Pautan Suara Sukan

Thursday, May 31, 2012

Malaysia Ratah China Untuk Mara Ke Final

foto : www.duniasukan.com
Malaysia menampilkan aksi garang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, apabila menjadikan China mangsa amukan dengan mencatat kemenangan 89-0 pada aksi separuh akhir sebentar tadi, sekaligus menempah tiket ke aksi final Divisyen 2 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia HSBC yang berlangsung di sini.

Pasukan negara, bimbingan Hoon Boon Chee, nyata berada di kelas tersendiri dan kemenangan besar ini dilihat sebagai  justifikasi kepada kenyataan itu.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini, memang saya yakin kita akan menang, tetapi saya tidak menjangka untuk menang dengan defisit begitu besar. Kita langsung tidak tahu cara permainan mereka, dan saya gembira pemain patuh pada gameplan dan strategi yang telah kita atur.

“Ini permulaan yang baik, dan saya pastinya harap pemain kekalkan momentum ini. Kredit kepada semua pemain yang telah beri komitmen penuh dan membuktikan kredibiliti mereka,” kata Boon Chee yang ditemui selepas perlawanan.

Beraksi di gelanggang sendiri, Malaysia yang turut diperkuatkan 3 pemain import dari Fiji, langsung tidak memberi ruang kepada China, lawan paling lemah dalam divisyen ini untuk mencatur strategi, sebaliknya mempamer corak permainan pantas untuk mendahului selesa 55-0 pada babak pertama.

Tatkala China umpama hilang punca dan dilihat bergelut menyesuaikan diri untuk memberi saingan, Malaysia menutup terus ruang kebangkitan buat negara tembok besar itu, apabila mempamer dominasi menyeluruh dengan menambah 34 mata di babak kedua, untuk kemenangan mutlak 89-0.

Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung Sabtu.
Thailand mara ke final selepas menewaskan seteru dari Asia Barat, Iran dengan kiraan 37-15.

Aksi 15 minit pertama tampak seimbang antara kedua-dua pasukan, dengan aksi berbalas serangan menyaksikan Thailand mendahului tipis 7-5. Perlawanan bagaimanapun bertambah rancak dengan Thailand meningkatkan tempo permainan dan berjaya menambah 10 mata hasil satu try, satu conversion dan satu penalty sebelum berakhir babak pertama untuk kedudukan 17-5.

Bersambung babak kedua, Iran cuba memberi saingan dan berjaya merapatkan kedudukan 10-17 menerusi try Iraj Abdi, namun Thailand yang melakukan 3 pertukaran selepas itu, mengukuhkan kedudukan 20-10 menerusi penalti yang disempurnakan Warongkorn Khamkoet sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 37-15.

Aksi final pada Sabtu, pastinya menarik untuk diperkatakan, apatah lagi ianya ibarat ulangan final Divisyen Dua 2008, di mana Thailand ketika itu muncul juara dengan mencatat kemenangan 30-7 ke atas Malaysia – ketika itu di Bangkok.

Dalam pada itu, esok (Jumaat) akan berlangsung perlawanan membabitkan Divisyen 3, dengan Pakistan akan menentang Indonesia untuk penentuan tempat ketiga, manakala aksi final membabitkan Guam dan India.

Wednesday, May 30, 2012

India, Guam Tentukan Juara Divisyen 3


India menepati reputasinya selaku pasukan pilihan dari Divisyen 3, apabila mudah menjinakkan musuh tradisi, Pakistan, 34-5 dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, seterusnya menempah tiket beraksi di final Divisyen 3 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia yang membuka tirainya hari ini.

Dominasi pasukan bimbingan Mitsutake Hagimoto terserlah sejak babak awal permainan, dengan corak permainan pantas dan aggresif menyukarkan Pakistan untuk mencari ruang memecah masuk melepasi garisan tengah padang.

Sebaliknya India bingkas memanfaatkan setiap peluang, dan mendahului selesa 22-0 di babak pertama.
Beraksi di bawah terik mentari tidak dinafikan sedikit menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan, dan India menambah 7 mata menerusi try Shokender Singh dan conversion Sethna Rohan 20 minit selepas permainan bersambung di babak kedua, untuk mendahului 29-0.

Meskipun try dilakukan Ahmed Fiaz berjaya memecah kebuntuan mata buat Pakistan, ia tidak memadai untuk menghalang India mencatat kemenangan dengan keputusan akhir 34-5.

Pengurus pasukan India, Vikram Datta memuji semangat juang tinggi para pemainnya dan menyifatkan keyakinan tinggi sebagai pendorong utama kemenangan pasukannya pada hari ini.

“Beza mata mungkin agak besar, tapi ia bukan kemenangan mudah. Anda boleh lihat ada pemain hampir pitam, ada yang berdarah, ada yang cedera, jadi ia adalah hard-fought victory. Pemain saya melakukan yang terbaik untuk mencapai kemenangan ini, dan mereka adalah wira.

“Kemenangan ini menguatkan lagi keyakinan pasukan kami untuk turun di aksi final Jumaat nanti, kami akan pulang dengan kejayaan,” ujar Vikram yang ditemui selepas perlawanan.

Lawan India pada aksi final nanti, adalah Guam yang menewaskan Indonesia 38-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung terdahulu di padang sama.

Namun, kemenangan yang dicari tidak hadir dengan mudah buat anak buah Willie Herataka, apabila mereka yang mendahului 19-3 pada satu ketika diberi tentangan hebat oleh Indonesia yang menghambat merapatkan kedudukan 17-19, ketika permainan memasuki 10 minit terakhir babak pertama.

Namun, try disempurnakan Paul Eustaquio dan conversion Gerard Aguon membolehkan Guam menambah 7 lagi mata dan mendahului 26-17 di babak pertama.

Hasrat Indonesia untuk bangkit di babak kedua, bagaimanapun tidak kesampaian dengan Guam mempamer dominasi menyeluruh dan menambah lagi 12 mata untuk keputusan akhir, 38-17.

“Ya, pada satu ketika tekanan itu memuncak. Kami adalah pilihan dan kami mendahului selesa, kemudian mereka (Indonesia) merapatkan mata kepada hanya dua sahaja. Tamat babak pertama, saya nasihatkan pemain saya untuk main tanpa tekanan, kurangkan kesilapan, jangan terlalu ghairah, dan mereka lakukannya. Ia kemenangan yang cukup bermakna, dan kini kami perlukan sedikit rehat,” ujar Herataka.

