Sunday, March 25, 2012

Kelantan Terlalu Kuat Buat SPA, Bojan Puji Aksi Nwoha


KLSpa vs Kelantan - foto kredit : Bernama
Status selaku ‘giant-killer’ gagal membantu pasukan KL SPA meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala FA, apabila tewas 0-3 kepada finalis musim lalu, Kelantan, dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. 

Meskipun berupaya menyaingi kehebatan Kelantan yang menurunkan kesebelasan utama mereka dari segenap sudut pada satu ketika, faktor kurang pengalaman nyata menjadi pemisah antara dua pasukan berbeza taraf ini.

Apapun, jurulatih KL SPA, Nizam Jamil gembira dengan permainan ditunjukkan anak buahnya, dan menyifatkan tiada apa untuk dihairankan dengan keputusan 3-0 kerana ia sudah dijangka, lebih-lebih ini kali pertama pasukannya beraksi disaksikan hampir 10,000 penyokong.  

“tiada apa yang mengejutkan, keputusan ini sudah dijangka, SPA dan Kelantan dua pasukan berbeza taraf. Memang kecewa 45 minit pertama kita bertahan dan menyerang dengan baik, tapi bolos seminit di masa kecederaan, tapi ia sudah dijangka, ini biggest game bagi kami, saya sudah jangka..”.

“ ..apa yang saya gembira attitude pemain, mereka tidak takut, tidak terlalu hormati lawan, mereka cipta peluang, 2 percubaan kena tiang, overall kita bagus, kita lawan team bukan calang-calang, pasukan berpengalaman, pergerakan dan serangan Kelantan cukup tersusun, kita pula cuba sesuaikan diri dengan suasana permainan, ini juga kali pertama mereka main disaksikan hampir 10ribu penyokong, kita lawan pasukan kuat, ada 2 import, jadi saya tak boleh minta lebih daripada ini dari pemain saya, perlawanan ini bagi saya akan memberi pengalaman berguna kepada pasukan..”. – Nizam Jamil.

Nizam juga berpendapat pasukannya tidak mempunyai sebarang peluang mencipta kejutan pada aksi timbal balik di Kota Bharu Selasa ini, namun mengharapkan pemainnya mempamer komitmen dan menunjukkan semangat yang sama ditunjukkan seperti perlawanan pada malam ini.

Sementara itu di kem Kelantan, Ketua Jurulatih TRW, Bojan Hodak berpuas hati dengan kemenangan selesa yang dirakamkan hasil jaringan masa kecederaan babak pertama kapten pasukan, Badri Razi serta dua gol jaringan Norfarhan Mohd pada minit ke-54 dan 77.

Nwoha In Action - foto kredit : Bernama
“saya akui pada awal permainan saya agak risau kita gagal jaringkan gol, ia memang biasa, dalam saingan Piala FA, pasukan yang lemah sentiasa berpeluang mencita kejutan ke atas pasukan kuat, ia masalah motivasi. Dan saya gembira akhirnya perlawanan berpihak kepada kami. Secara jujur, saya rasa kita boleh menang dengan jaringan lebih besar, tetapi menang 3 gol, kita dah cukup selesa kerana kita main di tempat lawan. Perlawanan kedua di tempat sendiri, jadi saya berpuas hati, yang penting kita menang dan ada kelebihan..”.

“saya rasakan di Kota Bharu juga kita tiada masalah untuk menang, tapi pemain saya perlu laksanakan tugas dengan baik, saya akan merehatkan beberapa pemain dan gilirkan dengan pemain lain, jadual kita agak padat dan pemain agak keletihan, semua pemain diberi peluang untuk buktikan sesuatu..”.

Bojan juga memuji aksi penyerang importnya, Nwoha Onyekachi yang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa, dan melabel pemain itu sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada malam ini.

“ya, memang dia belum bernasib baik untuk jaringkan gol, tapi malam ini dia mempamer aksi lebih baik berbanding sebelum ini. Dia melakukan beberapa percubaan, dan dia assist untuk gol pertama, kedua, dan ketiga. Farhan jaringkan dua gol, dan Nwoha pula assist 3 kali, jadi bagi saya Nwoha adalah pemain terbaik perlawanan..”.

