Tuesday, December 16, 2014

Siu Wai tawan pusingan keempat JM2014


Pelumba kebangsaan Hong Kong, Ko Siu Wai, menampilkan kayuhan konsisten sebelum mengorak langkah cemerlang memintas tiga pelumba dalam kelompok utama untuk menjuarai peringkat keempat perlumbaan Jelajah Malaysia 2014 (JM2014) di sini, pada Selasa.

Pelumba berusia 27 tahun itu meraih kemenangan pertama dengan catatan masa tiga jam, 21 minit dan 20 saat bagi perlumbaan paling singkat iaitu 147km dari Pusat Akuatik Paroi, Negeri Sembilan ke Persiaran Perdana di sini.

"Pada jarak 25km daripada garisan penamat, saya ketinggalan dua atau tiga minit daripada kelompok utam dan kumpulan mengejar. Saya berjaya mengekalkan rentak kayuhan dan menamatkannya dengan kejayaan," katanya.



Pelumba Indonesia, Novardianto Jamalidin, mewakili pasukan Pegasus Continental Cycling Team, di tempat kedua manakala pelumba Malaysia, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menduduki tangga ketiga.

"Sasaran saya untuk memenangi peringkat pertama di sini. Saya terpaksa bekerja lebih keras menuju ke garisan penamat selepas rentak kayuhan semakin bertambah pantas dengan laluan landai pada kilometer terakhir," kata Siu Wai. 

Sementara itu, pemenang peringkat pertaman, Rafaa Chtioui, mewakili asukan Skydive Dubai Pro, bertekad mengekalkan jersi kuning, selaku pelumba terbaik keseluruhan, pada peringkat akhir esok. 

"Pasukan saya berusaha keras dalam membantu saya mengekalkan jersi itu. InshaAllah, saya fikir kita mampu mengekalkan jersi itu. Saya fikir pasukan akan merangka strategi untuk melakukannya," kata pelumba Tunisia berusia 28 tahun itu. 

Rafaa mengekalkan status pendahulu pelumba terbaik keseluruhan (jersi kuning) apabila mengumpul catatan masa 15:06:13s selepas empat peringkat. 

Dalam pada itu, gelaran Raja Bukit (jersi merah) dan Raja Pecut (jersi hijau) masih menjadi milik pelumba pasukan Pegasus Continental, Dani Lesmana dan Arin Iswana.

Perlumbaan peringkat akhir esok melibatkan jarak 150.3km iaitu Kuala Klawang (pergi-balik) dengan tiga pendakian kategori dua di Bukit Tanggan dan Bukit Putus sebelum diakhiri dengan dua zon pecutan di Kuala Pilah dan Simpang Pertang. 

Oleh : Farhana Azmi

No comments: