Saturday, December 20, 2014

Baru latihan ringan, rumput sudah tercabut ..

Tutup hampir setahun, habiskan duit juta-juta untuk pemulihan padang dan fasiliti stadium. Pakai baru satu game, rumput tercabut. Lepas tu tutup balik, bagi alasan takde cahaya la, glowlight, tube light, katanya kontraktor sama akan bertanggungjawab. Nak cover malu punya pasal Datuk Rozabil cakap KALAU Malaysia masuk final, padang Stadium Nasional Bukit Jalil boleh digunakan. Mungkin ketika menggunakan perkataan KALAU tu, beliau rasa Malaysia takkan layak ke final sebab masa tu dah kalah 2-1 dengan Vietnam di Shah Alam.

Nak buat macam mana, Malaysia menang mencipta kejutan, sah-sah beliau pun terkejut. Dan sekarang, atas janji yang dibuat dengan guna perkataan KALAU layak ke final tu, sekarang perlu ditunaikan. Tapi, skrip sama tetap berulang. Cerita sama tetap berlaku, belumpun apa-apa rumput sudahpun tercabut sana-sini.

Ini gambar yang dikongsi oleh kawan saya, Dayne Azmin, wartawan Utusan Malaysia. Katanya, Thailand baru buat light training, rumput sudah tercabut sana sini.

Secara peribadi, saya rasa game sepatutnya diteruskan sahaja di Shah Alam, bukannya bermain di Bukit Jalil semata-mata kerana janji yang dibuat untuk cover malu. Penganjur/AFF/FAM tidak perlu pun untuk bersetuju dengan cadangan bermain di Bukit Jalil, mahunya rumput melayang ke tempat duduk VIP siapa nak jawab?

p/s Dulu Barcelona hampir malukan kita sebab taknak main di Bukit Jalil, Shah Alam hadir sebagai penyelamat. Jangan Thailand kata taknak main sudah malam ni ...


 Foto : Dayne Azmin

Penambahan penggunaan pemain import, baik atau buruk?

Pada ketika kegagalan penyerang tempatan untuk merebut tempat dalam pasukan dek penyenaraian dua penyerang import oleh kebanyakan pasukan Liga-M masih menjadi perbualan hangat, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk membenarkan pasukan yang mempunyai 4 pemain import untuk menurunkan kesemua mereka secara serentak dalam satu perlawanan.

Sebelum ini pasukan Liga M yang mempunyai 4 pemain import, dibenar untuk membariskan 3 pemain secara serentak, dan keputusan terbaru ini dibuat atas alasan permintaan dari majoriti pasukan, selain untuk menjadikan Liga M lebih kompetitif.




Ini bermakna jika sebelum ini kita kehilangan banyak slot untuk penyerang tempatan sekaligus menjadikan mereka 'bench warmer' (pemanas bangku simpanan), selepas ini kita akan kehilangan satu lagi slot - sama ada di barisan pertahanan atau tengah.

Sebelum ini jika jurulatih kebangsaan sering merungut tentang tiadanya penyerang berwibawa sehingga perlu menyenaraikan Norshahrul Idlan, Safee Sali tanpa pilihan lain, selepas ini jangan terkejut andai Dollah Salleh merungut pula bahawa pasukan kebangsaan tiada pertahanan atau tengah yang bagus, sehingga terpaksa memanggil pemain-pemain veteran ke kem kebangsaan.

Mungkin ada yang berpandangan keputusan ini bagus, kerana boleh menambah persaingan dan boleh menjadikan pemain kita lebih bekerja keras untuk mencari tempat dalam kesebelasan - tetapi persoalan yang ingin saya lontarkan :

i) Bagi seorang pemain yang sudah sedia menerima gaji puluhan ribu, atau mencecah ratusan ribu, adakah dia kisah sama ada dapat atau tidak untuk beraksi dalam kesebelasan utama? Diturunkan atau tidak, dia akan kata "pemilihan pemain keputusan mutlak jurulatih, saya akur dengan keputusan jurulatih tetapi jika diturunkan, saya akan berikan aksi terbaik." - setakat ini saya belum pernah dengar pemain Liga M memberontak kerana tidak dapat beraksi dalam kesebelasan utama.

ii) Adakah betul dia akan melipatgandakan usaha untuk merebut tempat sedangkan dia berlatih macam mana sekalipun, gaji tetap dia dapat? Diturunkan atau tidak, coach impressed atau tidak dengan dia, itu cerita lain, kerana yang penting dia telah turun berlatih, tidak ponteng, telah menunjukkan disiplin sepertimana dituntut dan melakukan apa yang patut, hujung bulan dapat gaji. Sekali lagi, kita akan mendengar komen "saya telah memberi komitmen terbaik dalam latihan, saya harap akan diturunkan tetapi saya tidak kisah jika tidak diturunkan sekalipun, coach mungkin ada strategi lain dan saya ikut arahan jurulatih."  

iii) Adakah kalau betul dia bekerja keras, dia dijamin boleh mendapat tempat dalam pasukan? Ada jurulatih, pemain tempatan bagus macam mana sekalipun, import yang kurang bagus itu jugalah tetap menjadi pilihan mereka. Mungkin kerana gaji yang dibayar kepada import tu lagi mahal maka mereka tidak mahu pemain import bergoyang kaki, tetapi dalam masa sama mereka menjadikan pemain kita yang bergaji mahal duduk bergoyang kaki.

iv) Soalan cepu emas, katalah kalau semua pemain yang bekerja keras ini tidak mendapat tempat dalam pasukan, adakah Dollah Salleh masih akan memanggil mereka ke kem kebangsaan dengan alasan mereka telah bekerja keras selama ini biarpun tidak mendapat peluang untuk beraksi, jadi disebabkan kerja keras itu mereka perlu berada dalam pasukan kebangsaan, seperti mana Norshahrul Idlan, Safee Sali dalam skuad sekarang?    

Apakah akan 'lahir' seorang lagi Safee Sali & Matyo - pemain bergaji tinggi yang memanaskan bangku simpanan, tetapi tetap berjaya 'memikat' hati pengendali kebangsaan?

Dari sudut positif, kita perlu setuju betapa ia adalah usaha FAM untuk menambah tahap kompetitif saingan Liga M yang sekian lama berada dalam Gred D - jika usaha begini tidak diambil, sampai bila pun  liga kita tidak akan berubah dan pemain-pemain kita yang bergaji puluhan ribu pula akan terus mempamer prestasi tidak menepati gaji tinggi yang dibayar. FAM sudah tentunya sudah menilai semua aspek sebelum membuat keputusan ini, jadi kita harapkan ia akan memberi impak positif kepada liga kita, dan pemain kita. 

Tuesday, December 16, 2014

Faizal kembali ke kem kebangsaan!

Nama penyerang prolifik kebangsaan, Faizal Saari adalah antara 25 nama yang tersenarai menyertai kem latihan hoki skuad kebangsaan bagi menghadapi Liga Hoki Dunia di Singapura, 17 hingga 25 Januari depan.

Memetik laporan dari Bernama, pengendali sementara skuad kebangsaan, Tai Beng Hai berkata Faizal telah menyatakan kesediaan untuk kembali berada dalam skuad hoki kebangsaan ketika ditemui baru-baru ini.


"Faizal ada alasan menarik diri dari kem latihan Sukan Asia sebelum ini, Faizal tidak cukup rehat dan merasakan dirinya tidak cukup cergas untuk temasya itu," jelas Beng Hai.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata senarai 18 pemain terakhir yang akan membawa cabaran di Liga Hoki Dunia akan diumumkan selepas perlawanan persahabatan menentang Bangladesh pada 8 Januari.

Sumber : Bernama

Siu Wai tawan pusingan keempat JM2014


Pelumba kebangsaan Hong Kong, Ko Siu Wai, menampilkan kayuhan konsisten sebelum mengorak langkah cemerlang memintas tiga pelumba dalam kelompok utama untuk menjuarai peringkat keempat perlumbaan Jelajah Malaysia 2014 (JM2014) di sini, pada Selasa.

Pelumba berusia 27 tahun itu meraih kemenangan pertama dengan catatan masa tiga jam, 21 minit dan 20 saat bagi perlumbaan paling singkat iaitu 147km dari Pusat Akuatik Paroi, Negeri Sembilan ke Persiaran Perdana di sini.

"Pada jarak 25km daripada garisan penamat, saya ketinggalan dua atau tiga minit daripada kelompok utam dan kumpulan mengejar. Saya berjaya mengekalkan rentak kayuhan dan menamatkannya dengan kejayaan," katanya.



Pelumba Indonesia, Novardianto Jamalidin, mewakili pasukan Pegasus Continental Cycling Team, di tempat kedua manakala pelumba Malaysia, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menduduki tangga ketiga.

"Sasaran saya untuk memenangi peringkat pertama di sini. Saya terpaksa bekerja lebih keras menuju ke garisan penamat selepas rentak kayuhan semakin bertambah pantas dengan laluan landai pada kilometer terakhir," kata Siu Wai. 

Sementara itu, pemenang peringkat pertaman, Rafaa Chtioui, mewakili asukan Skydive Dubai Pro, bertekad mengekalkan jersi kuning, selaku pelumba terbaik keseluruhan, pada peringkat akhir esok. 

"Pasukan saya berusaha keras dalam membantu saya mengekalkan jersi itu. InshaAllah, saya fikir kita mampu mengekalkan jersi itu. Saya fikir pasukan akan merangka strategi untuk melakukannya," kata pelumba Tunisia berusia 28 tahun itu. 

Rafaa mengekalkan status pendahulu pelumba terbaik keseluruhan (jersi kuning) apabila mengumpul catatan masa 15:06:13s selepas empat peringkat. 

Dalam pada itu, gelaran Raja Bukit (jersi merah) dan Raja Pecut (jersi hijau) masih menjadi milik pelumba pasukan Pegasus Continental, Dani Lesmana dan Arin Iswana.

Perlumbaan peringkat akhir esok melibatkan jarak 150.3km iaitu Kuala Klawang (pergi-balik) dengan tiga pendakian kategori dua di Bukit Tanggan dan Bukit Putus sebelum diakhiri dengan dua zon pecutan di Kuala Pilah dan Simpang Pertang. 

Oleh : Farhana Azmi

Monday, December 15, 2014

Kejuaraan pusingan kelima STL milik Bukit Putra

Servis tajam tekong kebangsaan, Ahmad Aizat Noor Azmi dan libasan maut Hafiz Rahman menjadi antara faktor yang membawa Bukit Putra untuk bergelar juara pusingan kelima SepakTakraw League (STL) yang menutup tirainya di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pada Ahad.
  
Beraksi pada perlawanan akhir yang menemukan dua pasukan yang diperkuatkan pemain kebangsaan, Bukit Putra dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi justifikasi tepat kepada reputasi mereka itu dengan mempamer aksi berkualiti menghiburkan. 

Bukit Putra, yang turut dibarisi Syafiq Rahman sebagai pengumpan bangkit daripada kekalahan set pertama kepada PKNS, yang dibarisi Shahidan Ali, Khairol Zaman dan Farhan Adam untuk bergelar juara dalam perlawanan sengit yang berkesudahan dengan keputusan 23-25, 21-18, 21-15.

Kemenangan bukan sahaja menyaksikan Bukit Putra membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, tetapi dalam masa sama layak untuk beraksi di pusingan Grand Final manakala PKNS selaku naib juara, menerima RM3,000 dan layak beraksi di pusingan play-off.



Jurulatih Bukit Putra, Rosli Rahman berkata, “Pemain-pemain menunjukkan semangat juang tinggi, kita tidak putus asa selepas beraksi sengit pada set pertama. Ia kemenangan yang manis dan dengan semangat yang ada, saya percaya mereka akan berjuang untuk mencapai kejayaan di aksi Grand Final nanti.”

Manakala jurulatih PKNS, Khairul Anuar menyifatkan keletihan pada set kedua dan ketiga sebagai antara punca kekalahan pasukannya walaupun menang pada set pertama. 

“Mungkin selepas ini saya akan adakan latihan tumpu kepada latihan sistematik dan kecergasan untuk mengatasi kelemahan ini. Kita akan tunjukkan perubahan dan cuba yang terbaik pada play-off di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail, Timbalannya, Akramuddin Aziz serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md Za’nal Misran.    

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Hanelang ‘A’ yang menewaskan InstaPutra ‘B’, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan juga satu lagi tiket beraksi di pusingan play-off.

Pasukan dari Terengganu itu yang diperkuatkan pengalaman trio bekas pemain kebangsaan – Zulkifli Abdul Razak, Safarudin Abu Bakar dan Fadzli Roslan – mengetepikan InstaPutra dibarisi tekong kebangsaan Kamal Aizat, Solehin Samsudin dan Faris Salleh yang memberikan tentangan sengit pada set pertama sebelum menang 25-24, 21-6.

Terdahulu pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung sebelah petang, Bukit Putra menewaskan Hanelang ‘A’ dengan keputusan 21-18, 21-17 manakala PKNS menewaskan InstaPutra ‘B’ juga dengan keputusan sama 21-18, 21-17.

Keputusan di STL pusingan kelima bermakna Bukit Putra menjadi pasukan kelima untuk beraksi di Grand Final, mengiringi Mazatech ‘A’, ATM ‘F’, InstaPutra dan PDRM ‘D’ manakala PKNS dan Hanelang ‘A’ menyertai lapan pasukan lain yang layak beraksi di play-off iaitu ATM ‘A’, ATM ‘C’,  ATM ‘D’, ATM ‘E’, PDRM ‘C’, Mahsuri Pulau Pinang, Infratel ‘A’ dan Warisan AZ ‘A’.

Keputusan:
Suku Akhir: Bukit Putra mng Hanelang ‘B’ 2-0 (21-12, 21-14); Hanelang ‘A’ mng Sri Andalas TKP 2-0 (21-10, 21-16); PKNS mng Rompin 2-0 (21-17, 21-15) & InstaPutra ‘B’ mng Naza World 2-0 (21-17, 21-14).

Separuh Akhir: Bukit Putra mng Hanelang ‘A’ 2-0 (21-18, 21-17) & PKNS mng InstaPutra ‘B’ 2-0 (21-18-21-17).

Tempat Ketiga: Hanelang ‘A’ mng InstaPutra ‘B’ (25-24, 21-6)
Akhir: Bukit Putra mng PKNS 2-1 (23-25, 21-18, 21-15) 

Saturday, December 13, 2014

Lebih ramai pemain kebangsaan ambil bahagian di STL pusingan kelima

Himpunan pemain kebangsaan yang mengambil bahagian di SepakTakraw League (STL) sejak ia membuka tirai pada 13 November lalu ternyata memberi makna lebih besar kepada penganjuran liga sepaktakraw pertama tanah air itu dalam menambah kualiti saingan seterusnya menyemarakkan minat terhadap sukan tradisi itu yang semakin mekar di hati para peminat.

Jika pada empat pusingan terdahulu, STL telah menyaksikan penglibatan pemain kebangsaan seperti Izzurin Refin, Kamal Alfiza, Fazil Asri, Zuleffendi Sumari serta Syazreen Qamar, lebih ramai lagi pemain elit kebangsaan mengambil bahagian di STL pusingan kelima di Johor yang bersambung semula selepas tempoh rehat dua minggu. 

Antara pemain yang mempamer kelibat di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang menjadi venue pusingan kelima antaranya adalah pemenang pingat gangsa di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini, Ahmad Aizat Noor Azmi dan Helmi Ismail, Shahidan Mohd Ali, Muhammad Hafiz Abd Rahman, Khairul Zaman Hamir Akhbar dan Kamal Aizat Azmi.

Shahidan, yang beraksi mewakili pasukan PKNS berkata,“Buat kali pertama kita mempunyai Liga takraw sendiri, saya berbangga dengan usaha yang telah diambil. Melalui cara inilah, kita dapat untuk bangkitkan semangat peminat dan para pemain. Ia berterusan setiap minggu dan kini menjadi perbualan di kalangan peminat, sudah tentu ini perkembangan yang cukup positif bagi arena takraw tanah air.”

Shahidan Ali in action
Selain pemain kebangsaan, kehadiran bekas pemain kebangsaan juga menambah lagi kehangatan STL yang akan berlangsung sebanyak lapan pusingan, sebelum kemuncaknya pada pusingan Grand Finals, Januari depan – beberapa bekas pemain yang pernah menyarung jersi negara yang mengambil bahagian pada STL kali ini adalah Zolkifli Abd Razak, Fazli Mohd Roslan, Shahmi Husin dan Farhan Adam.     

Aksi peringkat round robin pusingan kelima di Johor membuka tirainya pada Sabtu, dengan 16 regu berentap mencari tiket beraksi di pusingan kalah mati. Kesemua aksi peringkat kalah mati – suku akhir, separuh akhir dan akhir akan berlangsung pada Ahad dengan juara akan layak beraksi di pusingan Grand Finals.

JADUAL:
Johor - (Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang; 13-14 Dis & 20-21 Dis).
Melaka - (Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Serindit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan, 2015).
 Grand Final - (Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).

Friday, December 12, 2014

Lebih ramai pemain berbakat dicari di Johor

Bekas jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan berharap lebih ramai pemain akan mengambil bahagian dalam saingan SepakTakraw League (STL)apabila STL yang berehat selama dua minggu kembali bersambung pada Sabtu ini, dengan jelajah akan diteruskan ke selatan tanah air, Johor – tuan rumah pusingan kelima dan keenam .

Jamaluddin yang mengetuai panel pemantau dilantik Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menyenarai pendek seramai 150 pemain berbakat dari STL tahun ini bagi diserap ke draf Liga Franchise 2015 berkata  mereka memerlukan kelompok pemain yang lebih besar agar sasaran mencari 150 pemain dapat dicapai.

“Kita telah mendapat lebih 100 pemain selepas hanya empat pusingan, itu cukup menggalakkan tetapi setelah dibuat tapisan yang mana kita tolak pemain sama yang mewakili regu lain, jumlahnya menjadi lebih kecil. Sebagai contoh, ada pasukan menghantar lebih dari tiga atau empat regu, pemain dari regu yang tewas pada pusingan ini, akan didaftar mewakili regu lain pada pusingan seterusnya. Ini tidak menjadi kesalahan, tetapi ia mengecilkan pilihan pemain yang ada.   


“Kita gembira dengan sambutan hangat yang diberikan. Tetapi kita juga mahu melihat lebih banyak pasukan dan lebih ramai pemain di luar sana mengambil bahagian. Pasukan negeri seperti saya katakan sebelum ini, kita mahu mencari pemain yang boleh pecahkan dominasi pemain-pemain dan bekas pemain kebangsaan di STL. Ini cabaran bagi mereka,” katanya. 

Untuk rekod, Jamaluddin menyatakan bahawa panel pemantau telah menyenarai pendek lebih 80 pemain selepas berakhir empat pusingan, iaitu dua di Terengganu dan dua di Kedah dan pencarian akan diteruskan apabila STL berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang selama dua hujung minggu berikutnya.

STL yang diperkenalkan buat julang kali sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu.  Ia akan berlangsung sebanyak lapan pusingan awal dan kemuncaknya adalah pusingan Grand Finals Januari depan, dengan juara setiap pusingan bersama-sama lapan pasukan yang layak dari pusingan play-off berentap untuk menentukan kejuaraan.  

Wednesday, December 10, 2014

PDRM mahu gegar Grand Final

Selepas mempertaruhkan pengalaman bekas pemain kebangsaan untuk menjuarai pusingan keempat SepakTakraw League (STL) di Kedah, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memasang hajat untuk menggegar pusingan Grand Final yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Januari depan di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Jurulatih PDRM, Kamarul Azri optimis regu PDRM ‘D’ yang menewaskan rakan sepasukan PDRM ‘C’ untuk muncul juara pusingan empat STL di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim pada 30 November lalu, mempunyai rencah yang diperlukan untuk sekali lagi berada di podium selaku juara meskipun sedar betapa mereka bakal disajikan tentangan sengit.  

“Satu regu di final, dan satu regu layak ke play-off. Kita ada pengalaman, kekuatan dan kelebihan tersendiri dan kita akan manfaatkannya. Latihan dan persiapan berjalan sepanjang tahun kita terlibat dalam banyak pertandingan dan melalui STL, kami mendapatsatu lagi ruang untuk serlahkan kehebatan.

“Seperti yang telah dapat kita lihat, semangat dan komitmen mereka cukup tinggi, menenggelamkan faktor usia dan stamina, jadi tiada sebab untuk saya rasa kami tidak boleh berjaya di Grand Final. Fokus kami kini adalah Grand Final dan pemain saya sedia berikan aksi terbaik,”  ujarnya.

Pada aksi final pusingan empat, bekas tekong kebangsaan yang cukup sinonim sebagai anggota regu emas Sukan Sea 2005, Normanizam Ahmad dan bekas ‘killer’ kebangsaan, Masran Rahman membuktikan betapa kudrat mereka belum ‘berkarat’ apabila membantu PDRM ‘D’ yang turut dibarisi Azli Jamil muncul juara menewaskan PDRM ‘C’ 21-19, 21-16.

PDRM mahu gegar Grand Final. Dalam gambar, killer PDRM D, Masran Rahman.
Selain PDRM ‘D’, tiga lagi pasukan yang sudahpun layak ke pusingan Grand Final adalah Mazatech ‘A’, ATM ‘F’ dan InstaPutra selaku juara pusingan pertama, kedua dan ketiga manakala empat pasukan, masing-masing naib juara dan pemenang tempat ketiga layak ke pusingan play-off selepas berakhirnya empat pusingan.

Empat lagi juara dari dua pusingan di Johor (13, 14, 20, 12 Disember) dan dua pusingan di Melaka (27, 28 Disember dan 5,6 Januari) bersama-sama 8 pasukan yang layak dari pusingan play-off akan berentap untuk menentukan juara sulung STL 2014/15 ini seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. 

Monday, December 8, 2014

Komen melucukan pengendali kebangsaan

Mendengar komen pengendali pasukan kebangsaan, Dollah Salleh selepas pertemuan menentang Vietnam di Shah Alam yang berbunyi agak kelakar, saya membuat satu kesimpulan ringkas, Dollah dan pembantu beliau sebenarnya tidak tahu dan tidak benar-benar mengikuti perkembangan Liga-M.

Mereka sebaliknya lebih banyak dibantu oleh reputasi lampau pemain itu sendiri apabila menyenarai 22 pemain untuk mewakili negara di Piala AFF Suzuki.

Komen yang berbunyi, “Saya terkejut dengan Indra Putra, dia mampu membuat larian dan percubaan selepas hanya beberapa minit dimasukkan, tetapi Matyo tidak dapat melakukannya,” ternyata sesuatu yang melucukan dari seorang pengendali kebangsaan yang sepatutnya lebih tahu tentang kemampuan pemainnya.

Kepada Dollah, mungkin anda seorang sahaja yang terkejut dengan apa yang dipamer Indra, kerana warga peminat bola sepak tempatan yang benar-benar mengikuti Liga-M semuanya tahu betapa Indra adalah penyerang terbaik berbanding penyerang lain dalam pasukan yang anda bawa ke kejohanan kali ini.



Malang sekali, seorang striker yang tidak boleh berlari dan tidak larat mengejar bola lebih menjadi sandaran anda dek kerana reputasi lampaunya sebagai penjaring terbanyak AFF Suzuki.