itu, mendiang Gurchan Singh, untuk terus menapak mencipta nama dalam arena lumba basikal.  

Tempoh 9 tahun terlibat bersama skuad kebangsaan nyata meninggalkan banyak kenangan pahit manis buat Haji Din atau juga dikenali sebagai ‘kepek’ di kalangan rakan-rakan, antaranya menjuarai Strait Echo Cup pada 1957, Piala Grut 1960 dan Piala Hopper 1961 yang melayakkan beliau untuk beraksi di Sukan SEAP 1961 di Burma – temasya yang menyaksikan beliau mengalami kemalangan dan terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

No comments: