Sunday, April 5, 2015

Bisa Syamsuri belum hilang!

Nama Syamsuri Mustafa bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan. Pernah menyerlah sebagai antara penjaga gol terbaik negara lebih kurang sedekad lalu, pastinya ramai yang tidak lupa akan gol sensasinya di Sukan Sea 2003, kecemerlangannya di gawang bersama Terengganu dan Pahang malah dia jugalah penerima pertama Anugerah Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan FAM pada 2006.

Bersara pada penghujung 2013 setelah mewakili Sabah selama semusim, kemunculan semula Syamsuri bersama kelab baru Liga FAM, Real Mulia FC pada awalnya dilihat ramai sebagai sekadar untuk menghabiskan sisa karier dan menjadi watak popular bagi sebuah pasukan yang baru mahu menempa nama dalam arena bolasepak tempatan.

Namun, Syamsuri yang meraikan ulang tahun ke-34 pada Februari lalu membuktikan kehadirannya semula bukan semata-mata watak popular tetapi lebih daripada itu apabila menampilkan prestasi  hebat menerusi deretan aksi menyelamat cemerlang sekaligus melonjakkan namanya sebagai tonggak utama Real Mulia.



Setelah menyelamatkan tiga percubaan berbahaya ketika seri tanpa jaringan menentang Sungai Ara FC, Syamsuri tampil menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan penalti ketika seri 1-1 menentang Hanelang FC dan terus menjadi kunci keampuhan barisan defensif Real Mulia dengan menyelamatkan setidak-tidaknya empat percubaan dalam kemenangan ke atas UKM FC dan Felcra FC masing-masing.

Justeru tidak hairanlah apabila Syamsuri dipilih sebagai pemain terbaik bagi bulan Mac oleh pengurusan Real Mulia FC sebagai pengiktirafan kepada aksi berbisanya.

“Saya anggap pengiktirafan ini sebagai satu motivasi untuk terus beraksi cemerlang. Bukan pengiktirafan atau anugerah yang saya cari, yang penting melakukan yang terbaik untuk pasukan. Saya gunakan segala pengalaman yang ada. Terima kasih kepada RMFC yang mempercayai kudrat saya, jurulatih (Abdul Rahman Baba) banyak memberi tunjuk ajar untuk membantu saya kembali ke prestasi terbaik setelah berehat setahun,” kata Syamsuri.

Mengenai keputusannya untuk kembali dari persaraan, Syamsuri berkata : “Walaupun bersara, keinginan bermain bola tetap tinggi dalam diri saya. Jadi apabila jurulatih Yunus (Aliff) hubungi saya untuk beraksi dengan pasukan ini, saya terus terima lebih-lebih lagi saya sudah banyak kali beraksi di bawah beliau malah kenal ramai pemain dalam pasukan ini.”

Secara berseloroh, Syamsuri berkata, “Saya memasang niat mahu cemerlang dalam setiap perlawanan. Bolos paling sedikit, mana tahu saya berpeluang untuk kembali beraksi bersama pasukan Liga Super nanti.”

No comments: