Pautan Suara Sukan

Friday, June 1, 2012

India Muncul Juara Divisyen 3


India dikerah berpeluh sebelum mengetepikan tentangan sengit Guam dengan kemenangan 18-16 untuk muncul juara Divisyen 3 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang tadi.

Selepas merebut pendahuluan dengan kelebihan tujuh mata dua kali dalam tempoh 15 minit pertama, India dilihat terlalu unggul apabila menamatkan babak pertama dengan kedudukan 18-6, di mana 6 mata hadir menerusi penalti.

Namun, bersambung babak kedua, Guam cuba menjelmakan kebangkitan apabila menambah 3 mata menerusi penalti.  Kehilangan dua orang pemain, Robert Leon Guererro yang dilayangkan kad merah pada minit ke-60 dan Vinson Calvo akibat kecederaan sedikit menyentap kem Guam, namun ia tidak menghalang mereka dari terus menekan India apabila menambah 7 lagi mata untuk ketinggalan tipis 16-18.

Guam bertahan dengan baik apabila tidak membenarkan India menambah mata di babak kedua, namun India juga terus bertahan menahan asakan di minit-minit akhit untuk mengesahkan  kemenangan.
Di sebalik kemenangan yang diraih, jurulatih India Mitsutake Hagimoto tidak begitu berpuas hati dengan permainan ditunjukkan anak buahnya yang disifatkan kurang bagus.

“Saya gembira dengan kemenangan ini, tetapi tidak dengan mutu dan kualiti permainan pasukan saya. Terlalu banyak melakukan kesilapan mudah, mereka banyak memberi ruang kepada pemain lawan, terlalu banyak memberi penalti. Kami gagal menambah mata di babak kedua.

“Sasaran kami adalah untuk mara ke Divisyen 1, playoff berkemungkinan besar jumpa Malaysia, tetapi dengan permainan sebegini, ianya sukar, dan kami kena berusaha lebih keras, perlu perbaiki kesilapan,” ujar Harimoto.

Lain pula di kem Guam, nada berbeza disuarakan jurulatihnya, Willie Herataka yang memuji semangat dan kesungguhan ditunjukkan pemainnya yang memberi tentangan hebat kepada India sehingga wisel penamat dibunyikan.

“Pemain saya telah memberikan yang terbaik, saya bangga dengan kerja keras mereka, ianya agak sukar untuk kembali dalam permainan apabila hanya beraksi dengan 13 pemain, tetapi pemain saya tidak memberi India laluan mudah, malah India juga tertekan dan bermain defensif, kami Cuma kurang bernasib baik.

“Walaupun kecewa pada akhirnya kami kalah, tetapi saya terima kekalahan ini dan ianya pengalaman berguna buat mereka kerana di Guam, sukar untuk mereka merasai pengalaman sebegini,” ujar Willie.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Indonesia menewaskan Pakistan 13-7 untuk menamatkan kejohanan di tempat ketiga.

Tidak banyak aksi menarik dapat disaksikan pada perlawanan ini, dengan Indonesia mendahului 13-0 hingga minit akhir permainan, sebelum Pakistan memecah kebuntuan mata pada masa kecederaan.

Kapten Indonesia, Arsalan Zahid berkata : “Kami datang ke kejohanan ini tanpa ekspetasi tinggi, jadi tiada sebarang tekanan, dan untuk tamat di kedudukan ketiga, kami anggap ianya pencapaian bagus dan banyak ruang yang boleh kami perbaiki selepas ini.”

Esok (Sabtu), akan berlangsung aksi final Divisyen 2, dengan Malaysia akan menentang musuh tradisi, Thailand (4.30 petang), manakala China dan Iran akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga dalam aksi sebelumnya. Kesemua perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, masuk adalah PERCUMA.

No comments:

Post a Comment