Pautan Suara Sukan

Friday, April 3, 2015

PUMA anjur klinik kejurulatihan buat julung kali

PUMA Malaysia melancarkan klinik kejurulatihan bolasepak pertamanya selaras dengan program pembangunan akar umbi mereka.

Seramai 100 pelajar sekolah berumur antara 14-17  mendapat manfaat dengan membawa pulang pengetahuan yang lebih baik tentang permainan dan kemahiran bolasepak ketika latihan. 

Klinik kejurulatihan itu telah diadakan pada 29 Mac lalu di SMK Aminuddin Baki di Kampung Pandan dan turut disertai pelajar dari SMK Dato’ Lokman, SMK St. Gabriel dan SMK Taman Maluri.

Jurulatih Akademi Bolasepak City Youth Sulaiman Gerard mengendalikan program tersebut dengan dibantu oleh beberapa jurulatih dari akademi tersebut. Pertahanan kebangsaan dan JDT, Mahali Jasuli turut serta sebagai duta PUMA untuk memberi galakan kepada pemain.



Program tersebut dibahagikan kepada empat bahagian. 25 pemain terlibat dalam setiap bahagian dan melangkah ke peringkat seterusnya selepas 15 minit.  Modul latihan merangkumi hantaran dan sokongan, menyerang dan bertahan, kawalan bola ketika berdepan lawan dan melakukan percubaan.

“Ianya satu inisiatif yang sangat baik daripada PUMA untuk memulakan klinik ini memandangkan ia mendidik anak-anak muda ini untuk bermain bolasepak yang baik. Mereka adalah masa depan kita,” ujar Mahali, sambil menambah : “Saya percaya ia adalah satu pengalaman yang hebat untuk mereka dan saya berharap PUMA akan terus menganjurkan program ini.”

Pemain terbaik dari setiap empat sekolah berkenaan kemudiannya dihadiahkan sepasang but bolasepak PUMA ditandatangani Mahali.  

Muhammad Shauki Rased, 15, dari SMK Dato’ Lokman berkata : “Bolasepak adalah kegilaan saya dan PUMA telah memberi saya peluang untuk menjadi sebahagian daripada program ini. Saya belajar teknik baru dari Mahali dan ianya cukup mengujakan.”

Ketua jurulatih SMK Aminuddin Baki, Fakrul Hazely, berkata klinik kejurulatihan ini memberi manfaat besar kepada semua pelajar yang dilihat lebih tenang ketika mengimbangi bola dan turut diajar bagaimana untuk mendapatkan semula bola dari lawan dalam situasi satu-lawan-satu.

Penolong Pengurus Pemasaran PUMA Malaysia, Tim Tham berkata: “Sessi berikutnya berkemungkinan besar akan diadakan pada Mei dan kita akan menjemput lebih banyak sekolah untuk mengambil bahagian.”


PUMA berhasrat untuk memperbanyakkan lagi program pembangunan akar umbinya untuk pelajar sekolah. 

No comments:

Post a Comment