“Pemain saya tidur pada
separuh masa pertama. Mereka hanya bangkit daripada tidur pada separuh masa
kedua,” luah pengendali, B Satianathan yang jelas kecewa sejurus kekalahan 3-4
the Gladiators kepada Sime Darby pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala
Malaysia malam tadi.
Ketinggalan 1-4 kepada
naib juara Liga Perdana itu, finalis tahun lalu itu bangkit dengan dua gol
namun gagal menemui satu lagi jaringan untuk menyelamatkan satu mata dalam aksi
menghiburkan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Baru dua minit
berlangsung, tuan rumah dikejutkan jaringan penyerang Togo, Togaba Komlan
Kontiwa dengan ATM menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Fazrul Hazli
Kadri yang tertampan masuk sepakan percuma Irwan Fadly Idrus pada minit ke-16.
Kelonggaran benteng
pertahanan ATM kemudiannya pantas dihukum Togaba yang merembat deras ke penjuru
gawang, Mohd Farizal Haron pada minit ke-22.
Dalam ketiadaan pemilik
Kasut Emas, Marlon Alex James yang digantung, tanggungjawab di bahagian
serangan digalas oleh kapten, Hairuddin Omar dan Mohd Nizaruddin Yusoff dengan
Niza, juga bekas pemenang Kasut Emas Liga Super hampir menyamakan kedudukan
namun percubaannya sekadar singgah di palang meski pun penjaga gol, Suffian Abd
Rahman sudah tertewas.
Malang menimpa buat ATM
apabila Mohd Hadzirun Hamid memanfaatkan keadaan kucar kacir dalam kotak
penalti untuk menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-31.
Terdesak memburu dua gol,
Sathia membuat keputusan untuk memasukkan Venice Elphi Danny Kaya pada minit
ke-32 menggantikan Norfazly Alias, tetapi perkara sebaliknya yang berlaku
dengan ATM menyukarkan keadaan buat diri mereka apabila terus dibolosi satu
lagi jaringan menerusi serangan pantas sebaik wisel babak kedua dibunyikan.
Kemasukan Venice
memberikan nafas baru kepada jentera serangan ATM dengan hasilnya, Irwan Fadly
Idrus merapatkan jurang menerusi sepakan percuma kaki kiri pada minit ke-57
sebelum pemain sayap, Venice mengotakan janjinya untuk merobek gawang Sime
Darby menerusi rembatan cantik pada minit ke-75.
Gol keempat yang
dicari-cari gagal dijelmakan anak buah Sathia dengan pengadil menyapu garam di
luka ATM apabila meniup wisel penamat awal sebelum masa tambahan 4 minit habis
dimainkan.
Keputusan itu jelas
menaikkan kemarahan penyokong yang bertindak membaling objek kepada pengadil
dan pegawai perlawanan dengan Sathia terpaksa menahan kemarahannya atas apa
yang disifatkannya sebagai keputusan tidak adil.
“Pengadil meniup wisel
ketika jam saya menunjukkan 3 minit 53 saat. Masa tambahan tak sampai pun 4
minit. Kalau empat minit,
biarlah sampai empat minit. Ini yang buat penyokong marah. Anda (media) boleh
melihat sendiri betapa marahnya mereka.
“Pengadil sepatutnya menambah lagi masa tambahan
melihatkan pemain mereka yang berterusan melengah-lengahkan perlawanan pada
masa tambahan.