Monday, February 20, 2012

Anugerah SAM-100Plus-KBS : Zulfadli Dinobat Atlet Remaja Terbaik


Juara badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkifli hari ini dinobatkan sebagai pemenang sulung Anugerah Atlet Remaja Terbaik 2011 SAM-100Plus-KBS anjuran Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Zulfadli, 18 tahun, mencipta sejarah apabila muncul pemain Malaysia pertama memenangi acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Remaja Dunia Taiwan tahun lalu, dengan mengejutkan pilihan utama yang juga juara bertahan, Victor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19 pada aksi final yang berlanjutan hingga 51 minit itu.

Sebelum itu pada April, Zulfadli turut muncul pemain Malaysia pertama meraih Kejuaraan Remaja Asia di Lucknow, India.

Zulfadli yang merupakan pemenang Sirkit Remaja Kebangsaan 100Plus tahun lalu, akan menerima anugerah tersebut secara rasmi beserta insentif RM3,000 pada majlis Anugerah SAM-100Plus-KBS yang dijadual berlangsung pada Ahad depan, 26 Februari di PJ Hilton.

Menyentuh mengenai majlis ini, Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa yang juga BOSS Astro Arena berkata penganjur pada tahun ini memperkenalkan dua anugerah baru iaitu ‘Best Comeback Athlete’ dan ‘Most Dynamic Association’ .

Anugerah ‘Comeback Athlete’ katanya sebagai pengiktirafan kepada atlet yang mencipta kejayaan gemilang dalam karier selepas mengalami kejatuhan prestasi mendadak sama ada disebabkan faktor kecederaan, faktor usia mahupun faktor lain, manakala ‘Most Dynamic Association’ pula sebagai mengiktiraf persatuan yang mempunyai program akar umbi dan pembangunan yang kukuh, dapat melahirkan bakat-bakat baru dan dapat menjadi ROLE MODEL kepada persatuan lain.

Tidak ketinggalan, anugerah Atlet Terbaik 2011 di mana 11 calon telah disenaraipendek dan pemenangnya adalah menerusi undian yang dilakukan Ahli SAM. Calon-calonnya adalah Datuk Lee Chong Wei (Badminton), Datuk Nicol David (Skuash), Pandalela Rinong (Terjun), Jupha Somnet, Fatehah Mustapha (Berbasikal), Nur Suryani Taibi (Menembak), Jacqueline Jenelee, Adrian Ang (Boling), Aaliyah Yoong (Water-Ski), Kevan Cheah (Wushu) dan pasukan memanah Recurve Lelaki.

Pemenang akan membawa pulang RM10,000 dan trofi Kristal.

Ahli SAM turut berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM45,000 menerusi 6 kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan – Laporan Berita Terbaik (Cetak & Eletronik), Ulasan Terbaik (Cetak & Eletronik), Laporan Khas Terbaik dan Fotografi Terbaik. 

Pemenang Keseluruhan (Anugerah Utama) akan dipilih daripada senarai 6 pemenang tersebut dan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 serta trofi kristal, manakala pemenang setiap kategori akan meraih hadiah wang tunai RM3,000.

5 artikel yang disenaraipendek untuk setiap kategori pula mendapat RM500.

Majlis akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

Wednesday, February 15, 2012

Irfan Bangga Badi Berakhir, Puji Aksi Balaban


foto: bharian.com.my

Selepas kemarau kemenangan ke atas Kelantan sejak 11 perlawanan lalu, jurulatih serba boleh, Irfan Bakti akhirnya membawa Sang Gergasi Merah mencatat kemenangan pertama ke atas seteru pantai timur itu dengan kemenangan 2-1 dalam aksi kelapan Liga Super, semalam.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu, nyata tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya di atas kejayaan manis ini, dan menyifatkan ia didorong oleh semangat tinggi para pemainnya yang tidak mahu tewas sekali lagi kepada Kelantan.

“ini bukan malam kebangkitan tapi saya lihat semua pemain bertekad tidak kalah dengan Kelantan, kerana sebelum ni dengan T-Team sudah pecahkan ruyungnya, malam ni Kelantan, saya cakap kepada pemain kekalahan 5-1 tahun lalu harus dilupakan, dan tekad untuk menang pada malam ini selepas kita tak bermain baik 2-3 game lepas, kehadiran Bosko Balaban menyerikan kem Selangor, saya berbangga dengan sumbangannya..”.

“pada separuh masa kita bermain baik tapi tidak dapat menjaringkan gol, manakala last minit kita agak leka sebab kita cuba untuk pertahankan kelebihan 2 gol dan bermain sedikit negative, tapi itu tidak harus dilakukan..”. – Irfan Bakti.