Ringkasan Perlawanan :

Minit 8 : Penjaga gol SPA, Mohd Nuraizat menyelamatkan percubaan kencang Indra Putra dan follow up Norfarhan.

Minit 9 : Rembatan S.Chanturu diselamatkan Nuraizat.

Minit 10 : Tandukan Indra Putra hasil sepakan sudut Piya sedikit tersasar.

Minit 13 : Percubaan Nwoha hanya sedikit tersasar di kanan gawang Nuraizat.

Minit 15 : Rembatan kencang Nwoha diselamatkan Nuraizat, tiada pemain untuk buat  follow up.

Minit 32 : Sepakan percuma Piya dari luar kotak penalti diselamatkan Nuraizat.

Minit 41 : Peluang pertama buat SPA, kesilapan Obinna memberi ruang kepada Mohd Shafiq melakukan percubaan diselamatkan Shahrizan Ismail.

Minit 43 : Percubaan Khairol Azry yang terlepas dari kawalan Farisham Ismail, terkena tiang gol.

Minit 45+1 : GOL jaringan Piya, rembatan dari luar kotak penalti. 1-0.

Minit 47 : Norfarhan melakukan percubaan depan gol, diselamatkan Nuraizat sekali lagi.

Minit 54 : GOL. Nwoha membawa masuk bola ke dalam kotak penalti, dan melorongkan kepada Norfarhan, Farhan mudah menyepak masuk. 2-0.

Minit 56 : Tandukan Obinna hasil sepakan sudut Piya dikeluarkan di atas garisan gol oleh Sazali Suwandi.

Minit 60 : Percubaan kencang Muhd Nur Saiful dari luar kotak penalti mengegar tiang gol Kelantan ketika Shahrizan sudah tertewas.

Minit 77 : GOL. Percubaan Nwoha digagalkan Nuraizat, Norfarhan follow-up untuk gol ketiga. 3-0.

Monday, March 19, 2012

Giliran Tunku Ellie Kritik FAM, Beranikah FAM?

Belumpun reda isu membabitkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib hujung bulan ini, badan induk bolasepak tanah air itu terus dikritik hebat, kali ini giliran orang kuat bolasepak wanita, Tunku Ellie Badariah Tunku Ahmad.

Tunku Ellie, yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Wanita Malaysia, menerusi laporan yang dipetik dari Bernama (baca sini), nyata kecewa dengan sikap endah tak endah FAM terhadap pembangunan bolasepak wanita, meskipun ‘TERTUDUH’ bagi kes pertama, Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita telahpun memulakan langkah pembangunan sejak 2009 dulu, namun tidak mendapat reaksi positif FAM.

Untuk rekod, Tunku Ellie adalah dari kerabat diraja Negeri Sembilan, dan beliau telah berusaha gigih lebih separuh abad untuk membangunkan sukan bolasepak wanita. Beliau yang berusia 67 tahun, merupakan Pengasas Persatuan Bolasepak Wanita Negeri Sembilan pada 1956, sebelum ianya berkembang ke Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur selain penubuhan pasukan bolasepak wanita PDRM.

Oleh kerana telah mengkritik FAM yang kebal dan tidak boleh dikritik, penulis berpendapat Tunku Ellie juga akan menerima SURAT PERTUDUHAN tidak lama lagi dari Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad, dan berkemungkinan besar beliau akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM meskipun kenyataan beliau itu 100% benar, sepertimana berlaku kepada Annuar – tetapi beranikah FAM? JANGAN BERSIKAP DOUBLE STANDARD, kalau salah mana-mana pihak tidak harus terlepas, sejauh mana telusnya FAM? SILA ADIL DAN SAKSAMA, kalau Tunku Ellie tidak bersalah mengeluarkan kenyataan mengkritik FAM, maka Annuar juga seharusnya tidak.

Kepada FAM, belajarlah terima kritikan, usah cepat melatah kerana apa yang disuarakan mereka ini adalah hakikat sebenar. Jangan kerana keegoan, pembangunan bolasepak tanah air, samada lelaki mahupun wanita habis tertimbus begitu sahaja. Annuar berjaya mentransformasikan bolasepak Kelantan, tetapi tidak diberi peluang untuk melaksanakannya bersama skuad kebangsaan, beliau dicampak ke skuad wanita, namun di situ juga tidak beroleh sokongan. TEPUK DADA TANYA SELERA.

Bicara Kata : Apabila Timbalan Presiden Tidak Boleh Bersuara..

“Saya tak nampak di mana silapnya apabila Tan Sri Annuar bersuara mengkritik prestasi pasukan kebangsaan. Sama ada secara langsung atau tidak, dengan niat atau tidak, beliau sebagai Timbalan Presiden, iaitu orang kedua selepas Presiden dalam hiraki FAM, mempunyai hak untuk bersuara dan menegur apa yang tidak kena. Kalau dia sebagai pemimpin, tapi harus ikut telunjuk orang lain dan tidak boleh bersuara, lebih baik tidak perlu lantik dia sebagai timbalan..”.

Itu antara reaksi bekas pemain kebangsaan tahun 80-an, Kamarulzaman Yusof, mengenai situasi dihadapi Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, yang dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib ekoran komennya mengenai prestasi semasa pasukan kebangsaan kendalian Datuk K.Rajagobal minggu lalu.

Memang benar kata Kamarulzaman, atau lebih dikenali sebagai ‘Kemp’. Apakah sebagai Timbalan Presiden, Annuar tidak mempunyai hak untuk melontarkan pandangannya mengenai  skuad kebangsaan? Kalau begitu, mengapa pula rakan-rakan wartawan menemuramah beliau dan mendapatkan pandangan daripadanya apabila skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan Sea, meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki, malah menjemput beliau ke pelbagai program bual bicara berkenaan skuad kebangsaan?

Apakah mulut pemimpin ini diikat hanya untuk memberi komen positif, dan segala komen negative yang disuarakan hanya akan membawa kepada tindakan tatatertib? Kalau begitu, ramai pula rasanya orang dalam FAM yang akan menerima nasib sama seperti dialami bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Zainudin Raja Omar, dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil tidak lama dahulu – bukan hanya Annuar seorang.

Seharusnya setiap apa yang disuarakan, bukan sahaja oleh Annuar, tetapi semua individu di dalam FAM, dinilai secara terperinci, dan keputusan yang paling baik dicapai untuk menyelesaikan masalah, bukan menambah pula masalah baru. Mengenakan tindakan ke atas salah seorang pemimpin tertinggi di dalam badan induk tidak akan menyelesaikan masalah, pada ketika perkara yang disuarakan pula bukanlah suatu yang tidak betul malah diakui ramai.

Saya yakin majoriti peminat bolasepak tempatan bersetuju dengan kenyataan yang beliau keluarkan. Prestasi bolasepak tanah air bukanlah berada di tahap yang membanggakan, selepas menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010, kita bergelut untuk menewaskan Taiwan di Pusingan Kelayakan Piala Dunia, sebelum tewas kepada Singapura.

Persahabatan antarabangsa, kita gagal mengatur perlawanan berstatus A dan gagal menarik minat setidak-tidaknya pasukan berstatus jagoan Asia, apabila berterusan mempamer prestasi ala budak sekolah, kali terakhir menentang Australia yang ketika itu di ranking ke-19 dunia, kita tewas 0-5.

Saya sendiri pernah banyak kali mengkritik pendekatan Rajagobal, malah mengutuk aksi skuad kebangsaan. (Baca sini, sini, sini dan sini). Bukan sahaja saya, tetapi blogger terkenal, Rizal Hashim juga pernah ‘membantai’ aksi skuad kendalian Rajagobal, melabel mereka main macam tahi (baca sini) - kesemua kritikan ini dapat diterima FAM, tetapi yang peliknya, apabila orang kuat mereka sendiri mempersoal kredibiliti pasukan, ia bingkas menjadi satu kesalahan?

Pendapat saya, isu ini tidak akan timbul sekiranya Annuar sendiri tidak bertindak menafikan kenyataan yang beliau keluarkan itu, dan berterusan melabel media sebagai memutarbelit dan mensensasikan isu ini.

Saya sendiri, sebagai wartawan, pengiat media, tidak menafikan turut terkena tempias dan tidak berpuas hati dengan tindakan Annuar yang seolah-olah mahu mengatakan keluarga media sukan ini ‘bodoh’ melalui status-status FB yang ditulisnya dan TIDAK MENAFIKAN saya ada mengeluarkan beberapa komen yang bersifat menghentam beliau di FB saya. HANYA JAUHARI YANG MENGENAL MANIKAM dan tidak perlu ada yang melabel saya sebagai ‘pengkhianat’ atau dalam bahasa orang Kelantan, ‘cah ketin’. Lihat juga bagaimana saya menulis tentang TSAM sebelum ini, (baca sini, sini dan sini) ini tidak termasuk apa yang saya tulis tentang beliau dan KAFA sepanjang 3 tahun lebih di Bernama TV dulu.

Tindakan berterusan beliau mempertahankan diri di FB tidak dapat membantu beliau daripada terlepas menerima surat pertuduhan, cuma dalam situasi ini, saya berpendapat apa yang beliau lakukan tidaklah begitu serius sehingga harus dihadap ke Jawatankuasa Tatatertib. Kalau Timbalan Presiden sudah kehilangan hak untuk bersuara, maka FAM BUKAN LAGI RELEVAN UNTUK DIGELAR BADAN INDUK BOLASEPAK TANAHAIR.

Wednesday, March 14, 2012

Raja Hairan Kenyataan Annuar



Ketua Jurulatih Bolasepak Kebangsaan, Datuk K.Rajagobal menegaskan skuad bolasepak negara tetap berada di landasan tepat untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi dua tahun lalu, di sebalik pertikaian hebat mengenai kredibiliti pasukannya.

Rajagobal berpendapat prestasi goyah pasukan kebangsaan sejak beberapa perlawanan lalu sebagai tidak membimbangkan, meskipun ketika ini berada di ranking ke-152 dunia – situasi yang juga menyebabkan Malaysia sukar mendapatkan perlawanan kompetitif berstatus A dan sekadar beroleh  perlawanan bertaraf tempatan menentang Selangor, Kelantan, Sabah dan terbaru Sarawak.

“Bukan saya nak bagi alasan, selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia dengan Singapura saya tak pernah guna pemain terbaik, dalam konteks itu kita ada menang ada kalah, perlawanan antrabangsa yang kita main tahun lepas adalah menentang Australia, dua perlawanan dengan India, tahun ini Filipina, kesimpulan yang dapat saya buat, kita main baik, saya guna pemain berbeza, yang pertama kali mewakili negara. Bukan senang untuk bentuk keserasian dan kuatkan pasukan, tiba masanya saya akan umumkan pasukan terbaik..”.  

Dan menjawab pertanyaan selama mana eksperimen beliau akan berterusan tatkala Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Tan Sri Annuar Musa sendiri seolah tidak berpuas hati dengan pendekatan yang dilaksanakannya menerusi laporan di Astro Arena dan akhbar Metro hari ini (baca sini), Rajagobal berkata beliau hairan dengan kenyataan Annuar itu.

“Saya tak boleh komen kenyataan orang lain. Itu pendapat masing-masing, cuma saya hairan dengan beliau kenapa keluarkan kenyataan macam itu. Kita tiada banyak pemain yang cedera dan juga bersama skuad olimpik, saya sebolehnya tidak mahu ganggu pemain dalam team Harimau dan sebab itulah saya panggil ramai pemain lain untuk buktikan sesuatu. Jadi adalah normal jika kita tunjuk prestasi kurang baik, jadi jangan cepat datang kepada satu kesimpulan, pengurus pasukan Datuk Subahan adalah paling rapat dengan pasukan. Kalau Annuar tak puas hati, beliau boleh bincang dengan saya atau Subahan. Saya sebagai jurulatih nampak ada peningkatan ditunjukkan..”.

Rajagobal ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang (Outstanding Achievement) dari Pertubuhan Pencapaian Malaysia di Wisma FAM. 

Sementara itu, Annuar ketika dihubungi berkata beliau tidak pernah sekalipun menyentuh soal kejurulatihan di dalam kenyataannya, dan menyalahkan media sebagai sengaja mensensasikan perkara ini. Menurutnya, kenyataan yang dipetik adalah di luar konteks dan andaian dibuat sendiri oleh media.

“saya komen pasukan dalam konteks tahap prestasi, dan bukannya kejurulatihan atau jurulatih itu sendiri, saya NEVER MENTION nama sesiapa, andaian ia dituju pada siapa itu SALAH. Soalan ditanya pada saya apa pandangan saya tentang prestasi pasukan kebangsaan, saya beritahu secara peribadi kita belum boleh berpuas hati, saya kata walaupun kita juara Piala AFF belum bermakna kita dah jadi AFF powerhouse, mutu sebenar kita masih rendah di Asia.”

“Kita tak boleh sepanjang masa beri alasan yang orang sukar nak terima seperti sedang mencuba pasukan, atau skuad untuk 2015 dan sebagainya..yang saya maksudkan kita perlu cari pendekatan memajukan asas pembangunan, BUKAN HAL JURULATIH atau KEJURULATIHAN..”. 

Nusa Mahsuri Sambut Baik Cadangan Yakeb


Kelab Badminton professional tanah air, Nusa Mahsuri menyambut baik cadangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang ingin membantu bekas atlet yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai  tenaga pengajar di sekolah-sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, agensi swasta mahupun agensi kerajaan yang memerlukan khidmat mereka.

Ketua Jurulatih NMBC, Datuk Misbun Sidek berkata tidak menjadi masalah bagi pihaknya untuk menyokong usaha Yakeb ini, kerana ia secara tidak langsung dapat membekalkan platform kepada para jurulatih lulusan kelab itu menurunkan ilmu dan selok-belok permainan yang telah mereka pelajari – sepertimana dilaksanakan melalui Program Sukan Teras. 


“Saya melihat cadangan Yakeb ini sangat baik untuk menaikkan industri sukan Malaysia, kita sekarang banyak populasi, kelompok pemain terlalu ramai di satu-satu pusat latihan tetapi tidak dapat dipecahkan kerana kurang tenaga pengajar. Kalau ia boleh dilakukan, dan jurulatih 2-3 orang diserap di setiap pusat latihan, di tiap-tiap daerah, saya percaya kita akan dapat kelompok pemain yang lebih besar,” katanya kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.

Misbun ditemui pada Majlis Penutup Klinik Kejurulatihan Asas Badminton Siri Pertama yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, yang juga Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh di Institut Penilaian Negara, pada Ahad.

Pada majlis tersebut, Jamil berkata Yakeb akan mengeluarkan surat sokongan untuk mencadangkan ahlinya yang terdiri daripada bekas atlet negara agar diberi keutamaan untuk dilantik sebagai jurulatih di mana-mana agensi yang berminat mendapatkan khidmat jurulatih, sebagai menghargai pengorbanan mereka di dalam mengharumkan nama negara apatah lagi tidak kesemua atlet yang bersara daripada arena sukan dijanjikan kerja atau pendapatan tetap.

Bagi Penasihat NMBC, Jalani Sidek, beliau melihat perkara ini sebagai suatu yang positif, di mana ia juga boleh membantu para jurulatih yang datang dari pelbagai latar belakang mencari pendapatan tambahan.


“NMBC boleh bekerjasama dengan Yakeb, bekas atlet yang ingin berkhidmat sebagai jurulatih, mereka tidak tahu bagaimana hendak promosikan diri, Yakeb boleh membantu. Sebagai contoh, sekolah, universiti atau agensi swasta yang inginkan khidmat jurulatih untuk program mereka, hanya perlu pergi ke laman web Yakeb, kita (NMBC) akan sediakan satu senarai dan mereka boleh pilih dari situ. Kita ada kelompok jurulatih yang boleh membantu dari peringkat sekolah hinggalah nasional. Inilah yang kita ingin lakukan, cikgu-cikgu umpamanya dapat cari pendapatan tambahan..” ujar Jalani.

Sementara itu, bercakap mengenai Klinik Kejurulatihan ini yang memasuki Siri Kedua bagi tahun 2012 selepas ia diadakan di Sabah minggu lalu, Presiden NMBC, Roslin Hashim berkata sambutan dan penyertaan yang diterima cukup menggalakkan.

“Ini sebenarnya yang kedua, kita ada masalah dengan tarikh, jadi kita buat di Sabah dulu, melalui klinik ini kita ajar mereka merangkumi semua aspek, dari asas, teori, senam cergas, motivasi, kaedah dan modul mengajar, serta teknik-teknik dan kemahiran kejurulatihan, shuttle drill dan sebagainya. Kita akan terus salurkan ilmu dan akan juga anjurkan Kem Bakat. Sambutan amat menggalakkan tapi kita amat kekurangan tenaga pengajar, lebih kurang 10 orang sahaja, jadi kita ambil terhad.” – Roslin Hashim.

Klinik Kejurulatihan Asas Badminton NMBC merupakan program yang dirangka khas untuk memberi tunjuk ajar kepada jurulatih-jurulatih tempatan dan mereka yang berminat menceburi bidang kejurulatihan hasil kerjasama NMBC bersama KBS, dan Institut Sukan Negara.  

Friday, March 9, 2012

Peter Butler Dedah Kebenaran, KAFA Hipokrit?

Berikut pendedahan bekas Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler tentang kontroversi melanda dirinya kepada wartawan yang juga pemenang Anugerah Kewartawanan Sukan SAM/KBS baru-baru ini, Haresh Deol. 

Ternyata, Butler berpendapat KAFA langsung tidak profesional apabila berterusan memburukkannya melalui facebook presiden, Tan Sri Annuar Musa, malah mendedahkan bahawa gambar yang diambil bersama Azman Ibrahim (Pengurus Pasukan) yang kononnya datang berbincang hati ke hati untuk menyelesaikan kontroversi yang timbul adalah TIDAK BENAR. 

"I am a respected man and a professional. If i feel there is a problem, i will not go and lambast someone on facebook. I would instead call the person up and talk to him face to face. The picture of me and Azman you saw on facebook, it was a current picture but the picture was taken just to tell the fans that we've patched up. Honestly, we didn't even talk about the issue..".

(Translation) ~~ saya seorang yang dihormati dan cukup professional. Jika saya merasakan ada masalah, saya tidak akan bertindak memburukkan/menghentam seseorang itu di Facebook. Sebaliknya saya akan panggil individu berkenaan dan bercakap dengannya bertentang mata. Gambar saya dengan Azman yang anda nampak di Facebook, itu memang gambar terbaru, tapi gambar itu diambil kononnya untuk memberitahu peminat bahawa antara kami tidak ada masalah. Jujurnya, kami tidak langsung bercakap mengenai isu yang timbul itu ~~

"i love that club (Kelantan), and the supporters they were great to me but they dont know the truth becoz nobody has been brave enuf to stand up and speak the truth. He (Anuar Musa) hated the fact i stood up to him..".

"Saya sayangkan Kelantan , penyokongnya, mereka cukup bagus, tetapi mereka tidak tahu perkara sebenar kerana tiada siapa yang berani untuk menyuarakan kebenaran. Dia (Anuar Musa) tidak dapat menerima hakikat bahawa saya berani melakukannya..".

Thursday, March 8, 2012

Bojan : Saya Bukan Pak Turut

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berpuas hati dengan satu mata yang dikutip pasukannya pada perlawanan pertama Piala AFC menentang Navibank Saigon semalam.

Bojan berpendapat hujan lebat di sepanjang 60 minit terakhir permainan, sedikit membataskan aksi pemainnya yang tidak dapat menampilkan potensi sebenar, namun keputusan seri tanpa jaringan mungkin berbeza sekiranya Kelantan memanfaatkan deretan peluang terhidang tatkala pasukan lawan dilihat tenggelam punca beraksi di padang becak.

