Pautan Suara Sukan

Thursday, May 24, 2012

MRU Perkasa Program Pembangunan



Sedar akan kurangnya pendedahan terhadap sukan ragbi di Malaysia, Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) mahu memainkan peranan secara lebih serius dan pro-aktif di dalam melahirkan bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam sukan itu.

Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, MRU tidak jemu di dalam mendidik anak-anak muda seawal usia 7 tahun untuk mendalami ilmu sukan ragbi dengan menganjurkan Klinik Kejurulatihan Ragbi yang dikendalikan oleh tenaga kejurulatihan dan anggota skuad ragbi kebangsaan.

Ketua jurulatih skuad ragbi negara, Boon Hoon Chee, berkata penganjuran klinik ini meskipun dilihat lebih menjurus kepada persiapan pasukannya untuk menghadapi Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia minggu depan, ia juga tanggungjawab sosial pihaknya dalam membantu memartabatkan semula imej sukan ragbi yang mengalami kemerosotan mendadak sejak beberapa tahun lalu.  


“Program ini bukan untuk satu jangka masa pendek, sebaliknya satu wawasan yang akan berterusan. Kalau kita tengok, sambutan yang diterima hari ini amat menggalakkan. Ini sebenarnya satu petanda bagus untuk perkembangan sukan ragbi di peringkat sekolah di mana cikgu-cikgu berpeluang menjadi jurulatih kepada anak murid mereka.

“Saya pernah berpeluang menyaksikan aksi pemain B-16 tahun, standard mereka menyamai pemain yang sudah dewasa, jadi tidak mustahil jika kita dapat gilap bakat mereka, dalam 4-5 tahun lagi mereka mampu menaikkan nama negara ke tahap yang disegani, ” ujarnya yang ditemui selepas mengendalikan klinik kejurulatihan yang disertai lebih 50 peserta dari sekitar Lembah Klang.   

Di klinik kejurulatihan MRU ini, asas dalam sukan ragbi akan diberi keutamaan seperti teknik mengawal bola, gaya sepakan, teknik meloloskan diri dari pemain lawan, strategi permainan dan pelbagai perkara lain yang berkaitan - justeru tidak hairanlah MRU sejak ditubuhkan pada 1921 telah berjaya melahirkan ramai pemain professional berbakat sama ada yang mewakili kelab, negeri atau negara. 

Bagi bekas pemain ragbi negara, Norhisham Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu kepada Hoon Chee, beliau berpendapat selain daripada kurangnya pendedahan, restu ibu bapa turut menjadi kekangan utama yang menghalang seseorang itu melibatkan diri dalam sukan ragbi yang layak dilabel aggresif ini.


“Ibu bapa pada hari ini tidak begitu mengalakkan anak mereka untuk main ragbi, katanya berbahaya, mereka perlu ubah persepsi itu. Ragbi memang permainan aggresif tetapi tidak berbahaya jika kita main dengan teknik yang betul, sebab itulah kami selalu tampil dengan aktiviti begini untuk mencurahkan ilmu. Pemain kebangsaan sendiri mengendalikannya, menjadikan minat para peserta lebih bertambah, di sinilah pentingnya sokongan keluarga,” katanya.

Sementara seorang lagi pembantu jurulatih yang juga bekas pemain negara, Nik Safuan Ismade berkata penganjuran klinik kejurulatihan ini tidak terhad hanya di sekitar Lembah Klang, sebaliknya melalui kerjasama Combined Old Boys Rugby Association (COBRA), HSBC dan Yayasan CIMB, ia turut dilebarkan di sekolah-sekolah di setiap negeri.

“Kalau pada awal tahun, di KL hanya ada 4 sekolah yang ada ragbi, tetapi hari ini, sudah ada 419 sekolah di seluruh negara, ia satu peningkatan cukup drastik. Malah kawasan pedalaman turut kita perkasakan dengan program berkaitan sukan ragbi, COBRA juga sediakan pegawai pemantau dalam memastikan usaha yang dilaksanakan ini bukan sekadar  hangat-hangat tahi ayam,”.


Klinik Kejurulatihan ini, yang diadakan sebagai satu daripada aktiviti MRU menjelang Kejohanan 5 Negara Asia (Divisyen 2 & 3) bermula 30 Mei depan, disertai peserta dari  buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kinrara 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, 19 dan 24 Shah Alam.

“Pengalaman yang sangat berharga, dapat terlibat sama dengan pemain pasukan kebangsaan, sesuatu yang dapat dimanfaatkan, belajar banyak teknik-teknik baru, minat tu semakin bertambah..” – Ahmad Muzammil Samsul Anuar.

“Saya minat main ragbi sejak usia kecil, melalui klinik ini menjadikan saya lebih arif tentang selok belok permainan ragbi, memupuk keberanian kerana ragbi adalah sukan yang lasak, banyak yang dapat saya belajar, abang-abang dari skuad kebangsaan semuanya peramah, tidak lokek ilmu..” – M. Puvaneswaran.

No comments:

Post a Comment