Aksi final antara India dan Guam akan berlangsung jam 4.30 petang Jumaat, 1 Jun.

Dalam pada itu, esok (31 Mei) akan menyaksikan bermulanya saingan peringkat separuh akhir bagi Divisyen , dengan Thailand akan menentang Iran (2.30 petang) dan tuan rumah, Malaysia akan menentang China (4.30 petang). Kesemua perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.  

Saturday, May 26, 2012

Faktor Pengalaman Bantu Fuad Catat Masa Terpantas

Ahmad Fuad
Faktor pengalaman memberi kelebihan buat Ahmad Fuad Baharudin untuk melakukan catatan terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Bandar Mahkota Banting, Selangor, hari ini.

Beraksi di litar yang pertama kali berada dalam kalendar perlumbaan Cub Prix, pelumba Faito motobert Racing itu mencipta catatan terpantas 54.704 saat meninggalkan rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham di kedudukan kedua, 54.957s manakala juara pusingan pertama di Batu Kawan, Mohd Zaqhwan Zaidi (pachie Yuzy Honda Racing) di tempat ketiga dengan catatan 55.061s. 

Menurut pelumba berusia 33 tahun itu, "Walaupun berjaya mencatat masa terpantas, saya tidak mahu terlalu gembira memandangkan sasaran sebenar saya adalah untuk mencatat masa terpantas pada sesi Superpole esok supaya dapat memulakan perlumbaan sebenar di barisan hadapan. Malah jika dibandingkan dengan sesi latihan bebas, saya rasa beberapa kelemahan masih boleh diperbaiki terutama di sektor 1 untuk membolehkan saya mencatat masa lebih pantas."

Arkib Cub Prix, Fuad (26)
Mengulas mengenai venue perlumbaan, Ahmad Fuad berkata, "Saya memang suka beraksi di litar baru seperti ini kerana dari sini kita dapat melihat tahap keupayaan  sebenar setiap pelumba. Mungkin faktor pengalaman saya selama kira-kira 15 tahun dalam arena CubPrix ini banyak membantu saya untuk memahami litar dengan lebih cepat. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu yakin memandangkan apa sahaja boleh berlaku sewaktu perlumbaan nanti. Berbanding untuk mengejar gelaran juara, saya hanya meletakkan sasaran untuk mengutip seberapa banyak mata bagi membantu mengukuhkan kedudukan pasukan kami sebagai pendahulu keseluruhan. Jika menang, ia adalah bonus untuk saya di samping turut dapat membantu untuk saya terus berada di kelompok tiga pelumba teratas dalam senarai individu keseluruhan," jelas juara Expert 2002 dan 2009 itu. 

Dalam kategori CP115, selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan memenangi perlumbaan Pusingan 3 di Kangar, Mohd Amirul Ariff Musa sekali lagi tampil dengan aksi terbaik apabila muncul pelumba terpantas ujian masa dengan catatan 55.706s. 

Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) berada di kedudukan kedua dengan catatan 55.959s manakala Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) ketiga, 56.067s. 

Amirul (tengah)
Amirul yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara kategori Underbone 115cc Kejuaraan Motodikal Asia PETRONAS di Sepang baru-baru ini menjelaskan, "Prestasi saya pada peringkat awal musim ini menunjukkan banyak peningkatan berbanding musim lepas termasuklah dengan kejayaan memenangi perlumbaan di Kangar. Kerja keras kami sepasukan dan jua para penaja mula menunjukkan hasil yang memuaskan. Saya berharap agar pencapaian sebegini akan berterusan pada perlumbaan di sini dan juga akan datang," jelas pelumba berusia 21 tahun ini sambil meletakkan sasaran untuk sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium. 

Pendahulu keseluruhan kategori Wira Mohd Hafiz Nor Azman (Team mos Track ProYamaha Racing) terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila menamatkan sesi ujian masa sebagai pelumba terpantas, dengan catatan 56.350s mengatasi dua pencabar utama, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong), masing-masing dengan catatan 56.662s dan 56.751s.

Mengulas mengenai catatan hari ini, Hafiz berkata, "Catatan masa yang dilakukan hari ini agak baik dan saya sangat berpuas hati dengannya. Tambahan pula ia jauh lebih baik berbanding catatan ketika sesi latihan bebas di sebelah pagi apabila saya sekadar melakukan 57.550s. Saya berharap dapat meneruskan prestasi seperti hari ini pada perlumbaan sebenar esok untuk terus melebarkan kedudukan saya sebagai pendahulu," jelas pelumba berusia 16 tahun itu. 

Keputusan Ujian Masa 

CP130
1. Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 54.704s
2. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 54.957s
3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 55.061s
4. Mohd Affendi Rosli (Honda) 55.198s
5. Norizman Ismail (Honda) 55.490s

CP115
1. Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) 55.706s
2. Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 55.959s
3. Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 56.067s
4. Ahmad abdul Kadir (Yamaha) 56.082s
5. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 56.117s

WIRA
1. Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 56.350s
2. Tengku Amirul Haffirudin (Yamaha) 56.662s
3. Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 56.751s
4. Che Ku Amriq Asyraff (Yamaha) 56.964s
5. Mohd Hafizudin Azahar (Yamaha) 57.204s

Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com

Malaysia Senarai Barisan Terkuat Termasuk 3 Import



Menjelang Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia (Divisyen 2 & 3), jurulatih ragbi negara, Boon Hoon Chee, mengumumkan senarai 24 pemain, termasuk tiga pemain import dari Fiji yang diberi kepercayaan untuk mengalas cabaran di kejohanan yang akan membuka tirai pada 30 Mei itu.

Hoon Chee, yang mengakui berdepan tugas sukar memilih 24 pemain itu dari senarai awal 35 pemain, berpendapat semua pemain telah diberi peluang sama rata untuk memikat panel kejurulatihan ketika perlawanan persahabatan menentang Pilihan Kelab Diraja Selangor (RSC), yang juga bertindak sebagai sessi terakhir pemilihan pemain pada Khamis lalu.  

Perlawanan itu yang merupakan perlawanan pertama skuad ragbi negara sejak menjalani latihan pusat sejak 14 Mei lalu, turut memberi ruang kepada Boon Chee untuk mengenalpasti dan memperbaiki sebarang kesilapan di dalam pasukannya, ketika tinggal hanya beberapa hari sebelum berlangsung perlawanan separuh akhir menentang China.


Hoon Chee turut mengariskan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan keserasian antara pemain, sebagai dua faktor yang menguatkan keyakinannya bahawa Malaysia mampu menewaskan China seterusnya layak ke final, meskipun tidak mempunyai gambaran jelas mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan itu, Boon Chee optimis pemainnya berupaya menandingi China dari segenap aspek dan seterusnya mengesahkan tiket beraksi di final.

“Saya pasti China tidak akan memberi laluan mudah, mereka akan beri tentangan sengit, sebab kita sama-sama nak merebut tiket final, sama-sama mahu layak ke Divisyen 1, tetapi dengan kelebihan yang kita miliki, saya cukup yakin dengan peluang kita, saya boleh kata ianya 60-40. Kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka, yang saya tahu pemain mereka agak besar, tetapi kita boleh menandingi mereka,” ujar Hoon Chee.

Dalam pada itu, Kini Rasasolosolo dari Fiji, yang sudah 7 tahun beraksi bersama pasukan negara berkata motivasi di kem negara ketika ini cukup tinggi, dan melaungkan keyakinan Malaysia akan menamatkan saingan Divisyen 2 selaku juara.

Kini Rasasolosolo
“Kita pernah menewaskan mereka sebelum ini, jadi tidak ada sebab kita tidak dapat mengulanginya, pemain semua cukup komited dan tidak sabar menanti kejohanan bermula. Keserasian dan persefahaman antara pemain juga berada di tahap terbaik, kawan-kawan saya ada yang sudah 8 atau 9 tahun bersama pasukan, jadi sepatutnya kita tiada masalah, Malaysia boleh muncul juara,”.  

Senarai penuh skuad yang akan membawa cabaran di A5N :

Ketua Jurulatih : Hoon Boon Chee
Pengurus : Suhaimi Zainudin

Pemain : Mohd Shahir Ahsraf Rusli (Kapten), Md Khuzaidi Abdullah, Azman Osman, Badrul Musa, Amadis Chong, K.Dineswaran, Helbarth Jemlit, Khairul Nizar Shamsudin, Kini Rososolosolo, Megat Zubaidi Buang, Mohamad Amin Jamaludin, Mohamad Nazeer Nesharah, Farid Syazwan Abu Bakar, Mohd Hafizh Zainal, Zulkifli Azmi, Nizard Mohd Noor, Razif Zainol Abidin, Shafiq Marican Ariffin, Muhammad Fazrin Noor Zaid, Nathaneal Tan Aik Ming, Ras Suhael Nur Rahim Razbi, Ras Hurairah Razbi, Timoci Nacocula, Veliameveto Tuinivanua


Thursday, May 24, 2012

Isu Shukri, Pukulan Libas Buat FAM!

Masih ingatkah anda, beberapa bulan lalu, seorang pegawai dari FIFA, Chris Eaton mendakwa ada pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang terlibat di dalam gejala mengatur perlawanan membabitkan saingan Liga Malaysia? FAM tanpa menyiasat lebih lanjut, meminta pegawai itu dan FIFA memohon maaf di atas tuduhan tersebut yang disifatkan tidak berasas.

Hari ini, kecoh memperkatakan seorang pengadil dari Malaysia, Shukri Nor yang mana majikannya adalah FAM, didakwa di sebuah Mahkamah Singapura bersama seorang bekas pemain kebangsaan yang kini bergelar ahli perniagaan, S.S Thana Segar atas tuduhan bersetuju menerima suapan  RM15,000 untuk mengatur perlawanan Liga Super, membabitkan Lions XII menentang Sarawak.

Shukri dan Thana Segar, didakwa melakukan kesalahan itu, di sebuah bilik hotel di Pulau Pinang pada 19 Mei lalu, namun difahamkan dia ditahan Anggota Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura sebelum bermulanya perlawanan antara kedua-dua pasukan, yang berkesudahan Lions menang 3-0, dan tempatnya dalam perlawanan itu diambil alih Wan Ahmad Tarmizi.

Shukri, 47 tahun, boleh dikatakan antara pengadil paling berpengalaman di Malaysia dan perkembangan ini nyata cukup memalukan di saat pemain dari Malaysia semakin menjadi sebutan di luar negara. Ini nasib baik kantoi sebelum perlawanan berlangsung, yang tak terkantoi entah berapa banyak lah lagi? sungguh kasihan peminat bolasepak tempatan, hadir ke stadium bersemangat tinggi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan, rupanya keputusan sudah diatur. What a shame!!

Apa yang berlaku, pastinya dilihat sebagai satu lagi tamparan hebat buat FAM, beria-ria menyuruh FIFA meminta maaf kini sudah HAMPIR dapat dibuktikan dan terpercik ke muka sendiri (walaupun kita sebagai rakyat Malaysia akan berharap dakwaan tersebut tidak benar), apakah penjelasan FAM tentang perkara ini, adakah mereka kini dalam situasi menjilat ludah sendiri?

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata FAM akan menunggu keputusan perbicaraan mahkamah Singapura sebelum mengambil tindakan lanjut – katanya ini sebagai menghormati undang-undang negara tersebut.

Manakala dalam satu kenyataan ringkas kepada media, FAM mengucapkan tahniah kepada CPIB di atas tindakan badan itu menahan dan mendakwa pihak yang terlibat dengan gejala bookie. Menurut kenyataan itu lagi, FAM sentiasa memandang berat isu rasuah bolasepak dan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memerangi gejala ini. Cubaan untuk mendapatkan komen orang kuat FAM, Datuk Azuddin Ahmad bagaimanapun tidak berhasil, dilaporkan dia berada di Hungary ketika ini.

Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin dengan bayaran $50,000 sebelum kes itu disebut semula 31 Mei nanti, dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga $100,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya mengikut undang-undang Singapura.

Apa yang akan FAM pula lakukan? Saya masih ingat janji Datuk Astaman ketika saya bertemu beliau dua tahun lepas, ketika beliau dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pengadil, struktur gaji para pengadil adalah perkara pertama yang akan dinilai agar mereka mendapat bayaran setimpal perkhidmatan yang diberi. So, apa jadi?

