Prestasi cemerlang bekas penjaga gol kebangsaan,
Syamsuri Mustafa menjadi penyelamat buat Real Mulia FC daripada berputih mata
di gelanggang sendiri tatkala tuan rumah sekadar berpuas hati dengan keputusan
seri 1-1 menentang PBAPP FC pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan
A Liga FAM, pada Ahad.
Real Mulia yang ketinggalan 0-1 di babak pertama
menerusi jaringan Saifulnizam Anuar pada minit ke-45 menyamakan kedudukan pada
minit ke-66 menerusi sepakan penalti Amirullah Ab Razab namun ianya aksi
bertaraf lima bintang dari Syamsuri yang menyelamatkan satu mata berharga buat
anak buah Yunus Aliff.
“Sekali lagi, Syamsuri menjadi wira kita. Dia berada
di kemuncak prestasi dengan menyelamatkan lima atau enam percubaan pasti gol.
Dia berada dalam kelas tersendiri, ianya pertahanan kita yang terlalu banyak
memberi ruang kepada lawan untuk menyerang dan jika tidak kerana dia
(Syamsuri), kita sudah tentu tewas,” ujar Yunus sejurus tamat perlawanan.
Tambah Yunus, “Hanya untuk 15 minit pertama, kita
main permainan kita dan selepas itu kita hilang punca dan nampak tertekan.
Banyak kesilapan mudah, termasuk hantaran pendek yang mudah dibaca pihak lawan.
Malah gol yang dilepaskan juga berpunca daripada kesilapan sendiri, kita kehilangan
bola dan mereka melakukan serangan balas yang menghukum kita.”
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Akademi
Maybank Bangi itu, Real Mulia bermula dengan baik apabila menguasai babak awal perlawanan
sebelum PBAPP bimbingan Kamal Kalid mengimbangi permainan menerusi beberapa
serangan balas pantas yang diilhamkan menerusi pemain licik, Faiz Nasir.
Dengan Haikal Nazri, Shafizi Zain dan M.Yoganathan
kesemuanya gagal merencanakan gerakan serangan yang memberi impak, ianya PBAPP yang dua kali mencemaskan gawang Real Mulia –
kedua-duanya menerusi sepakan percuma kencang yang diselamatkan Syamsuri.
Tatkala aksi babak pertama dilihat hampir pasti
tamat tanpa jaringan, kesilapan barisan tengah dihukum Saifulnizam yang lolos
ke dalam kotak penalti dan memperdaya tiga pemain pertahanan sebelum melepaskan
rembatan yang menewaskan Syamsuri.
Real Mulia tampil lebih agresif di separuh masa
kedua, dan berhasil menyamakan kedudukan selepas Haikal dikasari di dalam kotak
penalti, dengan sepakan Amirullah mudah menewaskan Ismail Rahman.
Kedua-dua pasukan mempunyai peluang keemasan untuk
menambah jaringan selepas itu, terutamanya PBAPP namun dinafikan oleh
kecemerlangan Syamsuri di gawang Real Mulia manakala tuan rumah meratapi peluang
terbaik untuk mengesahkan kemenangan apabila tandukan Fazli Zulkifli singgah di
palang gol pada minit akhir permainan.
No comments:
Post a Comment