Pada perlawanan semalam, Selangor menang hasil jaringan cantik Safiq Rahim dan Balaban ketika Kelantan cuba menjelmakan kebangkitan saat akhir menerusi jaringan S.Subramaniam.

Untuk rekod ia kemenangan liga pertama Selangor ke atas Kelantan sejak Februari 2009, di mana ketika itu Selangor menang 3-0 hasil jaringan D.Surendran dan R.Surendran.

Saya Kecewa, Saya Tak Kenal Dia, Apa Peranan Saya Di Sini? - Butler

foto :theredwarriors.com
Ketua Jurulatih Kelantan, Peter James Butler bukan sahaja kecewa dengan kekalahan pertama dialami pasukannya musim ini, tewas 1-2 kepada Selangor malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil, tetapi yang lebih mengecewakan, dia ibarat tiada kuasa penuh sebagai Ketua Jurulatih apabila sekadar menjadi PAK TURUT dan terpaksa mengikut sahaja telunjuk pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Ini menurutnya ekoran campurtangan pengurusan dalam urusan pemilihan pemain, terutamanya AWANG IMPORT, di mana dia langsung tidak tahu siapa pemain yang dibawa masuk, siapa yang kekal, siapa yang keluar, dan  apa status mereka – terbaru terpaksa menurunkan pemain import baru mereka, Nwoha Onyekachi selepas kontrak Mahmud Ghadar ditamatkan, malah dia langsung tidak pernah melihat pemain itu beraksi sebelum ini.

“Saya tak mahu komen, saya tak tahu (kenal) dia, saya tengok dia 30 minit buat kali pertama malam ni, saya cuma berdiri di sini, bukan saya yang evaluate dia, itu bukan tugas saya, apa yang saya nampak ya dia bagus, workrate bagus, tapi belum ada persefahaman dalam team..”.

“kalau dia dah satu minggu dalam team saya boleh nilai dia, dia masuk secara tiba-tiba, kuasa bukan di tangan saya. Apa saya boleh buat? Saya perlu hormat keputusan pengurusan. Tetapi saya tak tahu apa peranan saya di sini, saya selalu tertanya-tanya, dan sudah penat bertanya soalan sama. Saya jurulatih dengan prinsip yang tinggi, pergi mana-mana orang hormat saya, tapi saya perlu adil dan jujur dengan diri saya, kalau saya tak boleh kerja macam saya mahu, saya mesti tanya beberapa soalan (kepada pengurusan)…”. – Peter Butler.

Menurut Butler dia sudah merangka formasi dan strategi tersendiri untuk perlawanan menentang Selangor, tetapi terpaksa merombaknya pada saat akhir untuk menyesuaikannya dengan kehadiran pemain baru, dan memberi gambaran betapa jodohnya bersama Kelantan mungkin tidak berpanjangan.

Obinna dicabar Ramez, foto : Bernama
“saya ada tanggungjawab, kontrak saya dua tahun, tapi what is my role? Saya akan pulang, dan berfikir tentang perkara ini, berbincang dengan pengurusan, dengan cara baik, tapi saya memang kecewa..”.

Mengulas mengenai kekalahan pertama pasukannya musim ini, yang juga kekalahan pertama kepada Selangor selepas 3 tahun (kali terakhir tewas pada Februari 2009, 0-3 di Shah Alam), Butler berkata pasukannya tidak memanfaatkan peluang dengan baik, dan memberi peluang kepada Selangor untuk menguasai perlawanan.

Tambah Butler, pasukannya cuba bangkit dengan aki lebih baik pada 15 minit terakhir, tetapi segalanya sudah terlewat untuk menjelmakan kebangkitan. 

Tuesday, February 14, 2012

Persahabatan Antarabangsa, Hadi Antara Digugur


Peminat bolasepak tempatan akan disajikan satu lagi aksi persahabatan membabitkan skuad negara, apabila pasukan bimbingan Datuk K.Rajagobal akan berkunjung ke Stadium Likas bagi perlawanan menentang Sabah, diikuti menentang seteru dari Asia Tenggara, Filipina, 5 hari berikutnya di Rizal Memorial & Track Stadium, Manila.

Amirulhadi, turut tiada dalam senarai
Sehubungan itu, 21 pemain senior kebangsaan dikehendaki melaporkan diri ke kem kebangsaan pada 19 Februari, serta 6 lagi pemain dari Skuad Olimpik dikehendaki melaporkan diri pada 23 Februari.

