Thursday, September 19, 2013

Jadual mengarut jejaskan kualiti - Marlon

Menjaringkan gol keempat peribadinya untuk bergelar penjaring terbanyak Angkatan Tentera Malaysia sedikit pun tidak mengundang kegembiraan buat Marlon Alex James. 

Penyerang St Vincent & Grenadines dari Kepulauan Carribbean itu jelas kecewa dengan kegagalan ATM untuk memanfaatkan kelebihan pada babak pertama dan seterusnya meraih tiket awal ke peringkat kalah mati Piala Malaysia.

Pemenang Kasut Emas itu meletakkan finalis musim lalu itu di depan pada minit ke-37 apabila mudah menampan masuk hantaran lintang S Thinagaran yang melepasi jangkauan Sharbinee Allawee namun ia dinafikan oleh tandukan Fitri Shazwan pada minit ke-74 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan ATM mengekalkan tampuk penguasaan di atas Kumpulan A dengan lapan mata dipisahkan dengan Sime Darby menerusi perbezaan gol. The Gladiators kini hanya perlu mengelakkan kekalahan dengan Sime Darby untuk mara ke pusingan suku akhir buat musim kedua berturut-turut.

Kegagalan berbuat demikian akan membuka laluan buat Johor yang perlu meraih kemenangan besar ke atas rekod juara 32 kali, Selangor yang sudah tersingkir sambil mengharapkan keputusan lain berpihak kepada mereka.

“Saya begitu kecewa malam ini. Ini adalah perlawanan kelima kami dan kami masih gagal untuk mengekalkan ‘clean sheet’ (bolos),” kata Marlon yang meledakkan 16 gol pada kempen Liga Super musim ini.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi saya begitu kecewa dengan persembahan malam ini. Sepatutnya selepas lima perlawanan, kami sudah melayakkan diri,” tambahnya.

Penyerang tinggi lampai itu turut mengkritik  tempoh rehat panjang Liga Malaysia musim ini yang sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan.

“Kalau di negara lain,  liga (kejohanan domestik) sudah tamat selepas 8 atau 9 bulan. Kat sini, dah masuk dekat setahun pun tak habis lagi.


“Mana nak habis kalau hanya main lima perlawanan dalam dua bulan. Tetapi apa boleh buat, mereka yang berkuasa (FAM) yang menentukan segala-galanya. Kami hanya mampu ikut saja,” tambahnya.

No comments: