Friday, December 12, 2014

Lebih ramai pemain berbakat dicari di Johor

Bekas jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan berharap lebih ramai pemain akan mengambil bahagian dalam saingan SepakTakraw League (STL)apabila STL yang berehat selama dua minggu kembali bersambung pada Sabtu ini, dengan jelajah akan diteruskan ke selatan tanah air, Johor – tuan rumah pusingan kelima dan keenam .

Jamaluddin yang mengetuai panel pemantau dilantik Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menyenarai pendek seramai 150 pemain berbakat dari STL tahun ini bagi diserap ke draf Liga Franchise 2015 berkata  mereka memerlukan kelompok pemain yang lebih besar agar sasaran mencari 150 pemain dapat dicapai.

“Kita telah mendapat lebih 100 pemain selepas hanya empat pusingan, itu cukup menggalakkan tetapi setelah dibuat tapisan yang mana kita tolak pemain sama yang mewakili regu lain, jumlahnya menjadi lebih kecil. Sebagai contoh, ada pasukan menghantar lebih dari tiga atau empat regu, pemain dari regu yang tewas pada pusingan ini, akan didaftar mewakili regu lain pada pusingan seterusnya. Ini tidak menjadi kesalahan, tetapi ia mengecilkan pilihan pemain yang ada.   


“Kita gembira dengan sambutan hangat yang diberikan. Tetapi kita juga mahu melihat lebih banyak pasukan dan lebih ramai pemain di luar sana mengambil bahagian. Pasukan negeri seperti saya katakan sebelum ini, kita mahu mencari pemain yang boleh pecahkan dominasi pemain-pemain dan bekas pemain kebangsaan di STL. Ini cabaran bagi mereka,” katanya. 

Untuk rekod, Jamaluddin menyatakan bahawa panel pemantau telah menyenarai pendek lebih 80 pemain selepas berakhir empat pusingan, iaitu dua di Terengganu dan dua di Kedah dan pencarian akan diteruskan apabila STL berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang selama dua hujung minggu berikutnya.

STL yang diperkenalkan buat julang kali sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu.  Ia akan berlangsung sebanyak lapan pusingan awal dan kemuncaknya adalah pusingan Grand Finals Januari depan, dengan juara setiap pusingan bersama-sama lapan pasukan yang layak dari pusingan play-off berentap untuk menentukan kejuaraan.  

No comments: