Friday, September 9, 2011

Selangor Tiada X-Factor, Misi 33 Tiada Ummphh


Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor akan turun dalam usaha menghidupkan semula ‘Misi 33’ mereka yang disentap T-Team Selasa lalu malam esok, apabila melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, Polis Diraja Malaysia – pada ketika mereka berada dalam situasi segala-galanya TIDAK SEPERTI DI ATAS KERTAS.

Di atas kertas, Gergasi Merah Kuning yang turun dengan semangat menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 pada aksi pembuka tirai, tidak seharusnya bermasalah menewaskan T-Team namun sebaliknya apabila mereka bergelut mencari rentak permainan dan tewas menerusi jaringan tunggal Norfazly Alias. 

Di atas kertas juga, Selangor dilihat berpotensi merakamkan kemenangan besar ke atas pencabar dari Liga Perdana yang mudah dijinakkan Kuala Lumpur 3-0 - namun dengan masalah ketumpulan sentuhan penyudah, rombakan posisi pemain yang belum menampakkan hasil, serta kombinasi pemain yang belum menampakkan keserasian, apakah benar cabaran PDRM boleh dipandang enteng anak buah K.Devan?

Untuk meraih 15 mata maksimum dalam 5 perlawanan yang masih berbaki bukanlah tugas sukar buat sebuah pasukan berpengalaman luas seperti Selangor, ditambah pula dengan adanya Devan yang boleh diangkat sebagai jurulatih terbaik Liga Malaysia (menang 1-0 semua 5 perlawanan pun dikira menang) tetapi mereka perlu bijak menangani tekanan tanpa cepat melatah dan menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

Inilah juga peluang untuk Devan membuktikan kredibiliti beliau selaku jurulatih terbaik arena bolasepak tempatan bukan sekadar omong kosong – Devan adalah satu-satunya jurulatih yang pernah menang semua kejuaraan domestik liga bolasepak tempatan, kecuali PIALA MALAYSIA, malah sepanjang 3 tahun bergelar Ketua Jurulatih Selangor, belum pernah lagi Devan menamatkan musim tanpa sebarang trofi.

Justeru, apabila melancarkan ‘Misi 33’, ia seharusnya disambut dengan satu semangat luar biasa di kalangan pemain, dan menterjemahkan semangat itu di atas padang dengan menyedari betapa inilah satu-satunya piala yang masih tinggal untuk direbut musim 2011 ini.

Amri & Safiq perlu memainkan peranan lebih berkesan
Namun apa yang dapat dilihat hingga saat ini, ‘Misi 33’ sekadar gah pada nama apatah lagi Selangor tiada X-FACTOR yang boleh menggerunkan pihak lawan seperti tahun-tahun sebelumnya - pemain-pemain ikon Red Giants seperti Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Asrarudin Putra Omar dan Hardi Jaafar perlu mempamerkan aksi lebih daripada biasa untuk memastikan sasaran menjulang 1 piala musim ini dapat direalisasikan.

Perlawanan menentang PDRM esok di Stadium Shah Alam, pastinya akan menjadi penentu kepada halatuju Misi 33.

7 comments:

Anonymous said...

Keputusan perlawanan pertama memberi gambaran awal pertembungan suku akhir. Kedah, Sabah/Perak, Terengganu, NS, Kelantan, Johor Fc/Felda, TTeam, Selangor/KL lapan calon suku akhir. Berdasarkan keputusan selasa lalu kemungkinan besar suku akhir mungkin menemukan Kelantan Selangor. Separuh akhir, Terengganu PBDKT T-Team.

TTeam yang baru mendapat suntikan/amaran pengurusan kerajaan negeri yg memberi amaran akan membubarkan TTeam jika gagal sekurang2nya ke suku akhir mgkin membiarkan Terenganu mudah ke final. Atau jika bersandarkan kekuatan sebenar, TTeam mampu menewaskan mana2 pasukan termasuk Terengganu.

Mungkinkah final PM -Kedah/Kelantan/Selangor lwn Terengganu/PBDKT T-Team.

-myi-

Anonymous said...

layan je la k.devan ni sambil menghitung hari saat2 terakhir dgn Red Giant..

Anonymous said...

malangnya X-faktor sudah lama terkubur

hangbola said...

tapi dia cakap dia puas hati..macam bengang je..huhu..

Anonymous said...

Betul ker,Myi??Takkanlah kerajaan negeri kami sanggup cakap macam tu???!!!Saya takde dengar apa-apa berita pun dari sana?!

Anonymous said...

T-Team boleh pergi jauh!!!Go go go T-Team!!!Tapi yang peliknyer apsal T-Team jadi lain bila lawan dengan pasukan yang low ranking.Bila lawan dengan pasukan kuat bukan main semangat.Bila lawan pasukan kuat menang pulak tapi time lawan pasukan bawah lain pulak jadinyer..T-Team perlu konsisten tak kira lawan kuat ataupun tak!?Semoga T-Team dapat mengikuti jejak abang.Amin..

Anonymous said...

Masuk EPL la T-Team ni,baru boleh menang slalu.