Wednesday, January 29, 2014

Giliran Selangor Terajui Liga, PKNS Malukan Kelantan Di Kota Bharu

Gol tunggal Paolo Rangel pada minit ke-55 sudah memadai untuk Selangor menewaskan Pahang 1-0 seterusnya mengambil alih kedudukan pendahulu Liga Super, pada hari yang menyaksikan rekod bersih Kelantan lebur di tangan PKNS Selangor - lebih memalukan tewas di gelanggang keramat mereka di Kota Bharu.

Foto : The Star
Meskipun mendahului menerusi jaringan Fakri Saarani, dua gol pantas dalam tempoh dua minit jaringan Fauzan Dzulkifli dan Aminuddin Mohd Nor menyaksikan Kelantan menggigit jari di sebalik penguasaan dan percubaan bertali arus yang dilakukan ke gawang Remezey Che Ros.

JDT pula hampa sekali lagi apabila mensesiakan kelebihan dua gol untuk sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Lions XII di Larkin - JDT mendahului 2-0 di babak pertama menerusi jaringan Luciano Figueroa dan Pablo Aimar namun Lions bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit menerusi jaringan Khairul Amri dan Hafiz Sujad.

Aksi antara ATM dan Perak pula dicemari dengan insiden kekecohan di penghujung permainan yang menyaksikan Affisze Faizal (ATM) dan Kyaw Zayar Win (Perak) dilayangkan kad merah - ATM menang 1-0 menerusi jaringan tunggal Juan Arostergui.

Keputusan Matchday 3 :

Kelantan 1 - 2 PKNS
JDT 2 - 2 Lions XII
Selangor 1 - 0 Pahang
Terengganu 2 - 0 T-Team
ATM 1 - 0 Perak
Sarawak 3 - 0 Sime Darby

Saturday, January 25, 2014

JDT Aib Di Tangan T-Team, Hanya Kelantan Catat Kemenangan Kedua

Skuad berstatus bintang, Darul Takzim dikejutkan dengan kekalahan kepada T-Team pada aksi kedua Liga Super sebentar tadi, pada hari yang menyaksikan kesemua pasukan yang mencatat kemenangan pada perlawanan pembuka tirai KECUALI Kelantan, tewas kepada lawan masing-masing.

Foto : Johor Southern Tigers 

Gol Patrich Wangai sudah memadai untuk membenam JDT yang dilihat tampil kurang bertenaga dan tidak langsung impresif, tidak menepati status mereka selaku pasukan yang bakal menyapu bersih semua kejuaraan yang dipertandingkan tatkala Azraai Khor wajar dipuji kerana membuat caturan taktikal bijak untuk mematikan jentera tengah JDT.

JDT yang begitu cemerlang pada aksi pra-musim nyata masih terkial-kial mencari rentak dan persefahaman, keserasian antara pemain juga dilihat belum begitu mantap - jurulatih, Cesar Fernando pastinya sudah dapat menilai apa aspek yang perlu dipertingkat jika tidak mahu kegagalan JDT musim lalu berulang kali ini.

Kelantan pula memerlukan gol jaringan minit akhir Francis Forkey Doe untuk muncul satu-satunya pasukan belum tewas dan mengekalkan rekod kemenangan apabila menewaskan Sarawak 1-0 di Kuching - namun ia nyata kekalahan tidak wajar buat Bujang Senang yang dilihat lebih menguasai perlawanan dan menampilkan aksi bersemangat tinggi untuk mencari kemenangan pertama selepas tunduk kepada ATM minggu lalu.

Untuk lebih foto menarik dan berkualiti tinggi tanpa watermark, hubungi Asiana.My - All Sports Images and News Agency
Barisan pertahanan Kelantan dikemudi Obinna Nwaneri wajar diberi pujian apabila mematahkan serangan bertali arus yang dilakukan menerusi kiri kanan sayap, termasuk juga aksi menyelamat hebat Khairul Fahmi yang menepis keluar percubaan Joseph Kalang di babak kedua.

Ketika kedua-dua pasukan dilihat hampir pasti akan menamatkan saingan dengan seri tanpa jaringan, Doe muncul wira apabila menolak masuk hantaran Mohamed Ghaddar, yang dimulai menerusi gerakkan kapten marvel, Badhri Radzi.

