Beraksi selaku tuan
rumah ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 dijangka menyuntik semangat buat barisan
pemain Korea untuk menampilkan aksi cemerlang apabila pusingan ketiga ISTAF SuperSeries
membuka tirainya di Arena Wolmyeong Arena pada Khamis.
Korea harap tuah selaku tuan rumah. |
Kali terakhir
merasai nikmat bergelar juara pada aksi akhir ISTAF SuperSeries INDIA 2013/14 di
in New Delhi selepas kemenangan bergaya 3-0 ke atas Malaysia, Korea akan mengharapkan
tuah gelanggang dan penyokong sendiri untuk cuba mengulangi pencapaian tersebut.
Bagi kategori Lelaki,
Thailand diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun, Indonesia dan tuan
rumah Korea. Manakala dalam Kumpulan B, juara ISTAF SuperSeries MALAYSIA,
Malaysia dijangka berdepan tentangan sengit dari Myanmar, Singapura, dan China.
Malaysia hadir ke kejohanan ini dengan berada di prestasi terbaik mereka
setelah kejayaan penuh bersejarah ke atas Thailand pada aksi akhir ISTAF
SuperSeries MALAYSIA yang berlangsung di Melaka.
Juara bertahan, Malaysia
akan membuka tirai saingan ISS KOREA dengan beraksi dua perlawanan menentang
China dan Myanmar pada hari pembukaan manakala Korea menentang Jepun.
ISTAF
SuperSeries KOREA 2014/15 diadakan menerusi kerjasama Persekutuan Sepaktakraw
Antarabangsa dan rakan komersialnya Asia
Sports Ventures (ASV) dengan sokongan dari Gabenor Jeollabuk Do, Song Ha-Jin dan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin.
Selepas menampilkan aksi berkelas dunia di ISTAF SuperSeries
MALAYSIA pada Februari lalu untuk muncul juara dengan menewaskan Thailand,
Malaysia dijangka berdepan saingan yang lebih mencabar di Gunsan dengan
perubahan pada barisan pemain termasuk ketiadaan Syahir Rosdi.
Sahidan Ali akan mengetuai cabaran Malaysia bersama-sama Hairul
Hazizi Haidzir, Sumari Zuleffendi, Khairul Zaman dan Mohamed Zamree.
Malaysia turun selaku pilihan selepas menjuarai ISTAF Superseries Malaysia. |
Kategori wanita pula
menyaksikan pilihan utama Thailand akan disertai musuh ketat Malaysia dan Korea
dalam Kumpulan A yang menjanjikan aksi hebat di peringkat kumpulan. Malaysia
dijangka berdepan tugas sukar untuk mengatasi skuad wanita Thailand yang cukup
dominan, serta Korea yang pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di
gelanggang sendiri.
Vietnam adalah pilihan
untuk mara dari Kumpulan B, dengan Indonesia dan Jepun kedua-duanya berharap
dapat memberikan tentangan kepada Vietnam untuk merebut tempat teratas. Vietnam
mara ke perlawanan akhir pada ISS MALAYSIA dan sudah tentunya mahu memperbaiki
prestasi untuk merampas takhta kejuaraan wanita dari Thailand.
Timbalan Presiden ISTAF, Datuk
Haji Ahmad Ismail, berkata: “Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa cukup
berbangga untuk menganjurkan pusingan ketiga ISTAF SuperSeries ini di Korea
dengan sokongan kuat dari Gabenor Jeollabuk-do, En. Song
Ha-Jin, dan Datuk Bandar Gunsan City, En. Moon Dong-Shin. Mereka telah menjadi
tuan rumah yang cukup hebat.”
“ISTAF
SuperSeries 2014/15 hanyalah satu daripada banyak pertandingan yang kami
bawakan kepada pemain dan peminat sepaktakraw dengan matlamat utama
meningkatkan kualiti dan prestasi kita di arena antarabangsa,” tambahnya pada
sidang media pra-kejohanan hari ini.
Setiausaha
Agung badan induk sepaktakraw dunia itu, Dato’ Abdul Halim Kader, berkata
matlamat utama ISTAF adalah membawa Sepaktakraw untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik dan
sedang bekerjasama erat dengan SportsAccord International dan Persatuan
Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) untuk mendapatkan sokongan kemasukan
Sepaktakraw di Sukan Pantai Dunia pertama yang dijadualkan berlangsung pada
2017 di Eropah.
ISTAF
akan turut menghantar delegasinya ke Socchi, Russia bulan depan untuk
menghadiri Konvensyen SportsAccord bagi menentukan kemasukan Sepaktakraw yang
mana akan menjadi satu langkah besar buat ISTAF untuk mencapai matlamat
utamanya – Sukan Olimpik.
Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Venture,
Venu Ramadass, berkata musim ini menyaksikan Kejohanan ISTAF SuperSeries disiarkan
secara langsung sepenuhnya menerusi laman web rasmi, www.sepaktakraw.org.
“Ini akan membolehkan lebih ramai
peminat di seluruh dunia untuk menonton dan terhibur menyaksikan perlawanan
menerusi internet. Dan sebagai pelengkap kepada laman web kami serta
kandungannya, kami juga merancang menyediakan sebuah aplikasi mobil serbaguna untuk
membekalkan semua berita dan maklumat sepaktakraw yang peminat perlukan dalam
sekelip mata,” tambah Ramadass.
“Aplikasi yang dipanggil “Sepaktakraw”
ini boleh dimuat turun pada Apple dan platform Android yang lain. Aplikasi ini
bertujuan memberikan semua peminat sepaktakraw jadual perlawanan dan kemaskini
keputusan bagi setiap perlawanan. Selain itu, ia memberi peluang kepada
penonton menyaksikan perlawanan ‘SECARA LANGSUNG’ menerusi aplikasi ini,” jelas
Ramadass.
Undian
Kategori Lelaki
Kumpulan A: Thailand, Jepun,
Korea, Indonesia
Kumpulan B: Malaysia,
Myanmar, China, Singapura
Undian
Kategori Wanita
Kumpulan A: Thailand,
Malaysia, Korea
Kumpulan B: Vietnam,
Indonesia, Jepun
*Semua
perlawanan boleh disaksikan secara langsung menerusi ‘livestream’ di www.sepaktakraw.org