Dalam tempoh seminggu, pemain pertahanan Ariff Zulkifli dua
kali melonjakkan namanya selaku wira Real Mulia FC apabila menanduk masuk gol
tunggal kemenangan ke atas Felcra FC dalam aksi keempat Kumpulan A Piala FAM
yang berlangsung pada Ahad.
Bekas pemain remaja kebangsaan berusia 22 tahun ini menanduk
masuk hantaran sepakan sudut Shafizi Zain pada minit ke-38, yang kekal menjadi
pemisah sehingga tamat perlawanan sekaligus mengutip tiga mata yang membolehkan
RMFC melonjak ke tangga ketiga.
Ariff yang pernah berkelana di New Zealand, menjaringkan gol
tungal kemenangan ke atas UKM FC minggu lalu dengan gaya sama – gol pertama
peribadinya selepas hampir tujuh tahun ketika mewakili skuad B-15 kebangsaan
dan dia nyata teruja dapat mengulanginya sekali lagi.
“Saya seolah tidak percaya dapat melakukannya sekali lagi.
Minggu lepas saya skor buat kali pertama selepas tujuh tahun dan untuk
mengulanginya memang cukup menakjubkan. Yang penting, tiga mata buat pasukan
dan kami terus berada di landasan yang baik untuk mara lebih jauh. Kami perlu
kekalkan rentak kemenangan ini,” jelas Ariff yang dikeluarkan di pertengahan
babak kedua kerana kecederaan.
Pada perlawanan tersebut, Real Mulia yang mencari kemenangan
sulung di gelanggang sendiri bermula baik di mana tandukan Wan Aliff Jasmi
terkena palang pada minit keempat, disusuli beberapa percubaan yang tersasar
oleh Shafizi dan Badrulhisani Abdul
Rahman.
Real dinafikan sepakan penalti pada minit ke-27 meskipun Wan
Aliff jelas dikasari pertahanan Felcra dan mereka menebus hampa tersebut 10
minit kemudian menerusi tandukan kencang Ariff yang sama sekali gagal digapai
Khairul Anuar Ong.
Real mempamer aksi defensif bertenaga di babak kedua dengan
bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa menyelamatkan sekurang-kurangnya
dua percubaan berbahaya untuk menafikan hasrat Felcra membawa pulang satu mata.
No comments:
Post a Comment