Saturday, May 26, 2012

Faktor Pengalaman Bantu Fuad Catat Masa Terpantas

Ahmad Fuad
Faktor pengalaman memberi kelebihan buat Ahmad Fuad Baharudin untuk melakukan catatan terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Bandar Mahkota Banting, Selangor, hari ini.

Beraksi di litar yang pertama kali berada dalam kalendar perlumbaan Cub Prix, pelumba Faito motobert Racing itu mencipta catatan terpantas 54.704 saat meninggalkan rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham di kedudukan kedua, 54.957s manakala juara pusingan pertama di Batu Kawan, Mohd Zaqhwan Zaidi (pachie Yuzy Honda Racing) di tempat ketiga dengan catatan 55.061s. 

Menurut pelumba berusia 33 tahun itu, "Walaupun berjaya mencatat masa terpantas, saya tidak mahu terlalu gembira memandangkan sasaran sebenar saya adalah untuk mencatat masa terpantas pada sesi Superpole esok supaya dapat memulakan perlumbaan sebenar di barisan hadapan. Malah jika dibandingkan dengan sesi latihan bebas, saya rasa beberapa kelemahan masih boleh diperbaiki terutama di sektor 1 untuk membolehkan saya mencatat masa lebih pantas."

Arkib Cub Prix, Fuad (26)
Mengulas mengenai venue perlumbaan, Ahmad Fuad berkata, "Saya memang suka beraksi di litar baru seperti ini kerana dari sini kita dapat melihat tahap keupayaan  sebenar setiap pelumba. Mungkin faktor pengalaman saya selama kira-kira 15 tahun dalam arena CubPrix ini banyak membantu saya untuk memahami litar dengan lebih cepat. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu yakin memandangkan apa sahaja boleh berlaku sewaktu perlumbaan nanti. Berbanding untuk mengejar gelaran juara, saya hanya meletakkan sasaran untuk mengutip seberapa banyak mata bagi membantu mengukuhkan kedudukan pasukan kami sebagai pendahulu keseluruhan. Jika menang, ia adalah bonus untuk saya di samping turut dapat membantu untuk saya terus berada di kelompok tiga pelumba teratas dalam senarai individu keseluruhan," jelas juara Expert 2002 dan 2009 itu. 

Dalam kategori CP115, selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan memenangi perlumbaan Pusingan 3 di Kangar, Mohd Amirul Ariff Musa sekali lagi tampil dengan aksi terbaik apabila muncul pelumba terpantas ujian masa dengan catatan 55.706s. 

Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) berada di kedudukan kedua dengan catatan 55.959s manakala Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) ketiga, 56.067s. 

Amirul (tengah)
Amirul yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara kategori Underbone 115cc Kejuaraan Motodikal Asia PETRONAS di Sepang baru-baru ini menjelaskan, "Prestasi saya pada peringkat awal musim ini menunjukkan banyak peningkatan berbanding musim lepas termasuklah dengan kejayaan memenangi perlumbaan di Kangar. Kerja keras kami sepasukan dan jua para penaja mula menunjukkan hasil yang memuaskan. Saya berharap agar pencapaian sebegini akan berterusan pada perlumbaan di sini dan juga akan datang," jelas pelumba berusia 21 tahun ini sambil meletakkan sasaran untuk sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium. 

Pendahulu keseluruhan kategori Wira Mohd Hafiz Nor Azman (Team mos Track ProYamaha Racing) terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila menamatkan sesi ujian masa sebagai pelumba terpantas, dengan catatan 56.350s mengatasi dua pencabar utama, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong), masing-masing dengan catatan 56.662s dan 56.751s.

Mengulas mengenai catatan hari ini, Hafiz berkata, "Catatan masa yang dilakukan hari ini agak baik dan saya sangat berpuas hati dengannya. Tambahan pula ia jauh lebih baik berbanding catatan ketika sesi latihan bebas di sebelah pagi apabila saya sekadar melakukan 57.550s. Saya berharap dapat meneruskan prestasi seperti hari ini pada perlumbaan sebenar esok untuk terus melebarkan kedudukan saya sebagai pendahulu," jelas pelumba berusia 16 tahun itu. 

Keputusan Ujian Masa 

CP130
1. Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 54.704s
2. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 54.957s
3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 55.061s
4. Mohd Affendi Rosli (Honda) 55.198s
5. Norizman Ismail (Honda) 55.490s

CP115
1. Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) 55.706s
2. Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 55.959s
3. Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 56.067s
4. Ahmad abdul Kadir (Yamaha) 56.082s
5. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 56.117s

WIRA
1. Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 56.350s
2. Tengku Amirul Haffirudin (Yamaha) 56.662s
3. Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 56.751s
4. Che Ku Amriq Asyraff (Yamaha) 56.964s
5. Mohd Hafizudin Azahar (Yamaha) 57.204s

Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com

No comments: