Tuesday, May 26, 2015

Poyok, Syamsuri pastikan impian Real terus bernyala

Real Mulia FC memastikan perjuangan memburu tiket ke Liga Perdana 2016 masih di landasan tepat menerusi satu lagi kemenangan tipis 1-0, kali ini ke atas PBAPP FC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Gol tunggal jaringan Saufie Hamid pada minit ke-55 serta satu lagi aksi cemerlang dari penjaga gol Syamsuri Mustafa, memastikan anak buah Yunus Aliff mengekalkan rekod bersih empat kemenangan di gelanggang lawan.

“Kita bermula dengan baik, pemain mendengar arahan supaya kita kuatkan bahagian tengah di separuh masa kedua. Saufie melakukan larian yang baik, mencabar pertahanan lawan sebelum dapat menjaringkan gol. Ia kemenangan yang penting dan saya percaya kita masih berada di landasan yang betul untuk layak ke Liga Perdana,” ujar Yunus yang merupakan jurulatih PBAPP musim lepas.



Mengenai Syamsuri, Yunus berkata, “Syamsuri? Saya hilang kata-kata nak cakap tentang dia. Setiap minggu dia selamatkan kita. Hari ini dia selamatkan 4 percubaan bahaya depan gol. Semua pemain memberi aksi terbaik tetapi Syamsuri beraksi luar biasa setiap perlawanan. Secara peribadi, saya anggap dia penjaga gol terbaik dalam negara buat masa ini.”

Real Mulia yang turun tanpa Ariff Zulkifly (penggantungan) dan Khairan Ezuan (kecederaan) goyah pada 15 minit pertama apabila PBAPP ghairah mengasak mencari gol awal namun berjaya mengimbangi permainan ketika menuju ke pertengahan separuh masa pertama.

Selepas percubaan Faiz Nasir, Ikhram Ibrahim dan Shahrulnizam Anuar diselamatkan dengan cemerlang oleh Syamsuri, giliran Real Mulia terlepas peluang keemasan apabila Haikal Nazri dan Saufie gagal memanfaatkan ruang terbuka untuk menjaringkan gol apabila percubaan mereka tersasar.
10 minit permainan bersambung di babak kedua, Saufie menceriakan kem RMFC apabila rembatan kencangnya gagal diselamatkan penjaga gol PBAPP untuk gol tunggal perlawanan.

Kemenangan membolehkan RMFC melonjak satu anak tangga ke tangga ketiga dengan 19 mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pasukan tangga kedua, Megah Murni yang mengikat Perlis tanpa jaringan di Kangar. Perlis masih mendahului Kumpulan A dengan kelebihan 5 mata.

Lilywhites tiba di ibu negara!

Tottenham Hotspur bimbingan Mauricio Pochettino tiba di ibu negara bersama barisan pemain bintang mereka antaranya sensasi baru di White Hart Lane, Harry Kane, penjaga gol Hugo Lloris, pemain tengah Erik Lamela dan Christian Eriksen untuk aksi Piala AIA Kuala Lumpur 2015 menentang Malaysia XI.  

Dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan dipromosikan oleh ProEvents International Sdn Bhd, Lilywhites akan menentang Malaysia XI bimbingan Dollah Salleh di Stadium Shah Alam, esok (sepak mula jam 8.45 malam).

Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy berkata : “Kami bersedia untuk memberi peminat kami di sini peluang untuk menyaksikan pasukan kami beraksi menentang antara pemain terbaik di Malaysia sebagai cara untuk menyatakan penghargaan kami terhadap usaha dan sokongan yang telah mereka berikan kepada kami dari segenap pelusuk dunia setiap minggu. Kami berharap dapat bertemu sejumlah besar di antara mereka sepanjang kunjungan ini.”

Kane sensasi terbaru White Hart Lane

“Kunjungan ini juga akan membolehkan kami untuk meneruskan jalinan kerjasama hebat bersama AIA, rakan kongsi jangka panjang kelab, yang mana akan menyaksikan pasukan Kejurulatihan Global kami mengendalikan klinik kejurulatihan bolasepak akar umbi untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan sejahtera di seluruh rantau ini. Kami juga berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia, ProEvents, CIMB dan Astro di atas sokongan dan kerjasama hebat yang diberikan.”

Dollah telah menyenaraikan lima pemain import yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia - Ali Ashfaq (PDRM), Paulo Rangel (Terengganu), pertahanan Perak dari Brazil, Thiago Junior Aquino serta dua pemain Selangor Robert Cornthwaite dan Guilherme De Paula (Selangor) di dalam skuadnya.

“Peluang beraksi menentang kelab EPL bukan sentiasa datang dan saya yakin Malaysia XI, termasuk pemain import yang telah saya namakan, akan memberi aksi terbaik mereka kerana ini adalah peluang terbaik mereka untuk menonjol,” ujar Dollah. Saya mengharapkan satu perlawanan yang menarik menentang Spurs dan ia tentunya hebat dengan penyokong berdiri memberi sokongan padu di belakang kami.”

Ali antara 5 impot disenarai Dollah

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, berkata : “Bagi pihak FAM, saya menyatakan rasa keterujaan kami di dalam mengalu-alukan kehadiran Tottenham Hotspur FC untuk saingan Piala AIA Kuala Lumpur 2015. Kita telah menanti sekian lama untuk perlawanan ini dan saya percaya banyak yang boleh pemain kita pelajari sebelum beraksi di Kelayakan Piala Dunia.”

Pengarah Urusan ProEvents International, San Boon Wah, berkata ini sememangnya satu detik bersejarah buat penyokong Tottenham Hotspur di Malaysia dan ribuan lagi penyokong Spurs yang akan bertandang dari China, Hong Kong, Australia, UK, Singapura, Indonesia, Thailand dan Kemboja.

“Tatkala peminat di Malaysia akan mendapat peluang menyaksikan Spurs beraksi di Stadium Shah Alam, kami juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia akan dipasarkan kepada jutaan peminat di seluruh dunia melalui siaran luar negara perlawanan ini termasuk di UK & Eire, Perancis, China, Indonesia, Jepun, Maldives, Norway, USA, Kanada dan di Timur Tengah,” kata San.

Sebagai sebahagian dari perancangan di Piala AIA Kuala Lumpur 2015, kelab ini dan pasukan Kejurulatihan Global mereka komited untuk mengadakan sesi kejurulatihan sejumlah 100 jam keseluruhan dan klinik ini dihadiri oleh jurulatih-jurulatih Harimau Muda B, C, dan D, pemain dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Sekolah Sukan Bukit Jalil, SMK Seri Perkasa (Teluk Intan, Perak), Akademi FAM dan tidak ketinggalan Sukan Olimpik Khas Malaysia.  

Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd, Thomas Wong, berkata : “Hari ini adalah hari yang cukup mengujakan bagi kami di AIA, selepas setahun menjalin kerjasama tajaan jersi bersama Tottenham Hotspur FC; kami mempunyai peluang untuk bekerjasama dengan Kelab ini dan membawa skuad utama mereka merentasi sempadan dunia untuk beraksi menentang Malaysia XI di Piala AIA 2015!

“Sebagai sebuah syarikat insurans hayat, kami sedar betapa seorang ahli sukan berpengaruh boleh menjadi contoh yang baik di dalam menyampaikan motivasi khas untuk menggalakkan gaya hidup sihat justeru AIA dan Spurs telah bekerjasama untuk menyampaikan mesej ini melalui pelbagai klinik kejurulatihan dan aktiviti kemasyarakatan yang telah dirancang minggu ini.” 

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Dato’ Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, “CIMB, sebagai rakan kongsi rasmi, berbangga untuk menyokong inisiatif untuk membawa aksi bola sepak berkelas dunia ke Malaysia – di sini di Kuala Lumpur. Kami cukup pasti kumpulan besar penyokong EPL di Malaysia akan terhibur menyaksikan sebuah perlawanan yang tanpa ragu sebuah perlawanan hebat dan cukup bersejarah.”

Tiket terbuka dijual pada harga RM58 dengan tiket VIP terhad boleh didapati pada harga RM428 dan RM328. Kesemua tiket sudah boleh didapati untuk pembelian secara online di www.ticketpro.com.my, di cawangan Ticketpro dan juga menerusi talian hotline, +603-7880-7999.

Tiket juga akan dijual di Stadium Shah Alam hari ini (26 Mei) bermula jam 11 pagi ke 8.30 malam dan pada hari perlawanan (27 Mei) dari 11 pagi hinggalah tamat separuh masa pertama.


Pintu masuk akan dibuka pada jam 4.30 petang pada hari latihan, dan 6 petang pada hari perlawanan. 

Tuesday, May 19, 2015

Syamsuri selamatkan Real dari berputih mata

Prestasi cemerlang bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa menjadi penyelamat buat Real Mulia FC daripada berputih mata di gelanggang sendiri tatkala tuan rumah sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang PBAPP FC pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan A Liga FAM, pada Ahad. 

Real Mulia yang ketinggalan 0-1 di babak pertama menerusi jaringan Saifulnizam Anuar pada minit ke-45 menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi sepakan penalti Amirullah Ab Razab namun ianya aksi bertaraf lima bintang dari Syamsuri yang menyelamatkan satu mata berharga buat anak buah Yunus Aliff.

“Sekali lagi, Syamsuri menjadi wira kita. Dia berada di kemuncak prestasi dengan menyelamatkan lima atau enam percubaan pasti gol. Dia berada dalam kelas tersendiri, ianya pertahanan kita yang terlalu banyak memberi ruang kepada lawan untuk menyerang dan jika tidak kerana dia (Syamsuri), kita sudah tentu tewas,” ujar Yunus sejurus tamat perlawanan.

