foto : www.duniasukan.com |
Pasukan negara, bimbingan Hoon Boon Chee, nyata berada di kelas
tersendiri dan kemenangan besar ini dilihat sebagai justifikasi kepada kenyataan itu.
“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini, memang saya yakin kita
akan menang, tetapi saya tidak menjangka untuk menang dengan defisit begitu
besar. Kita langsung tidak tahu cara permainan mereka, dan saya gembira pemain
patuh pada gameplan dan strategi yang telah kita atur.
“Ini permulaan yang baik, dan saya pastinya harap pemain kekalkan
momentum ini. Kredit kepada semua pemain yang telah beri komitmen penuh dan
membuktikan kredibiliti mereka,” kata Boon Chee yang ditemui selepas
perlawanan.
Beraksi di gelanggang sendiri, Malaysia yang turut diperkuatkan 3
pemain import dari Fiji, langsung tidak memberi ruang kepada China, lawan
paling lemah dalam divisyen ini untuk mencatur strategi, sebaliknya mempamer
corak permainan pantas untuk mendahului selesa 55-0 pada babak pertama.
Tatkala China umpama hilang punca dan dilihat bergelut
menyesuaikan diri untuk memberi saingan, Malaysia menutup terus ruang
kebangkitan buat negara tembok besar itu, apabila mempamer dominasi menyeluruh
dengan menambah 34 mata di babak kedua, untuk kemenangan mutlak 89-0.
Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan akhir yang
dijadual berlangsung Sabtu.
Thailand mara ke final selepas menewaskan seteru dari Asia Barat,
Iran dengan kiraan 37-15.
Aksi 15 minit pertama tampak seimbang antara kedua-dua pasukan,
dengan aksi berbalas serangan menyaksikan Thailand mendahului tipis 7-5.
Perlawanan bagaimanapun bertambah rancak dengan Thailand meningkatkan tempo
permainan dan berjaya menambah 10 mata hasil satu try, satu conversion dan
satu penalty sebelum berakhir babak pertama untuk kedudukan 17-5.
Bersambung babak kedua, Iran cuba memberi saingan dan berjaya
merapatkan kedudukan 10-17 menerusi try Iraj
Abdi, namun Thailand yang melakukan 3 pertukaran selepas itu, mengukuhkan
kedudukan 20-10 menerusi penalti yang disempurnakan Warongkorn Khamkoet sebelum
menamatkan perlawanan dengan keputusan 37-15.
Aksi final pada Sabtu, pastinya menarik untuk diperkatakan, apatah
lagi ianya ibarat ulangan final Divisyen Dua 2008, di mana Thailand ketika itu
muncul juara dengan mencatat kemenangan 30-7 ke atas Malaysia – ketika itu di
Bangkok.
Dalam pada itu, esok (Jumaat) akan berlangsung perlawanan
membabitkan Divisyen 3, dengan Pakistan akan menentang Indonesia untuk
penentuan tempat ketiga, manakala aksi final membabitkan Guam dan India.