Monday, March 23, 2015

ISTAF Superseries menjengah ke bumi Korea

Selepas sambutan gemilang terhadap ISTAF SuperSeries MALAYSIA 2014/15, Melaka, Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), dan Persatuan Sepaktakraw Korea (KSTA) baru-baru ini telah membuat keputusan untuk menganjurkan pertandingan ISTAF Super yang seterusnya di Gunsan City yang terletak di Wilayah Jeollabuk-do, Korea Selatan.

Setiausaha Kehormat ISTAF, Dato’ Abdul Halim Kader, Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Ventures (ASV), Venu Ramadass bersama-sama wakil dari ASV telah bertemu delegasi dari KSTA dan Persatuan Sepaktakraw Jeonbuk di Gunsan City, Korea untuk majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU).

Delegasi tersebut turut mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin dan Gabenor Jeollabuk-do, Song Ha-Jin untuk menanda tangan bersama perjanjian MOU tersebut.



Moon menjanjikan sokongan penuh buat Persatuan Sepaktakraw Jeonbuk dalam menganjurkan kejohanan berprestij ini, manakala Gabenor Song menyatakan harapan agar kekayaan nilai dan budaya Korea di wilayahnya iaitu di mana kejohanan diadakan dapat diketengahkan dan ditunjukkan kepada dunia luar.

Pada majlis menandatangani MOU, Presiden KSTA Ko Seok-Ku, mengumumkan bahawa saingan pusingan ketiga ISTAF SuperSeries 2014/15 akan berlangsung di  Wolmyeong Arena, Gunsan City dari 23 - 26 April 2015.

Ketua Pegawai Operasi ASV, Venu Ramadass, memaklumkan ini adalah kali pertama Korea menjadi tuan rumah pertandingan ISTAF SuperSeries.

“Asia Sports Ventures teruja untuk menjalinkan kerjasama ini dengan KSTA. Dengan susun atur serba baru, kami berharap dapat bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) untuk memastikan agar kami dapat untuk mengekalkan standard bertaraf dunia yang telah kami tetapkan selama ini di dalam menganjurkan pertandingan ISTAF SuperSeries,” ujar Ramadass, sejurus selepas pengesahan mengenai ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do.

Dato’ Abdul Halim Kader menyambut baik langkah membawa ISTAF SuperSeries ke luar Asia Tenggara.

“Selepas menganjurkan ISTAF SuperSeries di New Delhi pada musim terdahulu, ia bukan suatu yang mengejutkan apabila kami membawa ISTAF SuperSeries ke bahagian lain di Asia. Ianya menarik untuk peminat mahupun pemain, dengan kita berharap dapat memperkenalkan 

Sepaktakraw ke wilayah-wilayah baru, dan kami berbangga untuk menyatakan Korea hanyalah negara kedua dari luar Asia Tenggara yang akan menganjurkan ISTAF SuperSeries,” kata Dato’ Abdul Halim, ketika diminta mengulas mengenai ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15.

“Korea begitu teruja untuk menganjurkan sebuah pertandingan besar selepas beraksi cemerlang di Sukan Asia Incheon 2014,” tambahnya.  

Presiden KSTA Ko Seok-Ku, berkata : “Kami cukup gembira untuk memeterai perjanjian baru ini dengan ISTAF. Pertandingan ISTAF SuperSeries menyediakan platform yang cukup signifikan untuk perkongsian pengalaman dan kemahiran di antara para pemain, selain mengukuhkan komunikasi di kalangan pelbagai persekutuan sepaktakraw yang terlibat, dalam pada kami menyokong usaha ISTAF untuk membangunkan sukan ini.”

Tambah Ko: “Walaupun Korea tidak terlibat dengan Sukan Asia Tenggara (SEA) 2015, kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian akan beraksi di temasya itu, dan kami akan bekerja keras untuk menyediakan kemudahan fasiliti terbaik, serta sebuah pertandingan yang hebat untuk menguji semangat melawan mereka, dalam masa sama menterjemahkan aksi berkualiti tinggi untuk peminat kami di sini di Korea.”  


Pasukan sepaktakraw lelaki Korea memperbaiki kedudukan dengan melonjak dua anak tangga untuk berada di ranking kelima dalam carta mata ISTAF SuperSeries 2014/15 sejak awal tahun ini. Dengan kelebihan selaku tuan rumah dan sokongan padu peminat di gelanggang sendiri, mereka sudah tentunya berada di kedudukan terbaik untuk mencabar kejuaraan di ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do. 

Friday, March 20, 2015

Liga FAM : Katang sedia meledak!

Setelah meledak jaringan pertamanya musim ini untuk Real Mulia FC, keyakinan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi untuk mengembalikan sentuhan jaringan seterusnya bergelar penyerang prolifik saingan Piala FAM semakin memuncak.

Wan Aliff atau lebih popular dengan panggilan Katang, menolak masuk hantaran Haikal Nazri pada perlawanan menentang Hanelang FC yang berkesudahan 1-1 pada 15 Mac lalu selepas berputih mata mensesiakan beberapa perlawanan peluang keemasan pada perlawanan pembuka tirai menentang Sungai Ara FC seminggu sebelumnya.

Katang membuka akaun jaringan musim ini ketika menentang Hanelang


Walaupun ketajaman sentuhan penyudahnya belum di tahap terbaik, Wan Aliff yang membawa bersama pengalaman beraksi bersama dua pasukan dari negeri kelahirannya – Terengganu dan T-Team serta beberapa pasukan lain seperti Sabah, Perlis, Melaka dan PBAPP semakin membara untuk membuktikan betapa dia masih relevan untuk dilabel peneraju jentera serangan.

“Saya tidak mengharungi musim yang baik sejak beberapa tahun lalu, naik turun prestasi adalah lumrah bagi seorang pemain bolasepak. Saya percaya RMFC sudah menyediakan satu laluan yang baik untuk saya dan saya perlu bekerja keras untuk membalas kepercayaan diberi. Ianya adalah dengan menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan saya berharap gol pertama tempoh hari akan menjadi permulaan untuk mencapai hasrat itu,” jelas Wan Aliff.

Wan Aliff adalah produk Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang meraih hatrik pingat emas pada 2006 (Kedah), 2008 (Terengganu) dan Melaka (2010) selain membarisi skuad Piala Presiden Terengganu yang muncul juara pada 2006.

Katang produk SUKMA Terengganu. 


Bakat besarnya turut mendapat perhatian Datuk K.Rajagobal (pengendali skuad remaja kebangsaan) yang memanggilnya membarisi skuad B-20 kebangsaan pada 2005 – 2007.

Perjalanan Wan Aliff dalam Liga Malaysia bermula bersama PKNS FC pada 2007 sebelum dia kembali menabur bakti bersama skuad Liga Super Terengganu bimbingan Irfan Bakti dan merasai nikmat bergelar juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia 2011.

Nama : Wan Mohd Aliff Wan Jasmi
Asal : Felda Bukit Bading, Ajil, Terengganu
Tarikh lahir : 9 Januari 1988
Posisi : Penyerang
Status : Berkahwin (2 anak)
Perjalanan karier :
Piala Presiden Terengganu (2006)
SUKMA Terengganu (2006, 2008, 2010)
PKNS FC (2007/08)
Terengganu (2009 – 2011)
T-Team (2012)
Sabah (2013)

PBAPP (2014)