Penyerang PBAPP Ikhram Ibrahim cuba melepasi halangan pertahanan RMFC, Ariff Zulkifly.

Tambah Yunus, “Hanya untuk 15 minit pertama, kita main permainan kita dan selepas itu kita hilang punca dan nampak tertekan. Banyak kesilapan mudah, termasuk hantaran pendek yang mudah dibaca pihak lawan. Malah gol yang dilepaskan juga berpunca daripada kesilapan sendiri, kita kehilangan bola dan mereka melakukan serangan balas yang menghukum kita.”

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Akademi Maybank Bangi itu, Real Mulia bermula dengan baik apabila menguasai babak awal perlawanan sebelum PBAPP bimbingan Kamal Kalid mengimbangi permainan menerusi beberapa serangan balas pantas yang diilhamkan menerusi pemain licik, Faiz Nasir.

Dengan Haikal Nazri, Shafizi Zain dan M.Yoganathan kesemuanya gagal merencanakan gerakan serangan yang memberi impak, ianya PBAPP  yang dua kali mencemaskan gawang Real Mulia – kedua-duanya menerusi sepakan percuma kencang yang diselamatkan Syamsuri.

Tatkala aksi babak pertama dilihat hampir pasti tamat tanpa jaringan, kesilapan barisan tengah dihukum Saifulnizam yang lolos ke dalam kotak penalti dan memperdaya tiga pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Syamsuri.

Real Mulia tampil lebih agresif di separuh masa kedua, dan berhasil menyamakan kedudukan selepas Haikal dikasari di dalam kotak penalti, dengan sepakan Amirullah mudah menewaskan Ismail Rahman.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang keemasan untuk menambah jaringan selepas itu, terutamanya PBAPP namun dinafikan oleh kecemerlangan Syamsuri di gawang Real Mulia manakala tuan rumah meratapi peluang terbaik untuk mengesahkan kemenangan apabila tandukan Fazli Zulkifli singgah di palang gol pada minit akhir permainan.

Keputusan seri menyaksikan Real Mulia dan PBAPP masing-masing mengutip 16 mata, untuk kekal menghuni tangga ketiga dan keempat Kumpulan A – 7 mata di belakang pendahulu Perlis. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada 24 Mei depan.

Friday, May 15, 2015

Fazli : Real tidak boleh buat silap

Tiada lagi ruang untuk buat silap seandainya Real Mulia mahu terus memberi saingan sengit kepada pendahulu Kumpulan A Liga FAM, Perlis, demikian tegas ketua pasukan RMFC, Fazli Zulkifli.
Real Mulia yang berada di tangga keempat dengan ketinggalan lima mata di belakang Perlis akan melayan kunjungan PBAPP FC di gelanggang sendiri, Stadium Akademi Maybank pada Ahad dan Fazli berpendapat hanya kemenangan akan memastikan mereka terus berada di landasan tepat untuk mengejar Perlis.

“Kami telah banyak merugikan mata di gelanggang sendiri, apa yang penting kita semua sebagai satu pasukan tahu di mana silap kita dan bersama-sama perbaiki. Kita tidak boleh ulangi kesilapan sama kerana sudahpun berada di pertengahan saingan dan semua perlawanan selepas ini adalah cukup penting,” katanya.



Tambah Fazli, “Semua pemain mahukan yang terbaik untuk pasukan. Kita ada 10 perlawanan lagi untuk dilalui dan saya percaya kita akan tampil sebagai pasukan yang lebih baik. Kita juga ada pemain baru yang bagus jadi saya yakin kita akan berupaya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu untuk mara ke Liga Perdana 2016.”    

Sebagai penambahbaikkan pada skuad sedia ada, Real Mulia telah mendaftarkan dua pemain baru iaitu bekas penyerang Terengganu, Saufie Hamid dan bekas pemain tengah Sabah, M.Yoganathan sejurus pintu perpindahan kedua dibuka pada 11 Mei lalu.

Berita gembira juga buat Real Mulia apabila khidmat pertahanan kanan, A. Puvan Raj yang tersisih akibat kecederaan lutut sebelum ini akan kembali dapat digunakan. 

Namun, Real Mulia hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat Yoganathan yang sehingga kini belum menerima Sijil Perpindahan Negeri dari Persatuan Bolasepak Sabah yang enggan mengeluarkan SPN pemain itu meskipun pada awalnya telah bersetuju memberi pelepasan kepadanya untuk beraksi bersama pasukan lain.

Pengendali Real Mulia, Yunus Aliff berkata, “Ini adalah satu masalah apabila persatuan bersikap tidak profesional. Apapun perkara ini tidak membabitkan persatuan kita (Real Mulia), ia adalah antara Yoga dan SAFA, mereka perlu mencari penyelesaian kerana masa semakin suntuk dan kita harap perkara ini dapat diselesaikan segera. Mereka hanya akan membunuh semangat dan karier pemain itu.”