Andainya berpandukan sejarah,
kekalahan 0-1 kepada Lions XII malam tadi seharusnya tidak terlalu menggusarkan
pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B Sathianathan.
Dalam aksi timbal balik pertama yang dilangsungkan
di Stadium Jalan Besar, tandukan Madhu Mohana hasil sepakan penjuru Shahfiq
Ghani pada minit ke-40 menjadi pemisah kedua-dua pasukan sebelum kembali beradu
di gelanggang Jumaat ini.
Melihatkan pengalaman ATM sebelum ini
di padang sintetik yang berakhir dengan kekecewaan 1-3, kekalahan tipis itu dianggap seperti
‘kemenangan’ buat Sathia yang mahu anak buahnya memanfaatkan kelebihan di
tempat sendiri dalam misi menyingkirkan pasukan dari tambak seberang Johor itu
buat musim kedua berturut-turut.
Masih segar di ingatan perlawanan
mendebarkan dan dramatik pada malam Oktober tahun lalu yang menyaksikan ATM
bangkit daripada ketinggalan 1-2 secara agregat untuk mengheret perlawanan ke
aksi tambahan sebelum mara menerusi penentuan penalti.
Ketika itu, kedua-dua pasukan terikat
1-1 di Jalan Besar sebelum Agu Casmir mengejutkan penyokong tuan rumah di
timbal balik kedua di Selayang menerusi jaringan pada babak pertama. Tersentak,
ATM menggandakan asakan dengan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila tangkal
azimat, Marlon Alex James menanduk masuk gol pada masa kecederaan.
Bisa sentuhan Marlon ditagih ATM. |
Meskipun gagal menjaringkan gol buat
pertama kalinya dalam kempen Piala Malaysia ini, Sathia tetap yakin dengan
kemampuan naib juara musim lalu itu untuk menemui gawang Jumaat ini berdasarkan
jumlah 15 gol dalam semua 6 perlawanan pada peringkat kumpulan.
“Ini adalah perlawanan pertama yang
menyaksikan kami gagal menjaringkan gol. Tetapi saya tidak bimbang kerana yakin
mereka akan dapat menjaringkan gol pada timbal balik Jumaat ini.
“Kekalahan ini adalah seperti
‘kemenangan’ buat kami kerana kami hanya bolos satu gol di sana berbanding
pertemuan sebelum ini yang berakhir dengan kekalahan 1-3.
“Apa yang lebih menggembirakan saya,
adalah tiada pemain yang mengalami kecederaan, jadi kami menurunkan kesebelasan
utama bagi perlawanan akan datang. Namun, Irwan Fadzli (Idrus) masih belum
pulih daripada kecederaannya, jadi Taj (Amiridzwan) akan terus mengisi
posisinya di pertahanan kanan,” tambah Sathia.
Melihatkan percaturan matematik, ATM perlu
menang perlawanan di Selayang dengan keputusan 2-0 untuk menjamin kemaraan.
Seandainya bolos sekali lagi, finalis musim lalu itu perlu menang dengan
kelebihan tiga gol untuk menafikan kelebihan jaringan di tempat lawan.
No comments:
Post a Comment