“babak awal permainan kita memberi mereka (Navibank) ruang untuk mengasak, selepas 15 -20 minit barulah pemain saya dapat cari rentak permainan, kita kuasai permainan, menyerang mereka dari segenap sudut, tapi itulah bolasepak, segalanya tidak bermakna kalau tak dapat jaringkan gol..”.

“kita memang tumpul di barisan depan, kita kehilangan penyerang terbaik Norshahrul, Indra Putra slight knock, dan saya mempertaruhkan dua import di barisan depan, tapi saya tak boleh salahkan mereka, penyerang terbaik dunia pun adakalanya buntu di depan gol, Ghaddar cukup hampir, begitu juga Nwoha, anda mungkin mempersoal kredibiliti Nwoha, tetapi percayalah dia penyerang yang bagus, saya harus memberi dia peluang, dia perlukan masa untuk menemui sentuhan, dia pernah bermain di liga utama Qatar, saya percaya dia akan bangkit, jangan menilai pemain berdasarkan 2-3 perlawanan sahaja..”. – Bojan Hodak.

Pada perlawanan semalam, Bojan memilih untuk merehatkan Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahyuddin, dan tempat kedua-dua mereka diisi dua pemain import, Dennis Antwi dan Mahmoud Ghaddar – namun kedua-dua mereka gagal memberi impak kepada prestasi keseluruhan pasukan.

foto kredit : YusranYusof (kelate.net)
Nwoha Onyekachi turut beroleh beberapa peluang keemasan, namun kesemua percubaannya sama ada melalui sepakan atau tandukan, tiada yang langsung menepati sasaran. Jika adapun percubaan yang mencemaskan lawan, ianya menerusi percubaan menerusi sentuhan terakhir Ghaddar sebelum digantikan Ramzul Zahini Adnan.

Mengenai keputusan pengadil yang menafikan dua sepakan penalti buat Kelantan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan lebih menyebelahi Navibank, Bojan tidak mahu memberi sebarang komen dan menganggap pengadil mungkin sudah melakukan keputusan tepat.

Ditanya apakah beliau juga seperti Peter Butler – hanya berkuasa melatih pasukan dan tiada hak memilih pemain import – Bojan berkata dia mempunyai KUASA PENUH untuk memilih atau mencadangkan siapa pemain yang dia mahukan.

“YA, SAYA ADA KUASA PENUH. Pengurusan ada meminta saya untuk mencadangkan, juga menilai, memantau pemain import, jadi kita harus tunggu pintu perpindahan April jika mahu pemain yang lebih bagus disenaraikan..”.

Justeru dengan kenyataan Bojan ini, diharap tiada pula timbul isu TERPAKSA mengikut kata telunjuk atau menjadi PAK TURUT seterusnya melarikan diri sekerat jalan seperti Cikgu Jan atau Butler sendiri, dan semoga beliau diberi peluang menjalankan tugasnya sebagai jurulatih dengan baik tanpa gangguan.

Tuesday, March 6, 2012

Kelantan Tanpa 5 Pemain Utama, Bojan Sekadar Mahu Aksi Lebih Baik


Pendahulu Liga Super, Kelantan bakal turun pada saingan pembuka tirai Piala AFC menentang Navibank Saigon dari Vietnam malam esok, tanpa kelibat sekurang-kurangnya 5 pemain utama, tatkala Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak meletak sebarang sasaran besar untuk pasukannya.

Bojan, jurulatih kelahiran Croatia, akur beliau terpaksa melupakan khidmat dua pemain, S.Subramaniam dan Indra Putra Mahyuddin yang menyertai senarai kecederaan bersama Norshahrul Idlan Talaha dan Aziz Ismail, manakala pemain pertahanan kental, Daudsu Jamaludin pula diberi rehat selepas terbabit dalam kemalangan di Kota Bharu.

“kita mungkin pendahulu liga, namun saya mahu mengingatkan setiap perlawanan yang diharungi adalah sukar buat kita, pemain berikan komitmen 200%, dalam AFC, ia suatu yang berbeza, tiada siapa mahu meletakkan harapan tinggi, tiada siapa mengharapkan keajaiban, saya cuma mahu pemain saya main rileks, tenang, tunjukkan permainan lebih berkualiti berbanding menentang Negeri Sembilan dua hari lalu..”.

“keadaan Subra tidaklah teruk, dia sudah ok, tapi untuk bermain malam esok pastinya tidak, dia perlu berehat, dan kita juga akan turun tanpa Daudsu, dia mengalami kemalangan di Kota Bharu semalam, isterinya cedera, dia ok, tidak cedera tapi saya rasa adalah elok untuk memberikannya rehat beberapa hari agar keadaan kembali normal, kalau saya turunkan juga dia mungkin fikirannya lari dan dia tidak dapat fokus pada game..”. – Bojan Hodak.

Tanpa Subra dan Daudsu, posisi pertahanan tengah hampir pasti diisi Farisham Ismail ataupun Rizal Fahmi Rosid, manakala Zamri Ramli mungkin diberi peluang membuktikan kredibilitinya di posisi Daudsu.

Bojan juga tidak menganggap beraksi perlawanan sendiri di luar Kota Bharu – Stadium Nasional Bukit Jalil – sebagai suatu kerugian, kerana berpendapat Kelantan masih mempunyai penyokongnya dari sekitar Lembah Klang, malah beliau juga yakin penyokong bolasepak tempatan akan turut memberi sokongan kepada Kelantan.

Ditanya mengenai pemain import yang akan diturunkan, Bojan berkata beliau mempunyai pilihan 3+1 untuk diturunkan iaitu di antara Dennis Antwi, Mahmoud Ghaddar, Nwoha Onyekachi dan Obina.

Bagi kapten pasukan, Badri Razi yang bakal menjadi kapten pertama Kelantan memimpin pasukan itu beraksi di saingan peringkat benua, beliau berbangga dengan pencapaian hebat ini, dan berharap perjuangan Kelantan tidak ternoktah di babak awal saingan dan mahu TRW mengorak langkah lebih jauh dalam saingan AFC ini.

FAM Kecewa Dengan Penjelasan Chris Eaton

Menerusi satu kenyataan media bertarikh 5 Mac 2012, Persatuan Bolasepak Malaysia meluahkan rasa kecewa di atas penjelasan Pegawai Keselematan FIFA, Chris Eaton, tentang dakwaan pegawainya turut terlibat di dalam skandal Bookie. Berikut kenyataan dari Jabatan Media FAM.


Pegawai Keselamatan FIFA, Chris Eaton bersama dua orang pegawainya telah mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia di Wisma FAM hari ini. 


Tujuan perjumpaan ini diadakan adalah bagi mendapat penjelasan dari Chris Eaton mengenai kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Straits Times di Singapura pada 16 Februari 2012 lalu, yang mendakwa bahawa ada di kalangan pegawai pendtadbiran FAM terlibat dalam gejala mengatur perlawanan. 


Bagaimanapun, FAM kecewa kerana Chris Eaton tidak memberi maklumat mahupun bukti bagi menjelaskan kenyataannya itu sebagaimana yang diharapkan, sebaliknya hanya sekadar menyatakan bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan dakwaaan oleh pihak tertentu dan penyiasatan masih dijalankan oleh FIFA. Beliau tidak menjelaskan tentang dakwaan itu mahupun mengenai pihak yang membuat dakwaan yang dimaksudkan. 


Chris Eaton mengambil kesempatan perjumpaan singkat hari ini untuk memaklumkan bahawa beliau akan meninggalkan FIFA dan bertugas dengan sebuah agensi lain di Qatar tidak lama lagi.


Jawatankuasa Integriti FAM dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat. Turut hadir dalam perjumpaan hari ini ialah wakil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Haji Shamshun Mohd Jamil dan wakil Polis Diraja Malaysia, DSP Tan. 


Dua pegawai yang mengiringi Chris Eaton ialah Terry Steans dan Michael Pride.