Ong Kim Swee cukup tersentuh melihat situasi yang jarang sekali dapat kita saksikan apabila skuad negara tewas, di mana ribuan penyokong bolasepak tanah air masih tidak berganjak dari tempat duduk meskipun selepas pengadil membunyikan wisel penamat, dan berterusan memberikan tepukan gemuruh beserta sorakan padu kepada barisan pemain skuad Olimpik negara diketuai Khairul Fahmi Che Mat.
Ia juga dilihat sebagai ucapan tahniah di atas kejayaan mempertahankan pingat emas Sukan Sea oleh barisan pemain sama 48 jam sebelumnya di Stadium Gelora Bung Karno, sekaligus OKS melontarkan janji membalas sokongan dan kepercayaan peminat dengan menjadikan Bahrain – yang turut tewas dua perlawanan awal, sebagai mangsa kebangkitan.
“saya cukup tersentuh, mereka tidak berganjak, mereka beri sokongan penuh, saya hargai, dan kita perlu balas kepercayaan mereka dan bangkit menunjukkan aksi garang menentang Bahrain, saya yakin kita akan dapat melakukannya, kerana hari ini kita beraksi dalam keadaan kita masih keletihan, selain ketiadaan beberapa pemain seperti Fadhli (demam), Syahrul (fitness), Irfan (minor injury), dan kesemua mereka saya jangka akan dapat kembali beraksi menentang Bahrain nanti..”.
“kita dihukum apabila melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya, lebih-lebih bertemu pasukan seperti Syria yang mengamalkan corak permainan hantaran jauh, kita perlu meminimakan kesilapan, belajar dari kesilapan tersebut..” – Ong Kim Swee.
Melihat kepada senarai 12 pasukan yang layak hingga ke pusingan ketiga peringkat kelayakan, nyata Malaysia adalah pasukan paling lemah, dan diundi bersama jagoan Asia, Jepun, Bahrain dan Syria, OKS mungkin boleh dimaafkan andai perjalanan skuad Harimau Muda ternoktah hanya sehingga ke pusingan ketiga – namun dalam masa sama kita juga tidak lari daripada memasang angan mengharapkan mereka cuba untuk melakar kejutan - tanpa angan tiada impian.
Melihat perlawanan menentang Syria, bersama rakan-rakan media lain, nyata kita sebenarnya masih terlalu jauh untuk meletakkan sasaran mara ke Sukan Olimpik London 2012, tiada sebarang X-FACTOR, baik dari segi gaya permainan, hantaran pendek, hantaran jauh, hantaran lintang, skill individu, atau faktor lain yang boleh ditonjolkan sebagai PLUS POINT di kem negara.
Jika adapun pemain negara yang menonjol, atau yang layak dilabel pemain terbaik negara semalam, KHAIRUL FAHMI CHE MAT seperti lazimnya tangkas di gawang, malangnya dihukum kerana kesilapan pertahanan, serta keberanian dan kelincahan ditonjolkan pemain muda berusia 17 tahun, NAZMI FAIZ MANSOR.
Gaya permainan Nazmi tidak menampakkannya sebagai seorang pemain remaja, malah keyakinan yang dapat dilihat dalam setiap sentuhan serta kawalan bolanya, cukup untuk membolehkannya disebut sebagai HOT PROSPECT FOR THE FUTURE dan tidak keterlaluan jika dikatakan aksi pemain ini jauh lebih menghiburkan daripada Amar Rohidan atau Fakri Saarani sendiri.
Jika Malaysia berhasrat untuk mara lebih jauh dalam saingan ini, serta tidak mahu berputih mata sekali lagi, mahu tidak mahu, OKS perlu tegas dengan barisan penyerangnya, memberikan mereka kata dua, sama ada beraksi cemerlang, atau digugurkan daripada pasukan.
Memang diakui, senarai kecederaan panjang sedikit membataskan pilihan yang OKS ada - hanya Fakri Saarani, Tamil Arasu dan Feris Danial, namun jika Fakri berterusan gagal OKS perlu mempertimbangkan pilihan lain dengan memberi peluang kepada Feris Danial, bukan terus mengharapkan Fakri sedangkan sudah terbukti pemain itu tiada sentuhan penyudah, malah puluhan ribu penyokong Malaysia sendiri tampak kecewa dengan sentuhan kecundang berterusan pemain Negeri Sembilan kelahiran Kelantan itu.
Harapan kita, Harimau Muda dapat menghidupkan peluang dengan menundukkan Bahrain, dan setiap kelemahan yang terserlah perlu segera ditutup manakala sentuhan penyudah perlu segera dipertajam, agar misi menjelmakan kebangkitan tidak menjadi misi lingkup.