di penghujung karier |
Keputusan sememangnya awal-awal lagi sudah diduga,
tiada apa untuk dihairankan dengan kekalahan 0-3 kepada gergasi badminton
dunia, China yang nyata berada di kelas tersendiri tatkala pasukan negara
umpama baru mahu bertatih mempelajari ilmu sukan badminton meskipun mempunyai
dua bekas juara All England di dalam senarai pemain.
Tanpa kelibat kapten, Datuk Lee Chong Wei yang
sudahpun berada di Kuala Lumpur tatkala perlawanan antara Liew Daren dan pemain
sensasi tuan rumah juga jaguh Olimpik, Lin Dan membuka tirai, Malaysia nyata
tidak berupaya memberi tentangan kepada China dalam mana-mana acara,
diperbudak-budakkan dari segenap aspek.
Meskipun ada yang melihat kemenangan set pertama 21-17
Liew Daren ke atas Lin Dan sebagai suatu kejutan yang menghadirkan ceria di kem
negara, percayalah ia sebenarnya tidak lebih dari ehsan juara dunia 4 kali itu
kepada Liew – pemerhati dan peminat sukan badminton yang mengenali corak dan
rentak permainan Lin Dan pastinya mengakui akan situasi itu.
Lihat sahajalah bagaimana Lin Dan mencatat
kemenangan mudah dalam dua set berikutnya, 21-9, 21-5, begitu senang dia
membuli budak mentah berusia 25 tahun itu – campur kutipan mata Liew untuk dua
set tersebut pun hanya 14 mata sahaja.
tinggal kenangan |
Pasangan juara All England 2007, Koo Kien Keat/Tan
Boon Heong juga nampaknya sudah semakin menghampiri penamat zaman kegemilangan
mereka, dan tiada tanda-tanda mereka akan bangkit memperbaiki prestasi menjelang
Sukan Olimpik London, Ogos depan dan Tan Kim Her nyata sudah kehilangan idea bagaimana
untuk mengembalikan semula kehebatan beregu utama negara itu.
Tewas straight set kepada pasangan nombor satu
dunia, Fu Haifeng/Caiyun yang juga lawan yang ditewaskan ketika merangkul
gelaran All England 2007, melengkapkan episod buruk prestasi pasangan itu yang sekadar
meraih dua gelaran GP Emas Terbuka Malaysia dalam tempoh dua tahun.
sudah boleh bersara |
Hafiz Hashim? Saya masih tertanya-tanya apakah kita
sudah tiada pemain lain yang lebih fit, lebih cergas untuk dibariskan
berbanding pemain kelahiran Kelantan ini yang mana dengan jelas menunjukkan prestasi
tidak meyakinkan sejak 3 atau 4 tahun lalu. Apakah yang cuba dibuktikan
Persatuan Badminton Malaysia, dan apa pula yang menyebabkan Hafiz bersedia
membawa cabaran negara ke Wuhan, tidakkah dia sedar takat kemampuan dia?
Kalaupun pengalaman yang ditagih BAM, takkan
prestasi semasa Hafiz tidak dinilai? Pemain yang cukup slow dan tidak mampu
menandingi kepantasan pemain lawan, dan kesudahannya bekas juara All England
2003 itu dimalukan dengan rentak permainan agresif dan pantas bintang muda,
Chen Long, 21-10, 21-11.
tidak diberi peluang |
Sepertimana K.Rajagobal enggan memberi ruang kepada
pemain seperti Ashaari Shamsudin, Baddrol Bakhtiar, Shakir Shaari dan S.Subramaniam
untuk membuktikan sesuatu, seperti itu jugalah nasib yang dialami pasukan
badminton negara yang pada satu ketika digelar gergasi badminton dunia.
Juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli terus diperap
tanpa diberi peluang, Roslin Hashim yang melatih budak-budak Sekolah Sukan
Bukit Jalil ditamatkan kontrak tanpa sebab munasabah, Rexy Mainaky dan
jurulatih dari Korea, Yoo Yong Sung berundur ekoran kecewa dengan BAM – inilah yang
lebih menjadi sebutan pada hari ini, berbanding tumpuan untuk melahirkan pemain
badminton bertaraf dunia – sasaran yang semakin tersasar.
No comments:
Post a Comment