Berikut senarai penuh pemain yang dipanggil :

Lapor diri 19 Februari – Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar (Kedah), G.Gurusamy, Norazlan Razali, Bunyamin Omar, Safiq Rahim, Asrarudin Putra Omar (Selangor), Farizal Marlias, S.Kunanlan, G.Mahathevan (NS), Abdul Manaf Mamat, Ashaari Shamsudin, Faizal Muhamad (Terengganu), Norshahrul Idlan Talaha, S.Subramaniam, Shakir Shaari (Kelantan), Sharudin Yakob (Sabah), Wan Zack Haikal (Harimau Muda), Zaquan Adha, Aidil Zafuan (ATM), Safee Sali (Pelita Jaya).

Lapor diri 23 Februari : Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Shakir Ali (NS), Zubir Azmi, Muslim Ahmad (Terengganu), Mahali Jasuli, Fadhli Shas (Harimau Muda).

Tuesday, February 7, 2012

Alkohol : Firdaus Menyesal, Digantung FAS


“saya cukup menyesal di atas tindakan saya, dan bersedia menerima apa sahaj hukuman yang akan dijatuhkan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Singapura, saya akan beri kerjasama penuh, dan saya akan dedahkan fakta sebenar isu ini dalam tempoh terdekat..”.

Demikian reaksi pemain tengah Lions XII, Firdaus Kasman selepas dia digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bolasepak bagi satu tempoh yang ditetapkan selepas didapati bersalah tidak mematuhi kod tatatertib pemain yang telah ditetapkan Persatuan Bolasepak Singapura.

Ini ekoran insiden Firdaus mengambil alcohol (arak) ketika meraikan Majlis Hari Jadinya baru-baru ini, dan ia melanggar salah satu daripada Peraturan Tatatertib dan Etika Professional Pemain yang ditetapkan FAS, yang menyebut pemain dilarang sama sekali mengambil alcohol dalam apa jua keadaan tanpa mengira tempat dan waktu.

Pemain berusia 24 tahun itu, kini berada dalam pengawasan pihak polis sejak ditahan di Clarke Quay Sabtu lalu, dan dilaporkan sudahpun terlepas sessi latihan untuk dua hari. Malah, dia juga gagal melaporkan kepada pegawai pasukan tentang ketidakhadirannya.

Thursday, February 2, 2012

Import : Kaca Usah Disangka Permata


Sesudah tamat 5 perlawanan liga, juara bertahan, Kelantan menepati pre-season prediction selaku pasukan pilihan, dengan mencipta kelebihan awal di persada liga.

Meskipun hanya dipisahkan 1 mata dengan Terengganu dan Perak, masing-masing di tangga kedua dan ketiga, ia nyata tonik tambahan buat anak buah Peter Butler dalam misi muncul pasukan ketiga selepas Kedah dan Selangor berjaya mempertahankan trofi Liga Super untuk dua musim berturut-turut.

Kedudukan selepas tamat 5 perlawanan juga secara tidak langsung membayangkan saingan tahun ini, belum mampu untuk menyaksikan kehadiran pencabar baru, terutamanya dari kalangan pasukan yang selama ini lebih dianggap pelengkap saingan – antaranya Kuala Lumpur, Sabah, Johor FC, Felda United mahupun pendatang baru seperti PKNS Selangor dan Sarawak – mungkin mereka memerlukan lebih masa untuk mencetus impak.

Kesemua pasukan yang dinyatakan menduduki BOTTOM HALF kedudukan liga, sementara kelompok TOP HALF sepertimana dijangka diisi pasukan pilihan awal musim, kecuali KEDAH, yang mengalami kejatuhan prestasi mengejut.

Dengan saingan tahun ini dilaporkan akan lebih rancak dan bertambah meriah dengan kehadiran semula awang import, ia ternyata tidak lebih dari gimik kosong apabila kemasukan mereka sekadar menjadi watak popular dalam pasukan masing-masing, malah ada yang ditandatangani sekadar berbekalkan rakaman video serta reputasi lampau, dan ada juga yang ditamatkan kontrak tanpa langsung berpeluh di atas padang – berhabis puluhan/ratusan ribu ringgit sekadar untuk proses TRY & ERROR?

Bukan mudah mencari trio import seperti Kedah  suatu masa dahulu
Tidak dinafikan, kehadiran awang import sebenarnya disambut dengan MIX REACTION oleh peminat bolasepak tempatan, ada yang menyambut dengan positif, ada juga yang melihat ia sebagai suatu yang negative, masing-masing ada hak bersuara namun sayangnya sehingga waktu ini, aksi pemain import yang dikatakan memiliki reputasi hebat, sekadar indah khabar dari rupa dan gagal mengubah persepsi negative tersebut.

Pasukan yang paling hebat terkena tempias, pastinya Kelantan sendiri yang umpama ‘tertipu’ dengan CV mantap import mereka – Ghaddar, Antwi, Okine, Zakaria – hingga memaksa KAFA mengambil pula dua pemain baru, mengikat kontrak dengan mereka sekali lagi tanpa melihat dahulu sejauh mana keupayaan mereka. Apakah mereka tidak belajar dari kesilapan?

Begitu juga Selangor, yang menghantar pulang Lelo Mbele tanpa pemain itu langsung turun beraksi, sebaliknya kini sedang menguji bekas pemain Dinamo Zagreb, Bosko Balaban. Terengganu pula mendapatkan khidmat pemain yang sekadar beraksi di Liga KL iaitu Mahamadou Sumareh yang kemudiannya ditamatkan kontrak dengan alasan masalah visa, sementara Francis Doe dan Erison Da Silva (Baiano) belum menampakkan taring sebenar masing-masing.

Begitu jugalah ceritanya dengan Lazar Popovic, Michal Kubala (Perak) yang mana kelibat kuda tua, Akmal Rizal dilihat lebih menonjol dengan aksi hebat dan meyakinkan. Danilo Dos Santos dan Daniel Soares (Kedah) sekadar ‘MEMBANTU’ Kedah untuk berada di tangga ke-13 – malulah dengan pasukan seperti Felda Utd dan Johor FC yang langsung tiada pemain import (buat masa ini).

Seseorang pemain import haruslah 2 atau 3 kali ganda lebih bagus, lebih berkualiti dari pemain tempatan, kerana itulah mereka menerima gaji dan layanan yang lebih daripada pemain kita sedia ada. Tetapi kalau beraksi sekadar pemain di Liga Bolasepak Daerah, Liga DBKL atau Piala Presiden, rasanya lebih elok gaji besar diterima mereka dibayar kepada pemain-pemain remaja, bakat-bakat tempatan yang mempunyai potensi untuk mara lebih jauh ke depan.

Pasukan seperti Kelantan dan Terengganu yang akan bersaing dalam Piala AFC memang tidak dinafikan memerlukan kudrat pemain import untuk melontarkan cabaran hebat, namun janganlah terlalu ghairah, terlalu taksub hinggakan kaca pun disangka permata. 

Peringatan ini bukan sahaja kepada pasukan-pasukan dengan bajet atau reputasi besar, tetapi juga untuk semua pasukan agar anda tidak tersalah menilai, seterusnya membazir begitu sahaja wang ringgit sedangkan bukan main hebat mencanang bahawasanya anda tidak mempunyai dana kukuh, sumber kewangan terhad, minta bantuan penaja, syarikat korporat, last-last duit itu dibuang begitu sahaja.

Kelantan Gugur Ghaddar, Antwi


Dalam perkembangan berkaitan, Presiden KAFA, tampak sudah mengenalpasti pemain import yang mana akan disenaraikan untuk beraksi dalam saingan Liga-M serta Piala AFC.

Beliau yang nyata kecewa dengan pelaburan tidak berbaloi Kelantan dalam pengambilan pemain import, dilihat sudah bersedia menggugurkan Mahmoud Ghadar dan Dennis Antwi untuk sekadar beraksi di Piala AFC, manakala untuk saingan Liga-M, Kelantan dijangka menyenaraikan dua pemain yang ditandatangani tanpa langsung menguji terlebih dahulu kemampuan mereka – Samad Okucha dan Obina Nyaneri.



Kekalahan 0-5 Kelantan kepada Harimau Malaya bimbingan jurulatih yang popular dengan statemen SAYA KENAL PEMAIN SAYA, Datuk K.Rajagobal nyata menimbulkan rasa amarah dan tidak puas hati di kalangan para penyokong setia Kelantan yang sudah hilang sabar dengan aksi lembik Ghaddar dan Antwi yang nyata gagal membuktikan mengapa mereka layak untuk berada dalam pasukan.

Malah, Peter Butler ketika diajukan soalan berkenaan pemain import, tidak mahu mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada pengurusan untuk buat keputusan, namun dalam masa sama berkata :

“sebaik manapun seorang penyerang beraksi, sumbangan dia dilihat pada berapa banyak gol yang dia jaringkan, itu bukti kredibiliti dia, bukan perkara lain, jumlah gol menunjukkan dia penyerang yg baik atau tak, itu sebab kita bayar dia, dan saya tak perlukan penyerang yang tak boleh jaringkan gol..”

