Penulis meminta maaf kepada pengikut blog ini di atas ketidak-sempatan untuk mengupdate blog sejak kebelakangan ini. Sebagai Pengarang di Yayasan Kebajikan Atlet, penulis ketika ini terikat dengan jadual padat kerana YAKEB akan menerbitkan buku tentang bekas atlet yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sebagai penulis utama buku tersebut, dan ketika ini lebih banyak menghabiskan masa bertemu dan menemuramah tokoh-tokoh, lagenda, dan wira sukan yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu - jom kita ketahui serba sedikit tentang Pakcik Din.
Menyingkap
sejarah sukan berbasikal tanah air, nama Safarrudin Zain pastinya masih
dikenang sebagai generasi pertama dari sukan berbasikal mengibar bendera
Malaysia di temasya Sukan Olimpik bersama-sama N.A Rosli, Ng Joo Pong, Stephen
Lim dan Andrew Michael .
Meskipun
tidak sempat menamatkan perlumbaan dan menghentikan kayuhan selepas 7 pusingan,
pengalaman beraksi di Tokyo 1964 itu kekal terpahat sebagai memori indah di
ingatan Safarrudin atau lebih mesra disapa Haji Din, namun tanpa diduga ia juga
meninggalkan kenangan pahit apabila menjadi temasya terakhir disertainya
sebelum menoktahkan karier seawal usia 26 tahun.
“Beraksi di
Olimpik satu penghormatan dan pencapaian terbesar dalam karier seseorang atlet,
di atas kejayaan saya sebagai anak Penang yang mewakili negara ke Olimpik, saya
telah menerima sebuah basikal berjenama Fasto Coppi sumbangan Kerajaan Negeri
Pulau Pinang.
“Tetapi
setibanya dari Olimpik Tokyo, basikal itu diambil oleh Kelab Lumba Basikal
Pulau Pinang atas alasan mereka yang tolong mendapatkannya. Kecewa dengan
situasi ini, saya terus bersara dari arena lumba basikal..”.
Beliau selepas
itu melupakan terus dunia berbasikal dan mengalihkan tumpuan secara penuh
kepada kariernya sebagai Pengendali Kapal (Kargo) di sebuah syarikat perkapalan.
Membuka
bicara tentang pembabitan awalnya sebagai seorang pelumba basikal, anak
kelahiran Georgetown ini berkata semuanya bermula ketika beliau berusia 16
tahun, apabila rakan karibnya, Allahyarham Idris Ahyari membeli basikal baru
jenis Hopper.
“Kami
berlumba sesama sendiri (time trial). Saya menang dan menyuruh arwah ibu
belikan basikal, arwah ibu telah membelikan saya basikal berjenama Bone Shakee buatan
Itali dengan harga RM60. Sejak itu saya yang amat meminati bolasepak mula meminati
sukan lumba basikal, dan bermulalah sejarah Safaruddin Zain..”.
Sokongan
keluarga nyata menjadi sumber inspirasi dan pendorong buat Haji Din yang mendapat
sentuhan jurulatih kebangsaan ketika itu, mendiang Gurchan Singh, untuk terus
menapak mencipta nama dalam arena lumba basikal.
Tempoh 9
tahun terlibat bersama skuad kebangsaan nyata meninggalkan banyak kenangan pahit
manis buat Haji Din atau juga dikenali sebagai ‘kepek’ di kalangan rakan-rakan,
antaranya menjuarai Strait Echo Cup pada 1957, Piala Grut 1960 dan Piala Hopper
1961 yang melayakkan beliau untuk beraksi di Sukan SEAP 1961 di Burma – temasya
yang menyaksikan beliau mengalami kemalangan dan terpaksa menarik diri kerana
kecederaan.
No comments:
Post a Comment