Selepas sambutan gemilang terhadap
ISTAF SuperSeries MALAYSIA 2014/15, Melaka, Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa
(ISTAF), dan Persatuan Sepaktakraw Korea (KSTA) baru-baru ini telah membuat
keputusan untuk menganjurkan pertandingan ISTAF Super yang seterusnya di Gunsan
City yang terletak di Wilayah Jeollabuk-do, Korea Selatan.
Setiausaha Kehormat ISTAF, Dato’
Abdul Halim Kader, Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Ventures (ASV), Venu
Ramadass bersama-sama wakil dari ASV telah bertemu delegasi dari KSTA dan Persatuan
Sepaktakraw Jeonbuk di Gunsan City, Korea untuk majlis menandatangani
memorandum persefahaman (MOU).
Delegasi tersebut turut mengadakan
pertemuan dengan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin dan Gabenor
Jeollabuk-do, Song Ha-Jin untuk menanda tangan bersama perjanjian MOU tersebut.
Moon menjanjikan sokongan penuh
buat Persatuan Sepaktakraw Jeonbuk dalam menganjurkan kejohanan berprestij ini,
manakala Gabenor Song menyatakan harapan agar kekayaan nilai dan budaya Korea
di wilayahnya iaitu di mana kejohanan diadakan dapat diketengahkan dan
ditunjukkan kepada dunia luar.
Pada majlis menandatangani MOU, Presiden
KSTA Ko Seok-Ku, mengumumkan bahawa saingan pusingan ketiga ISTAF SuperSeries
2014/15 akan berlangsung di Wolmyeong
Arena, Gunsan City dari 23 - 26 April 2015.
Ketua Pegawai Operasi ASV, Venu
Ramadass, memaklumkan ini adalah kali pertama Korea menjadi tuan rumah
pertandingan ISTAF SuperSeries.
“Asia Sports Ventures teruja untuk
menjalinkan kerjasama ini dengan KSTA. Dengan susun atur serba baru, kami
berharap dapat bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC)
untuk memastikan agar kami dapat untuk mengekalkan standard bertaraf dunia yang
telah kami tetapkan selama ini di dalam menganjurkan pertandingan ISTAF
SuperSeries,” ujar Ramadass, sejurus selepas pengesahan mengenai ISTAF
SuperSeries KOREA 2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do.
Dato’ Abdul Halim Kader menyambut
baik langkah membawa ISTAF SuperSeries ke luar Asia Tenggara.
“Selepas menganjurkan ISTAF
SuperSeries di New Delhi pada musim terdahulu, ia bukan suatu yang mengejutkan
apabila kami membawa ISTAF SuperSeries ke bahagian lain di Asia. Ianya
menarik untuk peminat mahupun pemain, dengan kita berharap dapat
memperkenalkan
Sepaktakraw ke wilayah-wilayah baru, dan
kami berbangga untuk menyatakan Korea hanyalah negara kedua dari luar Asia
Tenggara yang akan menganjurkan ISTAF SuperSeries,” kata Dato’ Abdul Halim, ketika
diminta mengulas mengenai ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15.
“Korea begitu teruja untuk menganjurkan sebuah pertandingan besar
selepas beraksi cemerlang di Sukan Asia Incheon 2014,” tambahnya.
Presiden KSTA Ko Seok-Ku, berkata : “Kami cukup gembira untuk
memeterai perjanjian baru ini dengan ISTAF. Pertandingan ISTAF SuperSeries menyediakan
platform yang cukup signifikan untuk perkongsian pengalaman dan kemahiran di
antara para pemain, selain mengukuhkan komunikasi di kalangan pelbagai persekutuan sepaktakraw yang
terlibat, dalam pada kami menyokong usaha ISTAF untuk
membangunkan sukan ini.”
Tambah Ko: “Walaupun Korea tidak terlibat dengan Sukan Asia Tenggara
(SEA) 2015, kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian akan beraksi di temasya
itu, dan kami akan bekerja keras untuk menyediakan kemudahan fasiliti terbaik,
serta sebuah pertandingan yang hebat untuk menguji semangat melawan mereka,
dalam masa sama menterjemahkan aksi berkualiti tinggi untuk peminat kami di
sini di Korea.”
Pasukan sepaktakraw lelaki Korea memperbaiki kedudukan dengan
melonjak dua anak tangga untuk berada di ranking kelima dalam carta mata ISTAF
SuperSeries 2014/15 sejak awal tahun ini. Dengan kelebihan selaku tuan rumah
dan sokongan padu peminat di gelanggang sendiri, mereka sudah tentunya berada
di kedudukan terbaik untuk mencabar kejuaraan di ISTAF SuperSeries KOREA
2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do.