Juara bertahan, Lions mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor sekaligus melebarkan rekod cemerlang mereka di gelanggang rumput tiruan manakala Sime Darby mengejutkan juara Piala Sultan Azlan Shah, Pahang 1-0. Perak pula menewaskan Terengganu 1-0 di Ipoh menerusi jaringan Ellie D'Cruz.

Friday, January 24, 2014

ATM Jatuh Ditimpa Tangga

Belumpun hilang duka dikecewakan Sime Darby pada aksi pusingan pertama Piala FA Selasa lalu, skuad The Gladiators ATM tumbang lagi kali ini di tangan PKNS Selangor menerusi gol tunggal jaringan Patrick Ronaldinho. 

Tidak seperti tahun lalu, di mana ketika itu ATM adalah pendatang baru Liga Super, label pasukan pilihan/tumpuan yang diletakkan kali ini nyata memberi tekanan tambahan kepada pemain untuk menampilkan prestasi sebenar mereka.

PKNS pula, bangkit daripada kekalahan kepada Terengganu pada aksi pembukaan untuk mengutip tiga mata pertama musim ini - kemenangan yang hadir sebagai susulan kepada kejayaan pada aksi Piala FA Selasa lalu. 

Wednesday, January 22, 2014

Nasib berbeza Kelantan, JDT

Juara bertahan, Kelantan akan memulakan misi mempertahankan Piala FA buat tahun ketiga berturut-turut dengan menentang pasukan Liga Perdana, Sabah pada aksi pusingan kedua Piala FA 4 Februari depan selepas skuad bimbingan Milomir Seslija itu menundukkan Kuantan FC 1-0 dalam saingan pusingan pertama yang berakhir sebentar tadi. 

Nasib berbeza pula bagi finalis musim lalu, Johor Darul Takzim apabila melayan kunjungan pasukan dari Liga Super, T-Team yang mencatat kemenangan 3-2 ke atas UITM FC. Skuad berwajah baru Azraai Khor Abdullah nyata sukar untuk diduga kekuatan mereka malah tahun lalu pernah menewaskan JDT 2-1 di Stadium Larkin ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala Malaysia. 

Kelantan dan JDT kedua-duanya tidak beraksi pada pusingan pertama setelah mendapat 'bye'. 

Aksi lain pusingan pertama Piala FA menyaksikan tiada kejutan terhasil apabila semua pasukan pilihan mencatat kemenangan dengan Pahang terpaksa mengharungi debaran penalti sebelum menyingkirkan Perak, Lions mencatat kemenangan 3-0 ke atas DRB Hicom manakala Terengganu menewaskan Shahzan Muda 4-0. 

Azamudin Akil meraikan jaringannya ketika menentang Perak. Pahang menyingkirkan Perak menerusi sepakan penalti 5-4. Foto :Goal.Com (Izzat Ikmal)

Keputusan penuh : 

Melaka 1-2 Perlis
Sarawak 2-1 Penang
Sime Darby 2-1 ATM
Terengganu 4-0 Shahzan Muda
PKNS 3-1 JDT II
PBAPP 2-0 Sabah Chebagoo
N.Sembilan 0-1 Felda Utd
PDRM 1-0 SPA
Uitm 2-3 T-Team
Kedah 4-0 K.Lumpur
Kuantan 0-1 Sabah
Perak 2-2 Pahang (Pahang menang penalti 5-4)

Harimau Muda C 0-2 Selangor (berlangsung 22 Januari)

Jadual aksi Pusingan Kedua :

JDT lawan T-Team
Kedah lawan Melaka
PBAPP lawan PDRM
Lions XII lawan Pahang
Kelantan lawan Sabah
PKNS lawan Terengganu
Sime Darby lawan Felda
Selangor lawan Sarawak

ATM bungkus awal

Badi tersingkir awal terus menghantui Angkatan Tentera Malaysia yang sekali lagi ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama apabila tewas 1-2 kepada Sime Darby di Stadium Selayang malam tadi.

Kekalahan ini menyaksikan The Gladiators berputih mata untuk mara ke pusingan kedua buat musim ketiga berturut-turut, mengiringi kekecewaan di tangan Selangor dan Perak pada dua edisi sebelum ini.