Namun, apakah satu tindakan rasional untuk KAFA menandatangani dua pemain yang belum diuji kemampuan mereka setakat ini, apakah ia akan membuahkan hasil, atau skrip sama terhasil, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Kelantan Bukan Tandingan Harimau, Import Tiada Kualiti


Lima gol masing-masing satu menerusi Asrarudin Putra Omar, Shahurain Abu Samah, S.Kunanlan, Abdul Hadi Yahya dan Izuan Solahudin menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K.Rajagobal mengganas di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Juara Liga Super, Kelantan.

foto : Bernama
Nyata, pertembungan yang dijangka berlangsung sengit pada awalnya, sekadar ramalan atas kertas yang gagal diterjemah di atas padang apabila anak buah Peter Butler tampak hilang punca dengan langsung gagal mempamer persembahan meyakinkan.

Ditambah pula dengan ketiadaan 6 pemain tonggak yang menyarung jersi kebangsaan didahului penjaring terbanyak mereka Norshahrul Idlan Talaha dan tonggak pertahanan, S.Subramaniam, Sang Kijang ternyata tempang.

Bagi Rajagobal, kemenangan ke atas Kelantan bukanlah suatu yang harus dibanggakan lebih-lebih lagi ia sekadar perlawanan persahabatan membabitkan pasukan Liga-M, namun beliau ternyata berpuas hati dan gembira dengan prestasi ditunjukkan barisan pemain yang diturunkan.

“saya mencuba kombinasi yang baru pada semua bahagian, dari pertahanan dan midfield, pada 1st half saya puas hati dgn tempo yg boleh kata laju, dan agresif oleh Kelantan, dan kita pun bermain dengan baik, keseluruhan nampak player menunjukkan rhythm baik dan 2nd half saya buat pertukaran beri peluang kepada player lain, sy nampak sume main dgn baik, kmungkinan selepas kita selesa 3, 4 gol, ini yg kita nak mana2 pemain pun, tetapi kita tidak boleh nampak dalam 1 perlawanan, kita kena main perlawanan yg tempo dia lebih tinggi daripada ini, baru kita akan tahu camne tiap-tiap pemain..”. – Rajagobal.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 5,000 penyokong ini, Rajagobal membariskan pemain yang sebelum ini lebih kerap memanaskan bangku simpanan, seperti Ashaari Shamsudin dan Shakir Shaari, selain memberi ruang kepada beberapa pemain baru seperti Shahurain, Abdul Manaf Mamat dan S.Subramaniam untuk beraksi di kesebelasan utama, dan ia nyata membuahkan hasil dengan gandingan Manaf-Ashaari-Norshahrul di barisan depan bertali arus mengancam gawang Kelantan kawalan Shahrizan Ismail.

Di kem Kelantan, tidak dinafikan penyokong pastinya kecewa dengan aksi longlai/lembik ditunjukkan trio import – Emmanuel Okine, Mahmoud Ghadar, dan Dennis Antwi – yang mana kesemua mereka seolah tiada sebarang kredibiliti untuk ditonjolkan malah menimbulkan persoalan sejauh ini sahajakah ‘kehebatan’ mereka yang mana gagal membuktikan, gagal JUSTIFY bahawasanya mereka lebih hebat berbanding pemain tempatan dan layak berada di dalam pasukan.

Malah, kelibat Indra Putra Mahyudin lebih mengancam benteng skuad Harimau berbanding Ghadar yang tidak nampak langsung fungsinya pada perlawanan tadi. Lebih baik gaji untuk bayar mereka dijimatkan untuk menandatangani pemain tempatan sahaja, dan Kelantan mungkin sekadar bermimpi untuk mara lebih jauh dalam saingan AFC andai inilah kualiti import yang mereka ada (pandangan jujur).

Butler mengakui beliau kecewa dengan persembahan ditunjukkan pemainnya, namun dalam masa sama berpendapat kekalahan dalam perlawanan persahabatan akan membantunya untuk mengenalpasti kelemahan yang wujud.

“saya tidak kisah untuk kalah frenly game, 4-0, 5-0, takde hal, ia bukan perlawanan liga, mahupun AFC, yg penting ia bantu kami untuk lihat di mana kelemahan, itulah gunanya frenly game, tiada apa untuk dirisaukan apatah lagi pemain utama kami bersama mereka (Harimau), saya juga beri peluang kepada semua pemain untuk merasai peluang beraksi, seburuk manapun mereka bermain, saya sebagai jurulatih akan tetap backup mereka..”. – Peter Butler.