Kritikan terhadap mutu pengadilan juga perlu diteliti secara serius, bukannya cepat melatah menjatuhkan hukuman, ini komen sikit terus nak menghukum sedangkan kualiti pengadilan itu mungkin juga berkait rapat dengan gejala mengatur perlawanan. Setakat pakai baju tertera logo INTEGRITI dan berikrar beria-ria kononnya TELUS AMANAH, mana cukup? Kenapa tidak selama ini apabila menerima laporan atau aduan, sama ada secara terus atau melalui saluran lain, FAM jalankan siasatan untuk kenal pasti puncanya? 

Sebaliknya FAM hanya sibuk menghukum, inikah yang mereka katakan sebagai bekerjasama memerangi rasuah – iaitu dengan menjatuhkan hukum kepada orang yang menyuarakan rasa tidak puas hati? Tengoklah, Persatuan Bolasepak Singapura telah menjalankan tanggungjawab memerangi rasuah dengan berkesan, setinggi ucapan tahniah buat FAS! FAM harus malu dengan FAS. Tak malu ke ucap tahniah kpd badan induk negara jiran, terang-terang nampak diorang lagi telus dan berintegriti.

Tuntut Penjelasan Tindakan Kurang Profesional FAM


Kelab Penyokong Rasmi Bolasepak Kelantan, menuntut penjelasan dan gantirugi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia, ekoran tindakan membuang beberapa KAIN RENTANG/BANNER yang dipasang di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby, 19 Mei lalu.

Pengerusi KPBSK, Mohd Yahya Jamada Ali dalam satu kenyataan baru-baru ini, berkata BANNER yang dipasang tidak langsung bersifat provokatif atau menyentuh sensitiviti, atau mencaci peribadi mana-mana individu khususnya pegawai FAM, sebaliknya hanya mengandungi kata-kata semangat dan sokongan padu buat Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.


Antara banner yang dirampas, adakah ia menjadi satu kesalahan untuk menggantung banner2 seperti ini?

“kami agak kecewa dan terkilan, banner yang mengandungi wajah TSAM dan kata-kata semangat buat beliau dan pasukan, dibuang tanpa alasan munasabah, tanpa sebab kukuh. Apakah menjadi satu kesalahan untuk memberi sokongan kepada bapa pembangunan bolasepak Kelantan?

“Kami juga telah mengikut protokol dan prosedur kain rentang yang dibenarkan tanpa melanggar mana-mana arahan, ini menunjukkan FAM langsung tidak professional dan perbuatan mereka ini menjurus kepada dendam peribadi,” ujarnya.

Lebih mengecewakan, Mohd Yahya juga menjelaskan bahawa pemeriksaaan terhadap kain rentang juga telah dibuat terlebih dahulu pada waktu tengah hari oleh pihak stadium dan pegawai FAM, dan mereka sendiri yang membenarkan 5 kain rentang dipasang di tempat yang telah ditetapkan.

“Kami beredar dari stadium selepas selesai menggantung sekitar jam 2 petang, tetapi apabila kembali ke stadium pada pukul 6.30ptg, kami dapati dua bidang kain rentang yang digantung sudah tiada, kami difahamkan ada beberapa pegawai keselamatan dan pegawai FAM telah membuang dan merampas banner itu tanpa alasan, kami berpendapat tindakan itu di luar normal kemanusiaan,” tambahnya.

wakil KPBSK menunjukkan laporan polis yang telah dibuat

Susulan daripada kejadian itu juga, KPBSK telah membuat laporan polis dan mahu penjelasan wajar daripada FAM di atas apa yang berlaku, di mana kelab peminat telah bertungkus lumus menyiapkan banner tersebut semata-mata sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada wira kesayangan mereka dengan kos sekitar RM5,000 bagi dua banner tersebut namun dirosakkan oleh orang yang tidak tahu tentang bolasepak.

Bojan Tabik Profesionalisme Norfarhan, Ben10 Dedikasi Kemenangan Buat Peminat


Penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Mohamad hanya mengambil 2 minit untuk membuktikan nilainya selaku penyerang berbisa apabila meledak gol pembukaan menentang seteru pantai timur, Terengganu dalam saingan pusingan kedua Piala AFC, sekaligus menunjukkan apa yang Kelantan kehilangan pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu – sentuhan pemusnah di depan gol.

foto : Mark Deen. www.kelate.net
Tidak diturunkan tempoh hari menentang Sime Darby FC, apabila Bojan Hodak memilih untuk mengandingkan Norsharul Idlan dan Mahmoud Ghadar, Norfarhan ibarat singa lapar, dan menamatkan permainan dengan 2 jaringan, pada perlawanan yang menyaksikan Kelantan  menang 3-2 dan mengesahkan tiket ke suku akhir. 

“Saya gembira dengan sumbangannya, saya sudah cakap dia seorang professional, dia bukan Carlos Tevez atau Balotelli yang merajuk apabila tidak diturunkan, tapi dia adalah Norfarhan, tengok, apabila diberi peluang dia beri komitmen lebih 100 peratus, dia skor gol, dia mahu buktikan sesuatu, saya sudah kata bukan saja Norfarhan tetapi semua pemain kami hebat, dan ini buktinya,” ujar Bojan ketika dihubungi SS.

Manakala Norfarhan menerusi kenyataan di laman facebooknya tidak mahu dia dianggap sebagai wira di sebalik kemenangan bergaya ke atas Terengganu, dan secara merendah diri menyifatkan kemenangan ini hadir di atas kerjasama semua rakan sepasukan, dan berterima kasih kepada sokongan berterusan ditunjukkan peminat TRW.

“Gol bertaraf dunia dari Rizal Fahmi, dan bonus dua gol dari Mr.Ben10 (Norfarhan), tahniah kepada semua, kerja keras dari semua pemain, syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada semua fans yang sanggup berhujan demi TRW. Special thanks to my wife and son, Nan Ida & Ateem kerana memahami. Gomo Kelate Gomo, kawe banggo demo pun banggo..”.

foto : yusran yusof, www.kelate.net
Pada perlawanan yang berlangsung lewat setengah jam kerana hujan lebat itu, Kelantan mendahului 3-0 di babak pertama menerusi tambahan jaringan yang dihasilkan Rizal Fahmi hasil sepakan percuma persis Roberto Carlos, namun Terengganu bimbingan Peter James Butler, menjelmakan kebangkitan menerusi jaringan Ismail Faruqi dan Francis Forkey Doe, namun tidak berupaya menghalang Kelantan dari meneruskan kemaraaan.

Saingan Piala AFC hanya akan bersambung semula September depan, dan Kelantan dalam tempoh tersebut akan kembali focus pada saingan liga, bermula dengan pertemuan menentang Johor FC, Sabtu ini.

Malaysia - Dulu Gergasi Kini Belasahan


di penghujung karier

Keputusan sememangnya awal-awal lagi sudah diduga, tiada apa untuk dihairankan dengan kekalahan 0-3 kepada gergasi badminton dunia, China yang nyata berada di kelas tersendiri tatkala pasukan negara umpama baru mahu bertatih mempelajari ilmu sukan badminton meskipun mempunyai dua bekas juara All England di dalam senarai pemain.

Tanpa kelibat kapten, Datuk Lee Chong Wei yang sudahpun berada di Kuala Lumpur tatkala perlawanan antara Liew Daren dan pemain sensasi tuan rumah juga jaguh Olimpik, Lin Dan membuka tirai, Malaysia nyata tidak berupaya memberi tentangan kepada China dalam mana-mana acara, diperbudak-budakkan dari segenap aspek.

Meskipun ada yang melihat kemenangan set pertama 21-17 Liew Daren ke atas Lin Dan sebagai suatu kejutan yang menghadirkan ceria di kem negara, percayalah ia sebenarnya tidak lebih dari ehsan juara dunia 4 kali itu kepada Liew – pemerhati dan peminat sukan badminton yang mengenali corak dan rentak permainan Lin Dan pastinya mengakui akan situasi itu.

Lihat sahajalah bagaimana Lin Dan mencatat kemenangan mudah dalam dua set berikutnya, 21-9, 21-5, begitu senang dia membuli budak mentah berusia 25 tahun itu – campur kutipan mata Liew untuk dua set tersebut pun hanya 14 mata sahaja.

tinggal kenangan

Pasangan juara All England 2007, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong juga nampaknya sudah semakin menghampiri penamat zaman kegemilangan mereka, dan tiada tanda-tanda mereka akan bangkit memperbaiki prestasi menjelang Sukan Olimpik London, Ogos depan dan Tan Kim Her nyata sudah kehilangan idea bagaimana untuk mengembalikan semula kehebatan beregu utama negara itu.

Tewas straight set kepada pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng/Caiyun yang juga lawan yang ditewaskan ketika merangkul gelaran All England 2007, melengkapkan episod buruk prestasi pasangan itu yang sekadar meraih dua gelaran GP Emas Terbuka Malaysia dalam tempoh dua tahun.

sudah boleh bersara
Hafiz Hashim? Saya masih tertanya-tanya apakah kita sudah tiada pemain lain yang lebih fit, lebih cergas untuk dibariskan berbanding pemain kelahiran Kelantan ini yang mana dengan jelas menunjukkan prestasi tidak meyakinkan sejak 3 atau 4 tahun lalu. Apakah yang cuba dibuktikan Persatuan Badminton Malaysia, dan apa pula yang menyebabkan Hafiz bersedia membawa cabaran negara ke Wuhan, tidakkah dia sedar takat kemampuan dia?

Kalaupun pengalaman yang ditagih BAM, takkan prestasi semasa Hafiz tidak dinilai? Pemain yang cukup slow dan tidak mampu menandingi kepantasan pemain lawan, dan kesudahannya bekas juara All England 2003 itu dimalukan dengan rentak permainan agresif dan pantas bintang muda, Chen Long, 21-10, 21-11.

tidak diberi peluang
Sepertimana K.Rajagobal enggan memberi ruang kepada pemain seperti Ashaari Shamsudin, Baddrol Bakhtiar, Shakir Shaari dan S.Subramaniam untuk membuktikan sesuatu, seperti itu jugalah nasib yang dialami pasukan badminton negara yang pada satu ketika digelar gergasi badminton dunia.

Juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli terus diperap tanpa diberi peluang, Roslin Hashim yang melatih budak-budak Sekolah Sukan Bukit Jalil ditamatkan kontrak tanpa sebab munasabah, Rexy Mainaky dan jurulatih dari Korea, Yoo Yong Sung berundur ekoran kecewa dengan BAM – inilah yang lebih menjadi sebutan pada hari ini, berbanding tumpuan untuk melahirkan pemain badminton bertaraf dunia – sasaran yang semakin tersasar.

MRU Perkasa Program Pembangunan



Sedar akan kurangnya pendedahan terhadap sukan ragbi di Malaysia, Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) mahu memainkan peranan secara lebih serius dan pro-aktif di dalam melahirkan bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam sukan itu.

Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, MRU tidak jemu di dalam mendidik anak-anak muda seawal usia 7 tahun untuk mendalami ilmu sukan ragbi dengan menganjurkan Klinik Kejurulatihan Ragbi yang dikendalikan oleh tenaga kejurulatihan dan anggota skuad ragbi kebangsaan.

Ketua jurulatih skuad ragbi negara, Boon Hoon Chee, berkata penganjuran klinik ini meskipun dilihat lebih menjurus kepada persiapan pasukannya untuk menghadapi Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia minggu depan, ia juga tanggungjawab sosial pihaknya dalam membantu memartabatkan semula imej sukan ragbi yang mengalami kemerosotan mendadak sejak beberapa tahun lalu.  


“Program ini bukan untuk satu jangka masa pendek, sebaliknya satu wawasan yang akan berterusan. Kalau kita tengok, sambutan yang diterima hari ini amat menggalakkan. Ini sebenarnya satu petanda bagus untuk perkembangan sukan ragbi di peringkat sekolah di mana cikgu-cikgu berpeluang menjadi jurulatih kepada anak murid mereka.

“Saya pernah berpeluang menyaksikan aksi pemain B-16 tahun, standard mereka menyamai pemain yang sudah dewasa, jadi tidak mustahil jika kita dapat gilap bakat mereka, dalam 4-5 tahun lagi mereka mampu menaikkan nama negara ke tahap yang disegani, ” ujarnya yang ditemui selepas mengendalikan klinik kejurulatihan yang disertai lebih 50 peserta dari sekitar Lembah Klang.   

