Thursday, September 29, 2011

Sentuhan ‘SuperSub’ Anuar Senjata Selangor

Namanya cukup dikenali ramai dek kerana kelebihannya sebagai SUPERSUB. Terlepas pandang akan kelibatnya maka terngangalah penjaga gol jawabnya. Aksi lincah dengan susuk tubuh yang kecil, serta sentuhan tajamnya di depan gawang berpotensi mengubah keputusan perlawanan, mengangkat nama ANUAR ABU BAKAR sebagai antara penyerang terbilang tanah air di zaman kegemilangannya pada tahun 1990-an.

Mereka yang pernah menyaksikan kelibat bekas pemain kebangsaan berusia 40 tahun ini, pastinya masih ingat akan gol kemenangan dramatic jaringannya pada aksi separuh akhir Piala Malaysia Johor menentang Kuala Lumpur genap 20 tahun lalu – kedudukan terikat agregat 3-3, Anuar skor hanya 2 minit selepas dimasukkan, membawa Johor ke final kemudiannya muncul juara menewaskan Selangor 3-1, serta penyudah tajam yang menyaksikan Anuar dinobatkan penjaring terbanyak Liga Perdana Satu 1995, bersama Selangor.

Manakala mereka yang hanya sekadar pernah mendengar namanya dan tidak pernah berpeluang menyaksikan aksi pemain kelahiran Johor ini, saksikan kelibat Anuar bersama bekas bintang Gergasi Merah Kuning yang lain antaranya Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Shahrin Majid, K.Sanbagamaran dan lain-lain pemain yang akan mewakili Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor Sabtu ini. 

Tonggak Merah Kuning yang membantu pasukan itu menjulang HATRIK Piala Malaysia pada 1995, 1996 dan 1997, selain membantu Kelantan menjuarai Liga Perdana Dua 2000 ini nyata belum hilang sentuhan berbisanya, dan melaungkan azam membantu Selangor merampas semula trofi Piala Sultan Selangor dari tangan musuh tradisi mereka itu.

Pada sessi pemanas badan terakhir menentang Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Wisma FAM malam tadi, Anuar membuktikan usia bukan faktor penghalang apabila memperaga aksi lincah bertenaga dan ‘bernafsu’ besar dengan menjaringkan 4 gol dalam kemenangan 7-2 ke atas pasukan diketuai Abu Bakar Atan itu, namun yang lebih menjadi tumpuan adalah kebijaksanaan meloloskan diri dari kawalan pertahanan dan pantas memanfaatkan peluang yang masih menjadi ASSET SETIAnya.
“memang kita tekad untuk menang, rakan-rakan semua pun komited, semangat kali ini lain, persiapan juga lebih bagus, saya janji akan lakukan yang terbaik, gandingan dan kombinasi, persefahaman pun kalau tengok tadi agak bagus, lagipun tadi kita main tak 100%, nak elak letih, elak cedera kan..so insyaAllah, kita cuba pastikan Piala sultan Selangor kembali ke Selangor la tahun ini..”.

Anuar dan Dollah berganding cemerlang di barisan depan, sesekali diSWAP dengan kelibat Zainal dan berhasil mengucar-kacirkan pertahanan SAM dengan  - Dollah menyumbang 2 gol menerusi sepakan penalti dan situasi ini pastinya disambut dengan helaan nafas lega oleh Jurulatih, Md Shah Norbit.

Sepanjang karier lebih 15 tahun, Anuar pernah mewakili Johor, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ Selangor, serta memiliki rekod sempurna dalam sejarah saingan Piala Malaysia apabila menang kesemua 5 aksi final – bersama Johor (1991), Selangor (1995, 1996, 1997) dan MPPJ Selangor (2003), manakala pada 2005 dia meraih pingat kejuaraan bersama Selangor selaku pembantu kepada Dollah.

1 comment:

Anonymous said...

last dia main ngan n9 kan ..lupa r..nk jdi coach baru selangor ke