Tiada lagi ruang untuk buat silap seandainya Real Mulia mahu
terus memberi saingan sengit kepada pendahulu Kumpulan A Liga FAM, Perlis,
demikian tegas ketua pasukan RMFC, Fazli Zulkifli.
Real Mulia yang berada di tangga keempat dengan ketinggalan lima
mata di belakang Perlis akan melayan kunjungan PBAPP FC di gelanggang sendiri,
Stadium Akademi Maybank pada Ahad dan Fazli berpendapat hanya kemenangan akan memastikan
mereka terus berada di landasan tepat untuk mengejar Perlis.
“Kami telah banyak merugikan mata di gelanggang sendiri, apa
yang penting kita semua sebagai satu pasukan tahu di mana silap kita dan
bersama-sama perbaiki. Kita tidak boleh ulangi kesilapan sama kerana sudahpun
berada di pertengahan saingan dan semua perlawanan selepas ini adalah cukup
penting,” katanya.
Sebagai penambahbaikkan pada skuad sedia ada, Real Mulia
telah mendaftarkan dua pemain baru iaitu bekas penyerang Terengganu, Saufie Hamid
dan bekas pemain tengah Sabah, M.Yoganathan sejurus pintu perpindahan kedua
dibuka pada 11 Mei lalu.
Berita gembira juga buat Real Mulia apabila khidmat
pertahanan kanan, A. Puvan Raj yang tersisih akibat kecederaan lutut sebelum
ini akan kembali dapat digunakan.
Namun, Real Mulia hampir pasti tidak dapat menggunakan
khidmat Yoganathan yang sehingga kini belum menerima Sijil Perpindahan Negeri
dari Persatuan Bolasepak Sabah yang enggan mengeluarkan SPN pemain itu meskipun
pada awalnya telah bersetuju memberi pelepasan kepadanya untuk beraksi bersama
pasukan lain.
No comments:
Post a Comment