Di klinik kejurulatihan MRU ini, asas dalam sukan ragbi akan diberi keutamaan seperti teknik mengawal bola, gaya sepakan, teknik meloloskan diri dari pemain lawan, strategi permainan dan pelbagai perkara lain yang berkaitan - justeru tidak hairanlah MRU sejak ditubuhkan pada 1921 telah berjaya melahirkan ramai pemain professional berbakat sama ada yang mewakili kelab, negeri atau negara. 

Bagi bekas pemain ragbi negara, Norhisham Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu kepada Hoon Chee, beliau berpendapat selain daripada kurangnya pendedahan, restu ibu bapa turut menjadi kekangan utama yang menghalang seseorang itu melibatkan diri dalam sukan ragbi yang layak dilabel aggresif ini.


“Ibu bapa pada hari ini tidak begitu mengalakkan anak mereka untuk main ragbi, katanya berbahaya, mereka perlu ubah persepsi itu. Ragbi memang permainan aggresif tetapi tidak berbahaya jika kita main dengan teknik yang betul, sebab itulah kami selalu tampil dengan aktiviti begini untuk mencurahkan ilmu. Pemain kebangsaan sendiri mengendalikannya, menjadikan minat para peserta lebih bertambah, di sinilah pentingnya sokongan keluarga,” katanya.

Sementara seorang lagi pembantu jurulatih yang juga bekas pemain negara, Nik Safuan Ismade berkata penganjuran klinik kejurulatihan ini tidak terhad hanya di sekitar Lembah Klang, sebaliknya melalui kerjasama Combined Old Boys Rugby Association (COBRA), HSBC dan Yayasan CIMB, ia turut dilebarkan di sekolah-sekolah di setiap negeri.

“Kalau pada awal tahun, di KL hanya ada 4 sekolah yang ada ragbi, tetapi hari ini, sudah ada 419 sekolah di seluruh negara, ia satu peningkatan cukup drastik. Malah kawasan pedalaman turut kita perkasakan dengan program berkaitan sukan ragbi, COBRA juga sediakan pegawai pemantau dalam memastikan usaha yang dilaksanakan ini bukan sekadar  hangat-hangat tahi ayam,”.


Klinik Kejurulatihan ini, yang diadakan sebagai satu daripada aktiviti MRU menjelang Kejohanan 5 Negara Asia (Divisyen 2 & 3) bermula 30 Mei depan, disertai peserta dari  buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kinrara 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, 19 dan 24 Shah Alam.

“Pengalaman yang sangat berharga, dapat terlibat sama dengan pemain pasukan kebangsaan, sesuatu yang dapat dimanfaatkan, belajar banyak teknik-teknik baru, minat tu semakin bertambah..” – Ahmad Muzammil Samsul Anuar.

“Saya minat main ragbi sejak usia kecil, melalui klinik ini menjadikan saya lebih arif tentang selok belok permainan ragbi, memupuk keberanian kerana ragbi adalah sukan yang lasak, banyak yang dapat saya belajar, abang-abang dari skuad kebangsaan semuanya peramah, tidak lokek ilmu..” – M. Puvaneswaran.

Tuesday, May 22, 2012

Hatrik Shahrin Majid Ikat Arena

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Astro Arena menyajikan aksi menghiburkan dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, yang berkesudahan dengan keputusan seri 3-3.

Rashid melayangkan badan menyelamatkan percubaan Arena
Tanpa kelibat beberapa pemain utama seperti Zainal Abidin Hassan, Datuk Soh Chin Aun, Reduan Abdullah, Khalid Ali, Dollah Salleh, dan K.Gunalan, YAKEB diketuai bekas pemain skuad Olimpik, Bakri Ibni menunjukkan usia bukan faktor ukuran di dalam menyajikan aksi bertenaga persis zaman kegemilangan mereka suatu ketika dahulu.

Aksi penjaga gol, Rashid Hassan umpamanya ketika melayangkan badan menepis keluar percubaan pemain lawan, pastinya mengembalikan nostalgia silam, selain kelibat ibarat ‘lipas kudung’ Karim Pin, gandingan utuh dua rakan karib di barisan pertahanan – Mat Zan Mat Aris & Razip Ismail - aksi ala Ashley Cole pemain skuash negara, Azlan Iskandar dan sentuhan pemusnah Shahrin Majid, antara detik-detik yang mewarnai perlawanan pertama YAKEB bagi tahun 2012 ini.

Pemain bergambar kenangan
“kita ni ex-national, ada kelebihan dari segi pengalaman. Pada usia kita ni, pengalaman itulah yang harus digunakan sebaiknya, tak perlu push terlalu kuat, kita tahu kemampuan kita setakat mana. Biar orang-orang muda yang push, kita yang dah veteran guna pengalaman, guna akal, control ball, main rileks, jangan pressure diri sendiri,” ujar Bakri sebelum mula perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung tiga babak itu, YAKEB mendahului 1-0 hasil jaringan bekas penyerang berbisa tanah air, Shahrin Majid sebelum Arena yang diwakili pemain seperti Azlan Johar, Nazzab Hidzan,  pengulas sukan Shaukei Kahar, selain tenaga kerja termasuk wartawan Astro Arena menyamakan kedudukan pada babak ketiga.

Kedudukan itu tidak bertahan lama, apabila Shahrin yang masih lincah pada usia 38 tahun melakukan percubaan jarak jauh yang mengegar gawang Arena, sebelum kedudukan kembali terikat 2-2, dua minit kemudian.

Gawang YAKEB kawalan Rashid Hasan bocor lagi 10 minit kemudian, untuk Arena mendahului 3-2, namun Shahrin memastikan YAKEB tidak berputih mata di gelanggang sendiri, menerusi gol cantik selepas memperdayakan beberapa pertahanan lawan di minit akhir permainan untuk keputusan akhir, 3-3.

Saya (penulis) yang beraksi di posisi sayap kiri untuk YAKEB lebih kurang 10 minit di babak ketiga, hampir pitam mengejar bola hantaran jauh Shahrin dan Razip Ismail gara-gara semput dan tidak fit - tetapi ia tetap pengalaman cukup hebat untuk beraksi di padang SNBJ yang pernah menjadi saksi kehebatan pemain seperti Samir Nasri, Robin Van Persie, Didier Drogba dan Wayne Rooney.

Syarikat Swasta Bantu Pembangunan Bolasepak Remaja


Puma,Vico serta Arctic Ice yang merupakan minuman rasmi pasukan Manchester United adalah syarikat swasta yang membantu pembangunan bolasepak negara. Ini telah membuktikan bahawa pembangunan bolasepak turut mendapat sambutan dari syarikat swasta berikutan dengan penajaan untuk Puma Hayvok Youuth Football yang akan diadakan pada tanggal 26hb Mei 2012 ( Sabtu ) bertempat di Dataran Rembau,Negeri Sembilan.

Kejohanan yang julung kali diadakan di Dataran Rembau ini adalah merupakan kejohanan bolasepak bawah umur 12 dan 17 tahun. Ia terbuka kepada pasukan,kelab,akademi bolasepak di seluruh negara.

Pengerusi Puma Hayvok Youth Football 2012, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata,pembangunan bolasepak remaja harus diberi perhatian dan juga kejohanan seumpama ini hendaklah selalu dianjurkan.

Pengerusi Puma Havyok, Dato' Suhaimi Shahadan bersama penaja dan peserta akademi bolasepak 
“Pelbagai pihak telah melakukan apa yang terbaik untuk pembangunan bolasepak negara.” Jelas beliau.

Karnival ini akan dijalankan selama satu(1) hari sahaja,pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Rembau juga turut serta menjayakan acara ini.Mereka akan memberi kesedaran tentang penggunaan dadah yang merosakkan masyarakat.

Menurut Pengurus Pemasaran Arctic Ice, Zelmey selaku minuman tenaga kelab Manchester United,kami turut berbangga kerana terlibat di aktiviti pembangunan bolasepak, terutamanya di kalangan remaja.

“Penganjuran peringkat umur harus selalu diadakan untuk memberi mereka perlawanan yang kompetatif,ini akan membantu skil dan juga memberi pengalaman kepada remaja ini dan berharap mereka akan menjadi pelapis untuk skuad kebangsaan.”jelas Zelmey.

Bagi Puma pula, ini merupakan peluang untuk bersama mendekati golongan remaja yang juga merupakan peminat kepada jenama Puma.

Selain daripada itu, BattleField Live In Malaysia akan turut memberi pendedahan kepada rakan media untuk mencuba permainan itu dan juga akan memberi tiket percuma kepada pemenang bawah 12 dan bawah 17 tahun nanti.

“Pendedahan kepada aktiviti remaja dan juga kesedaran tentang bahayanya dadah akan membantu remaja kini untuk mengisi masa lapang dan mereka akan terus bersukan serta menasihatkan rakan sebaya menjauhi dadah.” tambah Dato’ Sohaimi Shahadan.

Pendaftaran untuk karnival bolasepak bawah 12 dan 17 tahun ini  masih dibuka dan keterangan lanjut boleh hubungi 017-3566017 / 016-9178709 Kay, bagi urusan pendaftaran.

Sunday, May 20, 2012

Kawalan Keselamatan Longgar, Mana Janji FAM?


Janji FAM hanya tinggal janji. 

Meskipun memberi jaminan akan memperketat kawalan keselamatan selain kemudahan stadium untuk keselesaan penyokong beberapa hari sebelum perlawanan, sebaliknya yang berlaku apabila anggota keselamatan yang ditugaskan LEBIH BERMINAT untuk menyekat penyokong daripada membawa masuk BANNER/KAIN RENTANG yang ada wajah atau nama Tan Sri Annuar Musa, manakala pelbagai objek lain termasuk lampu suluh, minyak wangi, botol air mineral dan mercun tidak pula ditahan dan mudah diseludup masuk ke dalam stadium.

Dan akibat kelalaian anggota keselamatan menjalankan tugas, yang menjadi mangsa adalah petugas media yang ditempatkan di kawasan terbuka yang kurang selamat - terancam dengan balingan pelbagai objek yang datang melayang dari arah atas, manakala anggota keselamatan hanya berdiri kaku tanpa mengambil apa-apa tindakan.

“saya tak faham dengan penyokong ni, apa perlunya korang semua baling pelbagai macam objek ketika meraikan gol, takde cara yang lebih berhemah ke, kenapa perlu membahayakan orang lain, ingatkan kalah jer perangai camni, menang pun sama jugak? Entah budaya mana dibawa mereka pasukan menang pun masih nak buat hal. FAM pun satu, sembang jer lebih kata sekuriti ketat, entah apa diorang buat pun saya tak tahu, duk menangguk tengok jer apa yang berlaku. Letak sekuriti setakat nak suruh sekat orang bawak masuk banner Annuar Musa, sedangkan objek berbahaya lepas pulak masuk dalam stadium. Sungguh tak relevan,” ujar seorang rakan media yang tidak mahu namanya dipetik.


Tambah mengecewakan ada seorang rakan dari media cetak nyaris terkena balingan objek keras berupa minyak wangi yang masih penuh isi kandungannya. Setahu SS, minyak wangi boleh dilabel sebagai antara punca bahan api, kerana di belakangnya tertulis mudah terbakar/meletup. Ini kira FAM perlu bertanggungjawab la kan?

“kawalan keselamatan terlalu longgar, sangat teruk, kita datang buat kerja, tapi tadi ada botol mineral singgah kat laptop aku, and then botol minyak wangi yg hampir terkena kepala, janganlah esok ada petugas media dilaporkan cedera baru terhegeh nak ambil tindakan,”

Manakala seorang lagi wartawan dari media cetak berkata : “ Inikah yang dimaksudkan sebagai kawalan dipertingkat? FAM penganjur final, takde guna mereka salahkan orang lain kalau mereka sendiri tak reti nak kawal penyokong, kecewa untuk melihat masih berlaku lagi perkara seumpama ini, FAM perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ini, bukan letak kesalahan atas orang lain..”.

Yang kelakarnya, apabila pihak polis dapat merampas apa-apa objek seperti mercun atau flare, ataupun menahan mana-mana individu yang buat kecoh, pantas jer mereka nak buat sidang media untuk hebahkan perkara ini, tapi semalam puas juga SS mencari, tiada seorang pun wakil anggota keselamatan yang boleh ditarik untuk dapatkan penjelasan.

