Monday, April 20, 2015

FRENZ, MUSA meterai perjanjian jangka panjang

Persatuan Bolasepak Melaka United dan Kelab Bolasepak Frenz United hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman yang mana bakal menyaksikan dedikasi yang lebih baik di dalam meningkatkan standard bolasepak di negeri ini.

Majlis menandatangani MoU dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di atas kapasitinya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, dan Presiden Frenz United FC, Dato’ Noor Ihsan A. Hamid.

Majlis berlangsung dengan disaksikan wakil pengurusan tertinggi dari kedua-dua kelab termasuk pengurus pasukan Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Hj. Mahadi. Untuk rekod, Melaka United SA beraksi di dalam saingan Piala FAM yang merupakan Divisyen Ketiga Liga Malaysia.

Menerusi perjanjian ini, yang membuka jalan untuk terjalinnya hubungan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam perjanjian selama 15 tahun, antara lain memastikan Frenz United FC berpindah pangkalannya dari Janda Baik, Pahang ke Melaka dengan Stadium Hang Tuah yang cukup popular atau lebih dikenali sebagai ‘Stadium Kubu’ akan menjadi gelanggang tuan rumah buat FUFC.

Dua kejohanan utama Frenz United Asia – Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dan Piala Antarabangsa Frenz (FIC) akan turut berlangsung di Melaka secara tahunan.




Mengulas mengenai persetujuan yang dicapai bersama MUSA, Datuk Seri Idris Haron berkata : “Kami cukup gembira menerusi Memorandum Persefahaman ini ianya merapatkan hubungan antara pengurusan tertinggi dalam keluarga bolasepak. Kerajaan Negeri Melaka percaya bahawa status Melaka sebagai antara destinasi pelancongan yang menarik akan lebih utuh menerusi perjanjian kerjasama ini.”

“Ianya satu penghormatan buat Melaka untuk menjadi tuan rumah dua kejohanan elit antarabangsa ini buat kali pertama. Kami mempunyai kemudahan berkelas dunia dan kepakaran yang memberikan keyakinan kepada Frenz United FC untuk membawa kejohanan itu ke sini,” tambahnya.  

“Aspek yang paling penting dalam perjanjian ini adalah membangunkan sukan bolasepak di peringkat akar umbi.”

Presiden Frenz United FC, Dato’ Noor Ihsan, berkata : “Hari ini menandakan satu peristiwa yang cukup penting dalam sejarah FUFC. Kami cukup teruja MoU ini menyediakan platform yang baik untuk kerjasama yang lebih utuh, membolehkan pertukaran dan perkongsian maklumat dan kepakaran yang bertujuan menggalakkan pembangunan bolasepak di Melaka.”

Beliau menambah Frenz United FC diwujudkan untuk membekalkan peluang kepada pemain lepasan akademi kelab itu di Janda Baik untuk meneruskan karier bolasepak mereka.

“Terdapat sejumlah 24 kelab antarabangsa dari seluruh Asia, Eropah, dan Afrika Selatan mengambil bahagian dalam kejohanan ACT dan FIC stiap tahun. Penyertaan kelab-kelab ini akan melonjakkan industri pelancongan di Melaka. Kami juga mempunyai perancangan untuk membangunkan sukan bolasepak di peringkat sekolah dengan memperkenalkan klinik kejurulatihan,” kata Dato’ Noor Ihsan.


Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz B18 2015 telah dianjurkan secara bersama oleh  Malaysia dan Indonesia. Aksi peringkat kumpulan berlangsung di Kuala Lumpur dan Palembang, Indonesia melibatkan penyertaan  16 kelab dari seluruh dunia. Kelab Brazil, SC Internacional muncul juara dengan menewaskan Estudiantes FC dari Argentina 3-2 pada aksi akhir di Stadium Gelora Sriwijayain Palembang.

No comments: