Monday, September 19, 2011

Saingan Piala Malaysia 2011 Paling Sukar Diramal


Adalah menjadi kebiasaan, setiap kali bermula saingan musim baru Piala Malaysia, beberapa pasukan diletakkan sebagai pilihan manakala beberapa pasukan lain dikatakan mampu memberi cabaran seterusnya mengiringi pasukan pilihan itu ke pusingan seterusnya, manakala beberapa pasukan lain pula hanya dilihat sebagai pelengkap saingan.

Saingan musim 2011 tidak ketinggalan dari mengalami situasi tersebut – Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kedah adalah pilihan awal, manakala Perak, Johor FC, Negeri Sembilan dan T-Team dikatakan mampu memberi cabaran dan menjadi PENGIRING, tatkala pasukan seperti Felda Utd, Kuala Lumpur, PDRM, Sime Darby, Sarawak dan Sabah dilihat tidak lebih sebagai pelengkap.

Perak, Juara 1998
Apa yang terjadi, daripada 4 pasukan PILIHAN UTAMA, TIADA SATUPUN pasukan tersebut mengungguli saingan kumpulan masing-masing. Kumpulan A didominasi Perak, Kumpulan B (Negeri Sembilan), Kumpulan C (Felda Utd) dan Kumpulan D (T-Team) - tatkala Kedah dan Selangor berdepan prospek tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan andai gagal mengutip mata penuh dalam baki 2 perlawanan yang tinggal.

Dengan Sime Darby, Sarawak dan PDRM sudahpun SAH tersingkir, masih tinggal 13 pasukan bersaing untuk merebut 8 slot beraksi di suku akhir – Perak, Felda, Kelantan dan T-Team hanya memerlukan 1 mata sahaja lagi untuk mengesahkan tiket beraksi di suku akhir sama ada sebagai juara ataupun naib juara kumpulan.

Kedah, Juara 2007 / 2008
Mengimbau saingan Kumpulan A, pastinya mengejutkan untuk melihat juara 2007 & 2008, Kedah bergelut di dalam kumpulan yang seharusnya mudah didominasi mereka – terbaru selepas seri 3-3 menentang Johor, tatkala Perak yang kehilangan khidmat 5 pemain tonggak akibat pengantungan menepis segala cakap-cakap awal yang meragui kredibiliti mereka selaku pencabar kejuaraan. 

Kebangkitan Sabah, finalis 2002 dan 2003 juga pastinya menutup mulut pengkritik, di mana Sang Badak mengintai kemaraan ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak mara ke semi-final 2007 – situasi yang hampir pasti menjadikan laluan Kedah selaku pilihan untuk mara setidak-tidaknya ke semi-final seperti jangkaan awal semakin berliku.

Saingan Kumpulan B pula sememangnya sudah dijangka bakal menjadi milik juara Piala FA, Terengganu dan Negeri Sembilan, namun hadirnya saingan LEWAT menerusi juara Liga Perdana, PKNS Selangor menghangatkan lagi perebutan untuk mengisi dua slot teratas kumpulan.

Dengan Terengganu umpama HANYUT DIBUAI MIMPI selepas kemenangan memberangsangkan pada perlawanan pertama, manakala Negeri Sembilan meneruskan tradisi selaku pakar saingan Piala Malaysia sebelum dikejutkan PKNS, menampakkan kekuatan kesemua pasukan seakan-akan seimbang, dan cukup sukar untuk diramal pasukan mana akan berputih mata.

Kumpulan C, pada awalnya dilabel sebagai kumpulan yang menawarkan hanya ‘SATU’ slot apabila juara bertahan Kelantan diramal mampu menempah tiket ke suku akhir dengan cukup mudah – tetapi sebaliknya berlaku apabila Sang Kijang ditunjukkan LANGIT ITU TINGGI ATAU RENDAH dengan kekalahan kepada SURPRISE PACKAGE saingan Piala Malaysia 2011 – Felda Utd.

Kelantan bagaimanapun tidak cepat melatah, dan bangkit memperaga perwatakan garang dengan meledak 4 gol dalam 10 minit terakhir menentang Sarawak, sekaligus kembali ke landasan tepat memburu kejuaraan berganda.

Felda, selepas bergelut dalam saingan Liga Super, memilih waktu yang tepat untuk memuncak dan tindakan merekrut beramai-ramai barisan bekas bintang kebangsaan antaranya Liew Kit Kong, K.Rajan, Hamsani Ahmad, Khaironisam Sahabudin, Farderin Kadir dan Nizarudin Yusof pada awal musim dilihat akhirnya membuahkan hasil pada ketika peluang Johor FC (kelab paling berjaya dalam Liga Malaysia) kini sepenuhnya bergantung kepada bantuan nasib.

Dan akhir sekali, saingan kumpulan ‘FAVOURITE’ ramai, Kumpulan D – di mana Juara 32 kali, Selangor yang berharap dapat menamatkan musim suram mereka dengan menjulang setidak-tidaknya 1 piala, kini berdepan prospek tersingkir dari saingan peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 2006. 

Kekalahan kepada T-Team (yang keempat berturut-turut musim ini) menyaksikan ‘Misi 33’ kini umpama TELUR DI HUJUNG TANDUK, sekaligus menambah tekanan di bahu pengendali, K.Devan yang telahpun menjulang kesemua piala dalam kariernya, KECUALI Piala Malaysia, apatah lagi pasukan bimbingannya sudah hilang apa yang dipanggil X-FACTOR, dan mereka kini tiada pilihan lain melainkan menang baki 2 perlawanan, sambil mengharapkan Kuala Lumpur mencicirkan mata.

Selangor, kali terakhir 2005
Apapun, tekanan dialami Gergasi Merah Kuning secara tidak langsung turut membantu juara 3 kali, Kuala Lumpur, langsung tanpa diduga berada dalam kedudukan terbaik menghapuskan badi gagal ke pusingan kedua selama lebih sedekad, namun perlu diakui skuad Warga Kota juga tidak memiliki rencah untuk mencipta kejutan, sebaliknya dibantu aksi tidak konsisten Selangor dan T-Team.

T-Team pula, dengan barisan pemain yang mereka miliki, sepertimana Felda Utd, memilih waktu yang tepat untuk memuncak, dan bukanlah satu kejutan untuk melihat mereka di DRIVER SEAT, namun untuk mara lebih jauh dalam saingan kali ini, anak buah Yunus Aliff perlu mengatasi aksi tidak konsisten yang kerap membayangi dan menjadi masalah besar buat mereka. 

Justeru, dalam saingan 2011 yang sukar diramal ini, pasukan pilihan atau bukan pilihan nyata tidak mempunyai sebarang kelebihan atau kekurangan sepertimana yang bisa kita congak di atas kertas, hanya aksi 90 minit atas padang menjadi penentu halatuju cabaran mereka, dan semoga berjaya kepada kesemua 13 pasukan yang masih memiliki peluang untuk mara.

8 comments:

Anonymous said...

ganu leh g final taun ni...

Anonymous said...

Final : N. Sembilan/Kelantan vs Felda United/Terengganu

Group B dan C berpotensi tinggi masuk final

Anonymous said...

xbrpe yakin ganu blh g final..main x konsisten

kasimselamat said...

n9 semacam ada keserasian dalam pasukan malah serangan dilakukan dengan teliti dan terancang dilihat berpeluang untuk ke final menentang kelantan yang bersungguh2 memperbaiki permainan, semangat serta komitmen setiap pemain yang ditunjukan menampakan pasukan kelantan akan mempertahankan kejuaraan. apapun kita lihat nanti......

Dunia Baru said...

panjang lebar molek en3 kali nih..heheheh....kira ulas semua2 doh nih..hehehhe

moga kelate ke final...gomo kelate gomo

Anonymous said...

tgu dan lihat

Insan Biasa said...

full of surprise pm tahun ni...

Anonymous said...

InsyaAllah,Terengganu dan T-Team pergi final PM tahun ni...amin..(Nak sangat tengok perlawanan ini,yang ditunggu-tunggu)...