Wednesday, September 7, 2011

Rest In Peace Abang Faizul


Begitu lama rasanya tidak menulis di Suara Sukan, sejak entry terakhir pada 29 Ogos lalu (malam raya). Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pencinta sukan tanah air. 

Mohon maaf kepada semua pembaca/pengunjung blog Suara Sukan yang mungkin ternanti-nanti entry terbaru, penulis sebenarnya memberikan ruang rehat kepada diri sendiri untuk membuat persiapan raya, dan bercuti sehingga raya ketiga, namun tanpa diduga diserang demam panas + selsema + batuk serta pelbagai sakit lain yang hadir secara pakej.

Alhamdulillah selepas hampir 5 hari ‘terlantar’ sakit tanpa mampu berbuat apa-apa, hanya sesekali mengUPDATE status di fb, penulis diberi kudrat untuk mencoret nukilan pertama selepas Hari Raya Aidilfitri, juga yang pertama untuk bulan September 2011 ini. 

Raya kali ini mungkin yang terbaik pernah disambut penulis, apatah lagi berpeluang berada lebih lama di Kota Bharu (8 hari) berbanding kebiasaannya 4 atau 5 hari, sempat berbuka puasa 2 kali (biasanya pagi raya pertama atau kedua baru sampai KB), dan berkesempatan bertemu rakan-rakan lama (ada yang 13 tahun tak jumpa).

Apa sekalipun, semua keceriaan itu sedikit tersentak dengan berita menggemparkan jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor atau lebih selesa disapa Abg Pejoi di kalangan rakan-rakan terbunuh terkena tembakan curi ketika bertugas di Somalia, pada Raya Ke-4. 

Seolah tak dapat nak percaya apabila menerima SMS daripada bekas rakan sekerja, Haidar Ali memaklumkan perkara itu. Hubungan antara penulis dan Abg Pejoi masih rapat dan sering berbalas SMS, meskipun penulis sudah hampir setahun meninggalkan Bernama TV, malah sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini, kami ada bertemu sekurang-kurangnya 4 kali termasuklah di Majlis Berbuka Puasa Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), 14 Ogos lalu.

Antara kenangan yang masih tidak dapat penulis lupakan, ditinggalkan arwah pada HARI PERTAMA memulakan kerja sebagai wartawan penyiaran di Bernama TV, pada 2 April 2008 – ketika itu penulis ditugaskan membuat liputan latihan pasukan Selangor menjelang final Piala FA menentang Kedah di Padang SUK, calltime 4.30 petang, dan jurukamera arwah Abg Faizul.

Masa tu belum ada transport sendiri, akhirnya penulis ambil keputusan naik teksi. Selepas meredah kesesakan lalu lintas, serta hujan yang mula turun semakin lebat, penulis tiba di Padang SUK, jam 5:55 petang – sampai di lokasi ada ramai pula cameraman yang tengah shoot, dan melihat pula penampilan penulis yang agak formal dengan baju kemeja tuck-in, seluar slack dan berkasut hitam, menambahkan pula geli hati di kalangan mereka termasuk Abg Pejoi – namun bermula dari saat itu jugalah sebenarnya kami menjadi kawan yang baik. 

Arwah sememangnya seorang yang ‘happy go lucky’, suka melawak dan banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang hampir 3 tahun kami bekerja bersama membuat liputan pelbagai jenis acara sukan, terutamanya bola sepak. Arwah adalah fanatic Selangor, manakala penulis fanatic Kelantan, seringkali kami berperang mulut memperkatakan kelebihan pasukan masing-masing.

Apa yang dah berlaku tak dapat lagi kita ubah, segalanya pasti akan tersimpan dalam lipatan kenangan, dan apa yang berlaku juga pasti ada hikmah di sebaliknya. Kepada keluarga arwah, banyakkan bersabar, sama-sama kita doakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-fatihah…

3 comments:

Anonymous said...

Al-Fatihah

cinta bonda marketing said...

Drpd Dia kita dtg..kpd Dia kita kembali..Alfatihah.

Amirah Adnan said...

al-fatihah