Pautan Suara Sukan

Thursday, May 31, 2012

Malaysia Ratah China Untuk Mara Ke Final

foto : www.duniasukan.com
Malaysia menampilkan aksi garang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, apabila menjadikan China mangsa amukan dengan mencatat kemenangan 89-0 pada aksi separuh akhir sebentar tadi, sekaligus menempah tiket ke aksi final Divisyen 2 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia HSBC yang berlangsung di sini.

Pasukan negara, bimbingan Hoon Boon Chee, nyata berada di kelas tersendiri dan kemenangan besar ini dilihat sebagai  justifikasi kepada kenyataan itu.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini, memang saya yakin kita akan menang, tetapi saya tidak menjangka untuk menang dengan defisit begitu besar. Kita langsung tidak tahu cara permainan mereka, dan saya gembira pemain patuh pada gameplan dan strategi yang telah kita atur.

“Ini permulaan yang baik, dan saya pastinya harap pemain kekalkan momentum ini. Kredit kepada semua pemain yang telah beri komitmen penuh dan membuktikan kredibiliti mereka,” kata Boon Chee yang ditemui selepas perlawanan.

Beraksi di gelanggang sendiri, Malaysia yang turut diperkuatkan 3 pemain import dari Fiji, langsung tidak memberi ruang kepada China, lawan paling lemah dalam divisyen ini untuk mencatur strategi, sebaliknya mempamer corak permainan pantas untuk mendahului selesa 55-0 pada babak pertama.

Tatkala China umpama hilang punca dan dilihat bergelut menyesuaikan diri untuk memberi saingan, Malaysia menutup terus ruang kebangkitan buat negara tembok besar itu, apabila mempamer dominasi menyeluruh dengan menambah 34 mata di babak kedua, untuk kemenangan mutlak 89-0.

Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung Sabtu.
Thailand mara ke final selepas menewaskan seteru dari Asia Barat, Iran dengan kiraan 37-15.

Aksi 15 minit pertama tampak seimbang antara kedua-dua pasukan, dengan aksi berbalas serangan menyaksikan Thailand mendahului tipis 7-5. Perlawanan bagaimanapun bertambah rancak dengan Thailand meningkatkan tempo permainan dan berjaya menambah 10 mata hasil satu try, satu conversion dan satu penalty sebelum berakhir babak pertama untuk kedudukan 17-5.

Bersambung babak kedua, Iran cuba memberi saingan dan berjaya merapatkan kedudukan 10-17 menerusi try Iraj Abdi, namun Thailand yang melakukan 3 pertukaran selepas itu, mengukuhkan kedudukan 20-10 menerusi penalti yang disempurnakan Warongkorn Khamkoet sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 37-15.

Aksi final pada Sabtu, pastinya menarik untuk diperkatakan, apatah lagi ianya ibarat ulangan final Divisyen Dua 2008, di mana Thailand ketika itu muncul juara dengan mencatat kemenangan 30-7 ke atas Malaysia – ketika itu di Bangkok.

Dalam pada itu, esok (Jumaat) akan berlangsung perlawanan membabitkan Divisyen 3, dengan Pakistan akan menentang Indonesia untuk penentuan tempat ketiga, manakala aksi final membabitkan Guam dan India.

No comments:

Post a Comment