Penampilan pertama B.Sathianathan bersama ATM pada 2011 menyaksikan ATM kecundang 0-1 kepada Perak manakala pertemuan menentang The Red Giants musim lalu berlangsung dalam keadaan dramatik, namun berakhir dengan kesudahan sama apabila tersingkir menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 pada akhir 120 minit.

Marlon cuba melepasi halangan pemain Sime Darby dalam pertemuan antara kedua-dua pasukan semalam. Kredit foto : Berita Harian. 

Pemain tengah Syria, Mahmoud Al Amna meranapkan impian ATM apabila meledakkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat pada ketika perlawanan seakan diheret ke masa tambahan berikutan jaringan penyamaan Rezal Zambery Yahya pada minit ke-66 yang melenyapkan pendahuluan minit ke-15, Al Amna.

Pertahanan tinggi lampai, Amiridzwan Taj Tajuddin berkata wujud hikmah di sebalik kekalahan ini yang membolehkan mereka menumpukan kepada kempen liga yang bersambung dengan pertembungan menentang PKNS, Jumaat ini.

“Saya akui kecewa selepas ATM tersingkir buat kali ketiga berturut-turut pada pusingan pertama. Pada perlawanan semalam, saya beraksi sepanjang 25 minit selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua. Mungkin kami mengambil terlalu mudah cabaran Sime Darby dan beraksi dengan sambil lewa. Pemain seharusnya mengambil pengajaran terhadap kekalahan ini dan bangkit pada aksi seterusnya (menentang PKNS) dalam liga,” tambahnya.

Monday, January 20, 2014

Sampai Bila Chong Wei, Chong Wei dan Chong Wei?

Kredibilitinya untuk mengesahkan kejuaraan Terbuka Malaysia ke-10 tidak pernah sedikitpun diragui, malah Tommy Sugiarto langsung tidak dilihat sebagai pencabar yang mampu menghalang jaguh nombor satu dunia ini untuk mencatat sejarah dan rekod tersendiri di hadapan ribuan penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Begitupun, bukan itu yang sebenarnya menjadi topik - persoalan yang SEKALI LAGI (sudah berulang kali) tercetus selepas kemenangan bersejarah Chong Wei semalam, sampai bila kita mahu terus menagih kudrat pemain ini yang sudah membayangkan hasrat mahu menggantung raket bila-bila masa sahaja pada ketika tiada seorangpun pemain perseorangan lain yang setidak-tidaknya mampu melepasi aksi pusingan pertama?

Tan Chung Seang, Misbun Ramdan, Iskandar Zulkarnain, Arif Latif, Goh Soon Huat dan Zulfadli Zukifli (bekas juara remaja Dunia) kesemuanya kecundang di pusingan kelayakan manakala Chong Wei Feng dan Darren Liew 'sedikit bagus' daripada mereka apabila mara setapak lebih sehingga ke pusingan pertama.


Cukup memalukan, pada satu ketika kita memiliki himpunan pemain perseorangan yang mampu mengegar dunia - saya tidak mahu pergi terlalu jauh, tetapi cukup sekadar kita melihat semula sekitar tahun 90-an sehinggalah awal 2000-an.

Ketika itu, Malaysia antara negara yang cukup disegani kerana memiliki nama-nama seperti Foo Kok Keong, Rashid Sidek, Yong Hock Kin, Kwan Yoke Meng, Wong Choon Han, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Hafiz Hashim (ini antara yang pantas menjengah pemikiran, ada lagi ramai) tetapi kini tiada seorangpun yang kalaupun tidak boleh berdiri sama tinggi,  setidak-tidaknya mampu untuk berdiri di belakang Chong Wei.

Pada usianya yang akan menginjak 31 tahun Oktober depan, tidak banyak harapan sebenarnya boleh diletakkan di bahu pemain ini - meskipun mempamer aksi bertenaga untuk menjulang gelaran Terbuka Malaysia, Chong Wei sebenarnya tidak berdepan lawan yang sama taraf dan disajikan laluan mudah untuk mengesahkan gelaran kali ketujuh berturut-turut.

