Tidak
cukup sekadar mempunyai nama besar dan berprofil tinggi, sebaliknya ia perlu
diterjemahkan menerusi aksi setaraf reputasi yang dimiliki – itulah harapan peminat bolasepak tempatan
terhadap dua bintang muda skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor
dan Wan Zack Haikal yang disebut akan menjadi sandaran Ong Kim Swee di
Kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung bulan depan.
Mungkin
agak keterlaluan untuk meletakkan tekanan tinggi di bahu dua pemain ini
semata-mata, tetapi pantas mencipta nama selaku aset bolasepak negara masa
kini, ekspetasi adalah cukup tinggi betapa Nazmi yang pernah ‘berguru’ Portugal
dan Wan Zack yang kini beraksi di Liga Jepun bersama FC Ryukyu, mampu
menyerlahkan kelas sebenar mereka.
Legenda
bolasepak negara, Datuk Santokh Singh yang begitu kebal mengemudi barisan
pertahanan negara suatu masa dahulu berkata, tidak ada gunanya mereka berkelana
begitu jauh jika tidak berupaya untuk menyumbang di saat kudrat mereka ditagih
untuk memberi aksi terbaik.
“Pasukan
ini sangat mahal harganya. Skuad ini berlatih di Slovakia, ada pemain pergi
Portugal, ada pemain main di Jepun. Kalau ini semua diambil kira, kita tiada
pilihan lain selain menjuarai kejohanan Pestabola. Pemain seperti Nazmi, Wan
Zack, Wan Zaharulnizam perlu buktikan, mereka adalah lain dari yang lain kerana
berpeluang mengembangkan potensi ke negara luar.
“Mereka
tidak harus melihat ini sebagai satu tekanan, tetapi melihat ianya sebagai
pembakar semangat, sebagai satu inspirasi. Dulu saya juga diletakkan harapan
tinggi apabila turun beraksi, saya tidak rasa tertekan tetapi saya anggap ia
sebagai pembakar semangat dan apabila menyanyikan lagu Negaraku sebelum sepak
mula, satu aura patriotisme meresap dalam diri.
“Sebagai
pemain, kita tidak mahu negara kita dimalukan di gelanggang sendiri, semangat
ini perlu ada dalam diri semua pemain, dulu-dulu mana kami ada pergi berlatih
empat-lima bulan di luar negara, yang penting semangat kenegaraan,” kata
Santokh mengenang memori lalu.
Santokh
juga berharap pemain yang menggalas tanggungjawab nanti tidak mensesiakan
kepercayaan yang diberi jurulatih : “Walaupun kita petik beberapa nama seperti
Nazmi, Wan Zack, kita perlu ingat bolasepak adalah permainan berpasukan. Tidak
cukup meletak harapan ke atas satu pemain jika rakan-rakan tidak memberi
sokongan. Jadi, bersatulah sebagai satu pasukan, balas kepercayaan yang
diberi.”
Untuk
kejohanan kali ini, Kim Swee dijangka dapat mempertaruhkan barisan terbaik
kerana selain barisan Harimau Muda sedia ada yang dibarisi pemain tonggak
seperti Irfan Fazail, Zaharulnizam, Wan Zack, A. Tamil Arasu dan Gary Steven
Robbat, Kim Swee turut dapat menggunakan khidmat pemain seperti Junior Eldstal,
Nik Shahrul Azim dan Zubir Azmi yang mendapat pelepasan Datuk K.Rajagobal.
Malah,
penyerang meningkat naik kelahiran Sekolah Sukan Bukit Jalil, D.Saarvindran
juga pastinya mempunyai sesuatu untuk dibuktikan selepas menyerlah ketika Sukan
Universiade Dunia, pada Julai lalu.
No comments:
Post a Comment