Saya juga masih tertanya-tanya tentang sikap kurang ajar sekuriti dan anggota keselamatan diupah FAM, yang bukan sahaja memaki hamun, malah menolak saya keluar dari memasuki Stadium Nasional dengan alasan tempat itu sudah dibook untuk final Piala FA – habis ingat aku datang nak tengok konsert Anuar Zain ke brader? Budi bahasa budaya kita.

Demi The Red Warriors : Subra


“Kesakitan ini apalah sangat jika dibandingkan dengan kegembiraan ratusan ribu penyokong yang datang jauh untuk menyokong kami, kemeriahan yang menakjubkan. kemenangan ini untuk semua peminat TRW, ia tak mungkin hadir tanpa sokongan mereka.

“masa injured tu saya tak terfikir pun nak keluar, atau akan digantikan, bagi saya ia cuma kecederaan kecil. semangat saya masih kuat dan saya fikir mahu teruskan permainan selepas mendapat rawatan, tetapi fisio dah memberi isyarat kepada coach Bojan agar pertukaran dibuat,”


Demikian reaksi S.Subramaniam, pertahanan tengah Kelantan yang menerima 4 jahitan di bahagian kening kiri gara-gara disiku ayam tambatan Sime Darby, Patrick Ronaldinho.

Namun yang membanggakan dalam situasi darah masih mengalir, dia tetap berupaya melangkah keluar padang dengan gah untuk berjabat tangan dengan Rizal Fahmi dan menuju ke bilik persalinan.

Jelas, Subra berada di kelasnya tersendiri, membuktikan mengapa dia layak dilabel antara pertahanan terbaik negara, malah menjadi idola kebanyakan pemain muda termasuklah pertahanan kebangsaan meningkat naik, Amiridzwan Taj yang turut menyampaikan simpati + tahniah kepada Subra melalui laman Facebooknya.

Meskipun hanya beraksi 33 minit, Subra berjaya ‘mengikat’ Ronaldinho dan memastikan pemain dari Liberia itu sekadar menyentuh bola secara minimal, sekaligus menyaksikan Khairul Fahmi hanya sesekali diuji.

Apapun, pujian buat semua pemain benteng terakhir, yang turut menunjukkan komitmen penuh – Daudsu Jamaludin, Obinna Nwaneri, Rizal Fahmi, Zairul Fitri, Farisham Ismail serta Khairul Fahmi, di dalam memastikan Piala FA singgah pertama kali ke bumi Kelantan – meskipun final kali ini layak dianggap tiada kualiti final ekoran aksi hambar yang ditunjukkan.


“saya tidak setuju jika anda kata Ronaldinho tidak bermain dengan baik, sebaliknya pemain pertahanan saya telah menjalankan tugas dengan berkesan, bermain dengan baik, untuk mengawalnya. Ronaldinho tiada idea bagaimana untuk melepasi kawalan pertahanan, dan mencari ruang. Itu bezanya antara pemain terbaik saya dan pemain terbaik Sime Darby..” – Bojan Hodak.  

Norfarhan Akui Terkilan

foto : suarasukan
Melihat senarai kesebelasan utama, agak mengejutkan juga apabila tiada nama penyerang prolifik Kelantan, Mohd Norfarhan Mohamad yang tercicir ke barisan simpanan, dengan jurulatih, Bojan Hodak memilih untuk mengandingkan Norsharul Idlan Talaha dan Mahmoud Ghadar di barisan depan. 

Tindakan Bojan itu, pastinya dilihat penyokong sebagai percaturan yang tidak menjadi, dengan Norsharul, yang baru sahaja beraksi beberapa perlawanan selepas kembali dari kecederaan, dilihat tenggelam punca dan masih bergelut mencari prestasi terbaik. 

Sentuhan dan gelecekkannya juga mudah dipatahkan pertahanan lawan, dan tidak keterlaluan jika dikatakan Norsharul off-form dan sekadar menjadi pelengkap kepada senarai kesebelasan utama malam tadi dan ternyata ketiadaan Norfarhan di barisan depan pasukan Kelantan begitu dirasai.

Paling tidak, kalaupun tidak di posisi penyerang, Norfarhan mungkin boleh masuk sebagai pengganti apabila Bojan memilih untuk mengeluarkan S.Chanturu selepas Kelantan menjaringkan gol pertama pada minit ke-58, sebaliknya pengendali berbangsa Croatia itu memilih memasukkan Nurul Azwan Roya, dan alasannya : 

"semua penyerang saya bagus, setiap mereka saya beri peluang dan saya gemar membuat penggiliran. Norfarhan memang ada dalam perancangan saya untuk dimasukkan pada separuh masa kedua, sepertimana biasa saya perlukan freshlegs, dan saya tahu dia boleh menyumbang sesuatu.

"kita rugi satu pertukaran apabila subra terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan, dan pertukaran ketiga saya mahu memasukkan Farhan, tetapi Daudsu pula mengalami kecederaan, ia tidak dijangka, ia menganggu perancangan saya, taktikal saya, memang saya tahu dia (Farhan) pasti kecewa, tapi saya yakin dia seorang yang profesional..".

Manakala Norfarhan, penjaring terbanyak Kelantan dalam saingan Piala FA dengan 5 gol, yang ditemui penulis selepas tamat perlawanan, menganggap apa yang terjadi sebagai lumrah dunia bolasepak, namun dalam masa sama mengakui dia tetap terkilan tidak dapat terlibat sama di dalam membantu kemenangan TRW pada malam ini.


"Tipula kalau saya kata tak terkilan, memang semua pemain nak merasa nikmat beraksi di final, tapi saya tolak ketepi sentimen itu, sebab yang penting kejayaan pasukan, coach ada perancangan dia, ini keputusan dia, sebagai pemain, saya terima dengan hati terbuka. dalam pasukan ni tiada kesebelasan utama, semua pemain adalah terbaik.

"yang penting apabila diberi peluang, saya akan lakukan terbaik untuk membuktikan kemampuan saya. jadi, malam ini bukan rezeki saya, apapun rakan-rakan lain telah menunjukkan semangat berpasukan, dan kesungguhan yang tinggi, walaupun tidak beraksi, kejayaan ini cukup manis bagi saya,"