Selepas menyingkirkan Du Pengyu di suku akhir, Chong Wei hanya beraksi satu set menentang Jorgensen Jan yang menarik diri di separuh akhir, dan menentang Tommy di final, ianya kemenangan yang sudah diduga - Chong Wei sengaja membiarkan Tommy menguasai permainan, melakukan ATTACK manakala dia sebaliknya hanya bertahan dan memaksa Tommy melakukan UNFORCE ERROR, mengutip mata dari situasi tersebut.

Chong Wei langsung tidak mendahului permainan sepanjang set pertama, sehinggalah Tommy mengutip mata ke-19 barulah dia menunjukkan belang sebenar untuk mengutip lima mata berturut-turut dan menoktahkan permainan dengan 21-19 - set kedua kemudiannya, tiada lagi ruang diberikan kepada Tommy dan kita boleh lihat beza kelas dan kualiti antara dua pemain ini.

Persatuan Badminton Malaysia sudahpun berwajah baru, tetapi apa usaha yang mereka lakukan untuk mencari pengganti pemain ini? Wajah baru, implementasi lama? Pilih kasih? Pilih bulu? Diskriminasi? Saban tahun, kita didendangkan bahawa MISI MENCARI CHONG WEI BARU sudah bermula, tetapi hasilnya langsung tidak nampak (dalam bahasa mudah, habuk pun tarak).

Saya pernah beberapa kali berpeluang duduk semeja, bertentang mata, berbicara dari hati ke hati bersama Chong Wei. Banyak perkara yang dikongsikannya menunjukkan betapa kecewanya dia dengan arena badminton negara masa kini tetapi saya merasakan belum tiba masanya untuk jelaskan secara terperinci apa yang telah kami bualkan.



Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara, serta BAM tidak boleh lagi terus berpeluk tubuh dan sekadar mencanang usaha sudah dilakukan tetapi implementasi ke arah itu tidak ada. Indonesia dan Thailand, malah negara seperti Jepun juga sudah melahirkan bintang badminton menerusi program pembangunan akar umbi tetapi kita yang dahulunya kuasa besar masih terkial-kial mencari pelapis berkualiti.

Sedar tak sedar, sudah lebih dua edisi Olimpik atau secara tepatnya 69 bulan (5 tahun 9 bulan) Chong Wei berada di kedudukan nombor satu dunia tetapi kedudukan itu bukan milik mutlaknya. Mahu tidak mahu, dominasinya akan berakhir jua (semakin hampir untuk berakhir) dan jika KBS, MSN dan BAM khususnya belum lagi mahu menekan butang panik, maka berkuburlah arena badminton negara sama seperti apa yang berlaku kepada skuad bolasepak kebangsaan. 

Sunday, January 19, 2014

Ghaddar Selamatkan Kelantan, Awang Import Curi Tumpuan

Mahmoud Ghaddar menandakan kehadiran semulanya ke kancah Liga Malaysia dengan menjaringkan dua gol untuk membantu Kelantan bangkit daripada ketinggalan dan mencatat kemenangan 2-1 ke atas pendatang baru, Sime Darby pada hari yang menyaksikan awang import mencuri tumpuan di kesemua venue perlawanan.

Jika semalam ianya Matias Conti (Pahang) dan Paolo Rangel (Selangor) pada sebelah petang tadi, empat lagi aksi yang berlangsung di sebelah malam pula menyaksikan Marlon Alex James (ATM), Mamadou Hady (Terengganu), Luciano Figueroa (JDT) dan Ghaddar sendiri menjadi wira pasukan masing-masing.

Aksi di Kota Bharu menyaksikan gawang Khairul Fahmi bocor seawal minit ketujuh menerusi tandukan Fadzli Shaari, namun Ghaddar yang dibawa masuk menggantikan Mohamed Shawky meledak gol penyamaan di awal babak kedua sebelum mengesahkan kemenangan dengan menyempurnakan sepakan penalti.

Ghaddar jaring dua gol. Foto : ASIANA.MY -ALL SPORTS IMAGES AND NEWS AGENCY

Marlon pula menjaringkan gol pembukaan di Stadium Selayang untuk membantu ATM menewaskan Sarawak 2-0 dengan satu lagi gol dijaringkan Christie Jayaseelan sementara Hady pula menjaringkan dua gol di Kuala Terengganu untuk membantu tuan rumah, Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk membenam PKNS Selangor 2-1.

