Nama Syamsuri Mustafa bukanlah nama asing dalam arena bola
sepak tempatan. Pernah menyerlah sebagai antara penjaga gol terbaik negara
lebih kurang sedekad lalu, pastinya ramai yang tidak lupa akan gol sensasinya
di Sukan Sea 2003, kecemerlangannya di gawang bersama Terengganu dan Pahang
malah dia jugalah penerima pertama Anugerah Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan FAM
pada 2006.
Bersara pada penghujung 2013 setelah mewakili Sabah selama
semusim, kemunculan semula Syamsuri bersama kelab baru Liga FAM, Real Mulia FC pada
awalnya dilihat ramai sebagai sekadar untuk menghabiskan sisa karier dan menjadi
watak popular bagi sebuah pasukan yang baru mahu menempa nama dalam arena
bolasepak tempatan.
Namun, Syamsuri yang meraikan ulang tahun ke-34 pada
Februari lalu membuktikan kehadirannya semula bukan semata-mata watak popular
tetapi lebih daripada itu apabila menampilkan prestasi hebat menerusi deretan aksi menyelamat
cemerlang sekaligus melonjakkan namanya sebagai tonggak utama Real Mulia.
Setelah menyelamatkan tiga percubaan berbahaya ketika seri
tanpa jaringan menentang Sungai Ara FC, Syamsuri tampil menjadi wira apabila
menyelamatkan sepakan penalti ketika seri 1-1 menentang Hanelang FC dan terus
menjadi kunci keampuhan barisan defensif Real Mulia dengan menyelamatkan
setidak-tidaknya empat percubaan dalam kemenangan ke atas UKM FC dan Felcra FC
masing-masing.
Justeru tidak hairanlah apabila Syamsuri dipilih sebagai
pemain terbaik bagi bulan Mac oleh pengurusan Real Mulia FC sebagai pengiktirafan
kepada aksi berbisanya.
“Saya anggap pengiktirafan ini sebagai satu motivasi untuk
terus beraksi cemerlang. Bukan pengiktirafan atau anugerah yang saya cari, yang
penting melakukan yang terbaik untuk pasukan. Saya gunakan segala pengalaman
yang ada. Terima kasih kepada RMFC yang mempercayai kudrat saya, jurulatih
(Abdul Rahman Baba) banyak memberi tunjuk ajar untuk membantu saya kembali ke
prestasi terbaik setelah berehat setahun,” kata Syamsuri.
Mengenai keputusannya untuk kembali dari persaraan, Syamsuri
berkata : “Walaupun bersara, keinginan bermain bola tetap tinggi dalam diri
saya. Jadi apabila jurulatih Yunus (Aliff) hubungi saya untuk beraksi dengan
pasukan ini, saya terus terima lebih-lebih lagi saya sudah banyak kali beraksi
di bawah beliau malah kenal ramai pemain dalam pasukan ini.”
No comments:
Post a Comment