Pasukan berstatus bintang yang diramal menyapu bersih semua kejuaraan, JDT pula menewaskan Perak 2-0 di Larkin menerusi jaringan Amri Yahyah dan Luciano. 

Saturday, January 18, 2014

Dua gol Rangel julang Selangor dalam aksi di 'padang amatur'

Dua gol dalam tempoh 7 minit jaringan Paolo Rangel membantu Selangor membuka tirai Liga Super 2014 dengan kemenangan 2-0 mengatasi T-Team dalam aksi di 'padang sekolah' Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya. 

FOTO : FASELANGOR.MY 

T-Team bimbingan Azraai Khor Abdullah dilihat tidak berupaya untuk memberi tentangan dengan keseluruhan permainan didominasi Gergasi Merah Kuning pada perlawanan yang menyaksikan keadaan teruk permukaan padang merencatkan kedua-dua pasukan daripada mempamer aksi yang lebih berkualiti. 

Dengan Stadium Shah Alam masih dalam proses baik pulih dan hanya dapat digunakan semula pada 25 Februari (menerusi maklumat yang penulis dapat tahu), Selangor terpaksa menjadikan venue AMATUR ini yang turut dikongsi Felda United dan Polis Diraja Malaysia yang beraksi dalam saingan Liga Perdana - kalau tiga team guna padang ini yang sudah sedia rosak dalam kadar dua atau tiga hari sekali, layakkah liga kita digelar liga professional?

Selain MBBJ, Stadium Majlis Perbandaran Selayang turut digunakan oleh tiga pasukan iaitu ATM, PKNS Selangor dan Sime Darby. 

Sumbangsih milik Pahang, Lions bermula goyah

Jaringan Matias Conti pada babak kedua memadai buat juara Piala Malaysia, Pahang menewaskan Lions XII dan memulakan musim Liga Malaysia 2014 dengan langkah kanan, menjulang Piala Sumbangsih.

Perlawanan itu yang turut menjadi aksi pembuka tirai Liga Super berlangsung agak hambar di hadapan hampir 40,000 penyokong di Stadium Darul Makmur dengan Pahang yang kehilangan khidmat Dollah Salleh menguasai sebahagian besar permainan.

Conti sekali lagi muncul wira. Foto : ASIANA.MY - ALL SPORTS IMAGES AND NEWS AGENCY
Lions yang turun dengan reputasi selaku juara Liga Super tidak langsung menghampiri aksi sebenar mereka dan dilihat begitu terkesan dengan ketiadaan tiga pemain tonggak - Bhaihakki Khaizan, Shahril Ishak dan Hariss Harun - justeru tugas berat menanti Fandi Ahmad dalam usahanya memastikan skuad seberang tambak ini kekal di kelompok elit bagi saingan musim ini.

Pada perlawanan itu, Conti yang masuk menggantikan Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan pada minit ke-14 mudah menolak masuk bola ke gawang terbuka untuk menewaskan Izwan Mahbud pada minit ke-59 dan jaringan itu kekal sehingga tamat permainan. 

Tuesday, January 7, 2014

Apek, Poknik Pilih Lanjutkan Kontrak Sehingga 2019

Menjelang bermulanya saingan Liga Malaysia yang akan membuka tirai secara rasmi 17 Januari depan, Kelantan menerima perkhabaran gembira apabila dua pemain tonggak, Khairul Fahmi dan Nik Shahrul Azim menandatangani kontrak baru lima tahun bersama KAFA yang akan menyaksikan mereka kekal sehingga 2019.

foto : facebook rasmi TRWFC (TRWFC)
Ketua Pegawai Eksekutif TRW Sdn Bhd, Kevin Ramalingam berkata : "Setiap pasukan mempunyai strategi tersendiri dan banyak pasukan kurang memberikan komitmen kepada pemain sehingga menyebabkan pemain mempamer persembahan kurang memberangsangkan. Justeru, KAFA mengambil langkah berbeza dengan mengikat pemain dengan kontrak maksima sebagaimana termaktub dalam undang-undang FAM walaupun pemain itu memberi persembahan terbaik atau tidak."

Apek pula dipetik berkata : "Saya gembira di sini. Kelantan tempat lahir saya. Karier saya juga mula meningkat naik di sini. Sebelum ini TRW banyak berkorban untuk saya, jadi saya rasa sudah tiba masanya saya pula berkorban untuk TRW. Lagipun, Kelantan kini berada dalam prestasi terbaik dan merupakan pasukan mampu menjadi pencabar utama Liga M. jadi saya rasa keputusan menandatangani kontrak selama 5 tahun bersama TRW adalah tepat dan baik untuk karier saya."

Kemelut Silat Semakin Parah, 'Ikan Patin' dan Kuncu-Kuncu Perlu Berundur

Perkongsian daripada seorang sahabat saya, yang merupakan bekas pesilat terkemuka tanah air dan pemenang pingat emas di Kejohanan Dunia di Jakarta 2000, Zakri Ibrahim.

Sukan Pencak Silat Sukan Sea Myanmar, ulasan dan rumusan dari saya untuk anda sejenak berfikir, dan saya yakin yang ada kepentingan sebelah ikan patin akan tidak menyokong. Apapun, saya berhak komen demi silat dan pembelaan ini harus diberi kepada nasib pesilat.

1. Pesilat negara memang terbaik, tetapi mereka tertekan dengan pengurusan yang ada. Mereka pendam kesemua masalah dan tindakan digugurkan akan diambil jika mereka bersuara. Hasilnya, sekarang tekanan dalaman menjadi punca mereka tidak dapat fokus.

2. Walaupun sekadar mendapat 2 emas, tahniah kepada pesilat tetapi 2 emas itu kita pun tahu bagaimana terhasil dengan penuh tersirat.

Sasar tiga emas, tetapi hanya dua dibawa pulang itupun dua-dua menerusi kemenangan percuma.

3. Kebenaran dan kebatilan telah menjelma, apabila kita melakukan hal-hal tersasar dari kebenaran dan keadilan, Allah dah hukum akannya.

4. Saya dah bersuara atas kebenaran sebab saya mengenali siapa mereka, tetapi bila kita bersuara, marah, tak terima, akhirnya inilah hasilnya. Kebenaran dah muncul.

5. Di mana hasil proses pendedahan yang anda lakarkan hingga ke negara Eropah, Asia tetapi hasilnya gagal! Pembaziran RM rakyat..

6. Jalan penyelesaian terbaik, undur dir, mengaku kesilapan diri sebab kita manusia, minta maaf dan janji tak ulangi lagi. ...atur mengatur...

Saya yakin jika anda ikan patin dan kuncu-kuncunya berundur dari arena yang libatkan pesilatan atasan (tumpu pada negeri anda sahaja OK) maka In Shaa Allah pencak silat akan kembali bersinar seperti dulu-dulu.  Lakukan demi silat Malaysia, bukan kepentingan peribadi.

Siapakah ikan patin dan kuncu-kuncu yang dimaksudkan? Apakah kemelut yang sebenarnya melanda PESAKA sehingga Malaysia yang dahulunya ligat dalam melahirkan jaguh silat serantau dan dunia kini hanya mampu meraih dua emas 'percuma' dari Myanmar?? Sampai bila keadaan ini akan berterusan?

Benarkah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga tidak boleh berbuat apa-apa mengenai perkara ini? Apa kesudahannya, adakah akan dibiar tidak berungkai kemelut ini?

Mengenai Zakri Ibrahim

Gambar yang dirakam ketika penulis dan Zakri sama-sama menunaikan umrah pada 2011. 
Nama Zakri cukup sinonim di arena seni mempertahankan diri warisan budaya Melayu sejak zaman-berzaman ini apatah lagi berkecimpung selama 26 tahun iaitu sejak berusia 17 tahun, pelbagai kejayaan diraihnya sehingga saat menoktahkan karier pada 2004.

Bermula sekadar mempelajari ilmu mempertahankan diri yang sememangnya menjadi kebanggaan anak melayu ketika itu, Zakri atau lebih glamer dengan panggilan Cikgu Zack mula mewakili negara dalam acara Pencak Silat (Olahraga) sejak 1987, ketika itun usianya 19 tahun.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Cikgu Zack, anda boleh klik pautan ini (klik sini) yang disiarkan Suara Sukan pada Mei 2011.